Tuesday, May 24, 2011

Pusat tanggung hutang Syabas demi UMNO tapi rugikan rakyat Selangor

Tindakan Pusat 'Bail-Out' Syarikat Air Selangor Rugikan Rakyat


SHAH ALAM 24 MEI : Keputusan kerajaan pusat menjamin keluar syarikat bekalan air swasta di Selangor dilihat sebagai menjejaskan peluang rakyat menikmati bekalan air berkualiti pada harga yang murah, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini.

Menurut Tony, keputusan ini akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor hilang peluang mereka untuk memetrai perjanjian dengan syarikat berkenaan yang menanggung hutang sebanyak RM 6.5 Billion kepada pemegang-pemegang bon utama konsesi berkenaan.

" Kegagalan syarikat-syarikat ini menjelaskan hutang mereka, tanpa jaminan keluar (bail-out) dari pentadbiran BN akan menyebabkan mereka terpaksa bersemuka dan berbincang mengenai penstrukturan semula perjanjian dengan Kerajaan Selangor atau pihak lain yang mengemukakan tawaran untuk mengambil alih aset dan perniagaan tersebut.

"Hutang mereka bertambah setelah mereka gagal menjelaskan bayaran bulanan awal bulan ini. Dari empat syarikat tersebut, Puncak Niaga Sdn Bhd dan anak syarikatnya Syarikat Bekalan Air Negeri Selangor (SYABAS) mempunyai hutang berjumlah RM 4.2 juta,"kata Tony dalam satu kenyataan media hari ini.

Tony menyatakan demikian mengulas laporan bahawa kerajaan pusat akan menanggung hutang syarikat konsesi terbabit selepas Syabas dan Puncak Niaga gagal menjelaskan pinjaman mereka kepada pemegang bon konsesi.

Selain Puncak Niaga dan Syabas, dua lagi syarikat terbabit ialah Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.

Pemegang-pemegang bon utama terbabit termasuklah CIMB Principal Asset Management, Hong Leong Investment Bank dan Great Eastern Life.

Sebelum ini pemegang bon air berkenaan yang melibatkan Selangor diberitakan akan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya campur tangan dalam usaha melindungi agar bon-bon yang terbabit terus berhadapan tindakan penurunan gred.

Menurut Tony, Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini membuat tawaran ketiga bernilai RM 6.3 Billion untuk mengambil alih syarikat ini berserta hutangnya dan Gamuda menerusi anak syarikatnya, Pengeluaran Air Selangor Holdings (SPLASH) turut membuat tawaran bernilai RM10.8 billion.

Dengan keputusan ini, segala hutang syarikat konsesi tersebut bakal diambil alih oleh kerajaan pusat sekaligus merugikan rakyat.

"Hasil 'bail-out' ini, syarikat konsesi bekalan air akan terus beroperasi dan meraih keuntungan daripada perkhidmatan membekalkan air di Selangor, tanpa perlu memikirkan hutang mereka.

"Keputusan ini jelas merugikan rakyat Selangor, kerana mereka kehilangan peluang menikmati penstrukturan semula industri ini yang menjamin air dibekalkan pada harga terendah," kata Tony.

Justeru Tony mahu Kementerian terlibat memberi penjelasan berhubung hal 'bail-out' ini.

"Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air, Datuk Peter Chin perlu segara memberi klarifikasi berhubung 'bail-out' ini sebelum perjanjian pentrukturan semula dilakukan dengan mengorbankan kepentingan rakyat.

"'Bail-out' ini juga menafikan semua dakwaan bahawa Kerajaan BN bertindak demi kepentingankan rakyat, dan membuktikan mereka hanya mementingkan kepentingan kroni politik mereka lebih dari segalanya, " kata Tony lagi.

No comments: