Thursday, May 12, 2011

Roboh Kuil di Setapak

Hindraf : "Umno Rasis", "Jangan Aniaya Kaum India"



KUALA LUMPUR 12 MEI : "Umno rasis", "Jangan aniaya masyarakat India."

Kenyataan tersebut dilaungkan kira-kira 20 masyarakat kaum India di hadapan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membantah tindakan meroboh kuil di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak.

Kumpulan itu diketuai Ahli Majlis Pimpinan Parti Hak Asasi Manusia (Hindraf), S. Thiagarajan bertujuan menyerahkan memorandum kepada Datuk DBKL, Datuk Seri Fuad Ismail.

Amat mengecewakan pada mulanya tiada wakil dari agensi kerajaan itu berhasrat untuk menerima lampiran yang ingin dikemukakan.

Namun setelah didesak kumpulan itu, Pegawai Khas Datuk Bandar DBKL, Hasnan Zain bersetuju menerima memorandum tersebut selain bersetuju memberi jaminan dua minggu untuk menyelesaikan tuntutan mereka.

Bercakap kepada media sebelum itu, Thiagarajan menyifatkan usaha untuk merobohkan kuil Hindu terbabit melanggar kebebasan beragama yang digariskan dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, seribu keluarga di penempatan itu bergantung kepada kuil yang telah dibina sejak 5 tahun dahulu.

Beliau berkata masyarakat India seolah-olah dianak-tirikan DBKL memandangkan pihak berkuasa itu telah meluluskan tapak pembinaan masjid dan kuil Cina di kawasan yang sama namun mengenepikan hak kaum mereka untuk beribadat.

"Mereka (kerajaan) selalu menjadikan kuil India sebagai sasaran. Ini amalan "double-standard". Kita kesal mengapa mereka suka buli masyarakat India.

"Kita mahu tanya kenapa kami selalu diketepikan. Perlembagaan menyatakan tempat ibadat harus dilindungi. Tiada perkara sebut kuil Hindu memerlukan lesen," kata beliau.

Turut dikepilkan pada memorandum tersebut dua notis yang diserahkan sebelum ini oleh pihak DBKL bertarikh 2 Disember 2009 dan 5 Mei 2011 dengan alasan menggunakan tanah kosong dikawasan awam serta mendirikan kuil tanpa kebenaran.

Notis terakhir agensi itu memberi tempoh tiga hari sebelum tindakan merobohkan struktur kuil tersebut.

Sebelum itu kumpulan tersebut melakukan upacara keagamaan di luar pejabat DBKL sambil diperhatikan polis namun tiada sebarang kekecohan berlaku.

No comments: