Tuesday, May 31, 2011

Tarif elektrik naik, harga barang akan naik

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/Image037-3.jpg?t=1251353332PARIT BUNTAR – Pas Parit Buntar membantah keras kenaikan mendadak tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus kerana membebankan rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Pas Parit Buntar, Abdul Bahrain Desa berkata, rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga bil elektrik tetapi harga barangan juga akan naik akibat peningkatan kos elektrik dalam sektor perindustrian.

“Tidak mustahil, sektor perindustrian akan menaikkan harga barang keluaran bagi menampung tarif elektrik yang ditanggung.

“Kesan kenaikan ini kembali kepada rakyat sebagai pengguna kerana terpaksa membayar harga barangan yang meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Bahrain berkata, kerajaan cuba memberi janji manis kepada rakyat kononnya kenaikan ini hanya memberi kesan kepada 25 peratus pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 300 kilowatt elektrik sebulan.

Sebaliknya, kata beliau, kenaikan itu memberi kesan kepada keseluruhannya terutama yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, penduduk bandar menerima kesan kenaikan bil elektrik paling ketara kerana purata penggunaan elektrik sesebuah keluarga melebihi 300 kilowatt sebulan.

:Sementara itu, ahli jawatankuasa Pas Parit Buntar, Adnan Abd Rahman membidas tindakan kerajaan yang tidak mengekang kenaikan itu dengan menyemak semula pemberian subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP).

“Subsidi untuk IPP yang patut dikurangkan bagi membolehkan TNB menjual elektrik kepada rakyat pada kadar berpatutan dan pada masa sama tidak terlalu bergantung kepada subsidi gas untuk mengekalkan tarif elektrik,” katanya

Adnan berkata, kerajaan sekali lagi meminta rakyat bersedia menanggung sebahagian kos subsidi yang kini ditampung kerajaan.

“Sebelum meminta rakyat menanggung semua kos subsidi, rakyat minta dua perkara dari kerajaan.

“Pertama kawal semua pembaziran, ketirisan dan kawal amalan rasuah yang begitu berleluasa.

“Kedua, kaji semula subsidi tinggi yang diberikan kepada sektor pengeluaran tenaga seperti IPP kerana kerajaan memberikan subsidi yang tinggi dan membebankan rakyat,” katanya.SH

No comments: