Sunday, May 8, 2011

UMNO BN Sukar Rampas Selangor



SHAH ALAM 8 MEI : Pakatan Rakyat yakin mempertahankan Selangor pada pilihanraya umum akan datang kerana rekod pentadbirannya dalam tempoh tiga tahun lalu jauh lebih baik berbanding prestasi Barisan Nasional sepanjang pemerintahan lebih 50 tahun parti itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata keinginan Umno-BN untuk menawan semula Selangor adalah perkara biasa tetapi yang penting ialah sama ada rakyat boleh yakin semula kepada parti itu yang dibelit dengan pelbagai amalan rasuah, penyelewengan kuasa dan pemborosan selama ia menerajui negeri ini.

“Dari segi keinginan untuk memenangi Selangor ini itu adalah suatu lumrah politik . Politik ialah terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan. Dan pada Mac 2008 rakyat telah membuat pilihan mengenai siapakah yang sepatutnya memerintah atau mentabir negeri Selangor.

"Kalau Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional ingin mengambil balik negeri Selangor, terpulanglah kepada mereka untuk memberitahu kepada rakyat apakah yang mereka boleh lakukan selain daripada yang telah mereka tunjukkan 50 tahun yang dulu. Dalam masa tiga tahun kita telah buktikan (bahawa) kita mentadbir Selangor jauh lebih baik daripada BN," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian selepas menutup Siri Jelajah Belia Selangor, `Anak Muda Meneraju Perubahan’ di kediaman rasmi Menteri besar di Shah Alam hari ini.

Setelah menawan Selangor pada PRU 2008, kerajaan Selangor memperkenalkan dasar ekonomi yang memulangkan semula kemakmuran kerajaan negeri kepada rakyatnya di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Antara lain, MES menawarkan Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti OSCC, Bekalan Air Percuma bagi 20 meter padu pertama, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dan Program Penempatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

Kerajaan negeri juga giat menganugerahkan geran pemilikan tanah kepada mereka yang layak. Disamping itu, kerajaan negeri membangunkan sistem pengkalan data untuk mentadbir urus tanah- tanah diseluruh negeri.

Terbaru, kerajaan negeri mengumumkan akan membina rumah mampu milik berkeluasan 750 kaki persegi hingga 850 kaki persegi pada harga tidak lebih daripada RM100 ribu ringgit.

Sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat di Selangor juga ditahap membanggakan. Buktinya setiap kali siri ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat, mendapat sambutan hanggat meskipun hampir setiap kali ceramah itu dicemari dengan tindakan polis yang cuba menghentikan majlis tersebut.

Baru- baru ini Najib dilaporkan menggesa UMNO Selangor agar menggunakan segala 'senjata' bagi merampas kembali negeri itu daripada pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Jadi kalau tujuannya untuk mengambil alih Selangor kerana nak menutup kesalahan-kesalahan 50 tahun ini bukan tujuan untuk rakyat tetapi tujuan untuk kewududan parti yang tidak dapat berjasa kepada rakyat walaupun kesempatan yang lama telah diberikan kepada mereka,” kata Khalid.

No comments: