Friday, June 24, 2011

HINA ISLAM : Utusan dibakar di seluruh negara



KUALA LUMPUR 24 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar Utusan Malaysia berhubung tindakan penyiaran karikatur ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusof menyatakan tindakan penyiaran karikatur itu menghina sensitiviti umat Islam di negara ini dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Utusan.

“Utusan telah menghina hukum agama Allah. Perhimpunan kita menyatakan bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan besar terhadap umat Islam dalam negara.

“Kepada pihak JAWI dan KDN supaya mereka menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap Utusan. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, kita akan meneruskan bantahan kita dengan skala yang lebih besar,” katanya.

Sabki berkata demikian sebelum mengadakan demonstrasi membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu.

Lebih 50 orang menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di perkarangan Majid Jamek Kampung Baru, di ibu negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, DPPP Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abd Aziz pula mendesak agar pihak KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia ekoran paparan akhbar itu yang sering menyimpang dari landasan sebenar.

“Tindakan awal kita menghantar memorundum kepada Utusan Malaysia agar mereka menarik balik karikatur terbabit dan memohon maaf kepada umat Islam. Kita juga minta KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia yang kita rasakan isu ini serius. Kalau mereka hina kita, kita boleh maafkan. Ini mereka menghina Islam seperti bantahan yang kita lakukan berhubung penyiaran karikatur di Sweeden dan Denmark,” katanya.

DPPP hari ini menggerakkan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur mengelirukan tentang hukum Islam dalam mengadili sesuatu kes jenayah.

Selain di Kuala Lumpur, demonstrasi turut diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.

Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan “Utusan Hina Islam”, “Hancur Utusan Malaysia”, Boikot Utusan Malaysa”, “Hidup Umat Islam”, “Jangan Hina Ajaran Islam” dan “Batalkan Permit Utusan Malaysia.”

Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada seseorang yang mirip seperti pegawai jabatan agama, namun ditolak kerana menurut watak itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Pada Jumaat lalu, Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia dan memberikan tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap kartunis yang berkenaan.

No comments: