Saturday, June 18, 2011

Kabinet PAS Terengganu, Kelantan dan Melaka diumumkan

PAS Terengganu Dibarisi Pemimpin Muda

KUALA TERENGGANU: Mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu pada Sabtu menyaksikan pelantikan ramai muka baru dengan sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan muda.

Pesuruhjaya PAS baru Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata pelantikan tersebut adalah antara sebahagian daripada persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Bagaimanapun, orang lama yang banyak berpengalaman juga diperlukan dan berada di belakang kami," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini.

Mohd Abdul Wahid berkata mesyuarat itu juga mengambil keputusan melantik presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penasihat kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Katanya pelantikan Abdul Hadi memandangkan beliau adalah orang Terengganu dan juga merupakan Anggota Parlimen Marang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Beliau berkata, selain beliau serta tiga Timbalan Pesuruhjaya Saiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak (ADUN Bukit Tunggal), seramai 22 ahli jawatankuasa baru juga telah dilantik.

Mohd Abdul Wahid berkata Yahaya Ali dikekalkan sebagai setiausaha manakala tiga penolong setiausaha ialah Kamarudin Yunus, Hanafiah Mat dan Zakaria Dagang.

Katanya, M Shukrimun Shamsudin pula dilantik sebagai bendahari, ketua penerangan Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala Ariffin Deraman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri.

Di samping itu, 10 ahli jawatankuasa yang dilantik antaranya Datuk Abu Bakar Chik, Dr Mohd Khazani Abdullah, Dr Azman Ibrahim, Zarani Binti Othman, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (ex officio) dan dua pemeriksa kira-kira.

Mohd Abdul Wahid berkata, beliau mendapat kerjasama yang cukup baik dengan barisan kepimpinan baru yang dilantik itu dan menyifatkannya lebih mantap. -BERNAMA


PAS Melaka selesai lantik 'kabinet' penuh

PAS Negeri Melaka selesai melantik semua jawatan dalam 'kabinet' nya pada mesyuarat pertama petang ini. Pesuruhjaya PAS Negeri, Adly Zahari berkata perlantikan semua jawatan tersebut dipersetujui oleh semua ahli-ahli mesyuarat PAS Negeri.

Bekas Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Kamaruddin Sidek dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 manakala Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Mohd Nor Omar diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2. Ustaz Kamaruddin merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin.

Bekas Ketua Penerangan Negeri sessi lalu yang juga Yang Dipertua PAS Bukit Katil, Sofi Wahab dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 3.

Asri Shaikh Abdul Aziz pula dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan yang baru menggantikan Harun Mohamed yang sekarang menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Azrin Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri yang baru. Manakala Husni Balis Ali dikekalkan sebagai Bendahari PAS Negeri.

3 orang Penolong Setiausaha telah dilantik iaitu Abdullah Jamil, Hedzir Abdul Rahman dan Abdul Halim Said.

Bahiki Ismail dipilih sebagai Pengarah Pilihanraya PAS Negeri menggantikan Mejar (B) Jasme Tompang.

Beberapa orang Ahli Jawatankuasa tambahan yang dipilih ialah Mohd Ali Sharif, Ashraf Mukhlis Minghat, Rafaie Ahmad, Ustaz Imran Abdul Rahman, Kapten (B) Mohd Jaafar, Mohd Fauzi Maelah, Dr Khatijah Jumangat, Ustaz Julasapiyah Kassim, Ustaz Kamis Saat,Ustaz Mohd Khairi Abdul Aziz.

Sementata itu Rajah Shanmugan telah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Melaka. Sebelum ini Dewan-Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat telah dipilih pada Mesyuarat Agung masing-masing. Ustaz Zulkifli Ismail dipilih sebagai Ketua Dewan Ulama; Yuhaizad Abdullah sebagai Ketua Pemuda dan Hajah Kintan Man sebagai Ketua Dewan Muslimat.

Perubahan agak besar PAS Kelantan

KOTA BHARU, 18 Jun: Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.

Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim.

Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah.

Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas.

Selain itu Setiausaha Kerja Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal.

Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri.

”Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan.

”Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa,” ujarnya.

Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu.

Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan.

No comments: