Wednesday, June 1, 2011

Kes Sarbani , polis jangan buat-buat lupa



KUALA LUMPUR 1 JUN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terbuka mengenai siasatan keatas kematian seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed yang kelihatan dipinggirkan.

Ini berikutan sehingga kini tiada maklumat atau tangkapan dibuat pihak polis walaupun laporan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dikenali sebagai Ghani mengakui bahawa pihaknya terlibat dalam kes kematian itu.

"Kita tidak nampak mengapa IGP tidak boleh memberi maklumbalas. (Sebentar tadi) kita hanya dapat nama pegawai yang kita akan hubungi dalam masa beberapa hari lagi untuk mendapatkan sedikit maklumat.

"Tapi saya juga desak pihak wartawan memberi tekanan untuk mendapat respon daripada pihak polis," kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditemui media turut berpendirian persepsi umum terhadap polis semakin menipis apabila siasatan polis diperhatikan menjurus kearah pendakwaan terpilih.

"Maka dalam isu penyiasatan sekalipun, kita perlu ada keutamaan. Kes kematian, bersabit dengan kerajaan sebegini, SPRM perlu mendapat keutamaan daripada PDRM," ujar beliau.

Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM, Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April.

Allahyarham kemudian datang semula ke pejabat SPRM untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, namun menemui mayat pegawai kastam itu di tingkat bawah bangunan tersebut pada jam 10.15 pagi.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Turut hadir menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR, N Surendren dan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip.

No comments: