Sunday, June 26, 2011

Semakin ditekan, dicabar, diprovok semakin ramai yang mahu hadir Himpunan BERSIH 2.0

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjH39PZYdxEVUENY9J9P-dWzQ3UnlqtMYz0k7YC_EGBmPnq51MjmkcSti3-H4vUXxfMRinscCm2GWNRD7bDoyluskUD-hXRpqsQ4WBWnn6vxM2_1DQO-RCr1-6rJwGqq-ZzfQJT_jwSXGO3/s400/hd_bersih_27.png

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tiga patah perkataan yang dikeluarkan Perdana Menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan kehadiran lautan manusia pada himpunan Bersih kali pertama diadakan pada tahun 2007. ‘Saya pantang dicabar’ yang diucapkannya telah membakar semangat para penyokong pembangkang di seluruh negara untuk berhimpun bagi mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya umum yang bersih dan adil. Itu kali pertama perhimpunan paling besar di Kuala Lumpur pernah diadakan.

Kali ini untuk himpunan Bersih 2.0 meletakkan sasarannya ialah 300 ribu. Terdapat tiga faktor mengapa sasaran 300 ribu boleh dicapai. Angka tersebut akan menjadi tiga kali ganda dari jumlah himpunan Bersih kali pertama diadakan tahun 2007.

Pertama, kerana publisiti besar-besaran yang diberikan oleh semua media negara. Propaganda negatif yang disebarkan oleh semua media-media utama negara terhadap himpunan Bersih adalah juga publisiti. Cara berfikir penyokong pembangkang memang begitu. Semakin diperlekeh dan semakin ditekan maka semakin kuat semangat mereka untuk menyanggahi arus media perdana.

Media kedua di alam maya juga tidak kurang melebarkan publisiti. Tahun 2007, revolusi Facebook belum meledak. Sekarang Facebook menjadi media maya yang sangat berkesan menyebarkan maklumat. Kebangkitan rakyat di negara-negara Arab semuanya hasil ledakan maklumat melalui laman maya Facebook.

Faktor kedua, ialah pengalaman pertama yang menggamit peserta baru himpunan. Kali pertama himpunan Bersih diadakan, provokasi pihak polis tiada seberapa. Hanya di sekitar Sogo dan Masjid Jamek ditembak gas ditembak. Tetapi himpunan Gerakan Mansuhkan ISA lain suasananya. Hampir tiada peserta yang tidak terkena tembakan gas dan pancutan air kimia. Kuala Lumpur jadi bagai medan perang.

Adakah orang PAS ketakutan dan trauma dengan menghidu asap gas pemedih mata? Tidak sama sekali. Mereka pulang ke tempat masing-masing dan bercerita berhari-hari dengan bangga perihal ditembak gas dan dipancut air. Orang yang tidak pergi merasa rugi dan teruja untuk hadir sama jika himpunan seperti itu diadakan. Itulah golongan anti BN. Cara berfikir mereka adalah di luar kotak pemikiran UMNO.

Faktor ketiga, ialah cabaran. Ibrahim Ali dedahkan bahawa seluruh ahli Perkasa akan dikerah menghalang himpunan Bersih 2.0 dari diadakan. Polis pun tidak mampu halang demonstrasi tetapi Perkasa mendakwa mampu melakukannya. Cabaran kedua datangnya dari Pemuda UMNO yang juga bertegas mahu adakan himpunan di tempat yang sama bertujuan menyokong dan mempertahankan ketidakadilan SPR.

Sebahagian besar penyokong pembangkang merasakan himpunan pada hari itu istimewa kerana ada musuh yang mahu berdepan. Sebelum ini mereka hanya meninju angin. Walaupun mungkin Perkasa dan Pemuda UMNO bukan kumpulan yang mahu diperangi tetapi mereka menjadi saingan yang akan menjana semangat ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara.

Para penyokong PR sudah puas merasa dibuli saban hari dan saban waktu oleh media-media utama negara. Untuk mendengar ceramah terbuka pun sukar kerana permit sukar diperolehi. Tempat untuk meluahkan rasa hati adalah terhad. Sekali ada peluang untuk ‘melepaskan geram’ menunjukkan kekuatan, maka jarang ahli dan penyokong pembangkan mahu melepaskannya. Maka percayalah bahawa kehadiran untuk Bersih 2.0 nanti sangatlah ramai.

Namun jangan difikirkan pula bahawa kerajaan BN yang sedang ketakutan akan membiarkan sahaja himpunan terbesar rakyat Malaysia itu akan berlaku dengan selesa. Himpunan besar kumpulan manusia ibarat apin yang membakar dan boleh merebak. Himpunan rakyat Tunisia hanya bermula dengan bantahan terhadap seorang lelaki yang membakar diri kerana gerainya dirobohkan. Akhirnya sebuah kerajaan yang sebelum ini nampak kuat pun boleh tumbang.

Dua bulan sebelum tumbangnya Hosni Mubarak, dia masih kelihatan gagah perkasa. Dia kelihatan lebih kuat dari Najib ketika ini, tapi kuasa rakyat sekelip mata berjaya menumbangkan Mubarak.

Penganjur bersih dan para pemimpin PR pun barangkali tidak pernah terfikir hingga ke tahap itu. Mereka hanya memfokuskan kepada tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil. Tetapi pihak yang takut hilang kuasa sudah membuat andaian hingga ke situ.

BN sudah membayangkan kemungkinan menggunakan kekuatan tentera, melakukan pencegahan awal (mungkin bermaksud tangkapan) dan penggunaan ISA. Baju kuning Bersih sudah diharamkan dari di jual. Syarikat pengangkutan awam sudah diugut akan ditarik permit jika menyewakan perkhidmatan kepada peserta himpunan. Keretapi Tanah Melayu Berhad yang sebelum ini sangat teruja dengan tempahan tiket berkelompok, hari ini tidak mahu lagi menerimanya. Mereka juga sudah diugut.

Sehari dua menjelang himpunan mungkin akan terdapat sekatan jalanraya di merata tempat. Tujuannya untuk menggagalkan kehadiran orang ramai ke Kuala Lumpur. Jika sebelum ini laluan ke tempat himpunan boleh dibolosi oleh keretapi laju yang masuk ke Kuala Lumpur, mungkin pada hari tersebut perkhidmatan itu dibekukan. Ia boleh melumpuhkan Kuala Lumpur dan membangkitkan sumpah seranah orang ramai, tetapi ia tidak mustahil untuk dibuat oleh kerajaan yang sangat ketakutan.

Maklumat terkini ialah UMNO akan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk memohon baginda mengarahkan himpunan Bersih tidak diadakan. UMNO tidak akan malu untuk memperalatkan istana bagi mempastikan kuasa mereka tidak tergugat melalui pilihanraya yang bersih.

Sifat orang yang ketakutan ialah mereka akan tenggelam punca, lantas melakukan apa saja di luar kewarasan. Orang lumpuh pun boleh berlari kerana takutkan hantu Kak Limah, inikan pula orang yang ketakutan kerana akan hilang kuasa.

Satu lagi yang mesti difikirkan oleh penganjur ialah sabotaj. Bersama BN sekarang ialah Zulkifli Nordin yang mengaku pernah membakar masjid India pada himpunan reformasi 1998. Dia boleh memberi idea kepada musuh Bersih untuk memikirkan apa pula yang mahu dibakar supaya rakyat marahkan PR.

Segalanya mungkin.

No comments: