Friday, June 10, 2011

UMNO tak faham perjuangan PAS, baik duduk diam

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/02/Pm-Umno.jpg

UMNO dikatakan tidak memahami konsep yang diperjuangkan oleh Pas berikutan dakwaan yang mengatakan Pas telah menyimpang dari dasarnya selepas menggunakan cogan kata ‘Negara Berkebajikan’.


Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad ketika menulis dalam blognya berkata,istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli Pas ialah ‘sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).

Menurutnya, sejak cogan kata tersebut diperkenalkan, pelbagai isu yang dilaung-laungkan.


"Antaranya ialah bahawa kononnya Pas sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR serta DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan Pas adalah ‘Negara Berkebajikan’ dan bukannya ‘Negara Islam’.


"Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan kata tertentu, sebaliknya ia mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut.


"Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai," katanya.


Khalid yang menulis dalam entri bertajuk "Coretan Muktamar Pas ke 57 turut berkata, istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana Pas ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat.


"Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan Pas. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia, termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.


"Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.


"Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak," tambahnya lagi.


Beliau yang turut mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia yang mendakwa Pas menolak kepimpinan ulama berkata, pemilihan merupakan pimpinan parti bukan pertandingan ‘Anugerah Ulama’ terbesar di dalam Pas.


"Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama’ atau bukan ulama’ tidak relevan sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama’, ianya telah diinstitusikan dalam Pas melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama’. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama’ atau tidak diambil kira," katanya.


Dengan adanya Majlis Syura Ulama, Pas dikatakan akan sentiasa dibawah kepimpinan ulama.


"Inilah sebabnya perlembagaan Pas dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan ‘Majlis Syura Ulama’.Oleh yang demikian, Majlis Syura inilah sebenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam," kata Khalid dalam blognya.



Sumber dari blog Khalid Samad

No comments: