Tuesday, July 26, 2011

Najib ingat orang UMNO sahaja masyarakat umum


SHAH ALAM 27 JULAI : Hakikat yang tidak dapat disangkal Perdana Menteri Najib Razak adalah peserta himpunan aman Bersih 2.0 juga merupakan sebahagian daripada masyarakat umum di Malaysia.

Justeru, kenyataan yang kononnya beliau terpaksa menggunakan kuasanya bagi meleraikan himpunan aman 9 Julai lalu bagi melindungi kepentingan masyarakat umum tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata Najib seharusnya bersikap terbuka dan memperakui hak rakyat Malaysia untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka secara aman tanpa sebarang provikasi daripada kerajaan pemerintah.

"Bagi saya, kita kena soalkan kepentingan awam siapa ? Bukankah sekurang- kurangnya 50 ribu yang datang bukan mereka juga awam ? Mereka pun ada kepentingan awam.

Jadi alasan itu tidak boleh digunakan untuk memberi justifikasi kepada kepimpinan kezaliman yang dilakukan pada hari itu, pada 9 Julai lalu," tegas Sivarasa.

Najib semalam menerusi laman blognya, www.1Malaysia.com mendakwa beliau bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum daripada musnah tatkala himpunan aman itu berlangsung.

Sivarasa buat kesekian kalinya berkata himpunan rakyat itu terbukti berlangsung secara aman dengan setiap dari mereka hadir sehelai sepinggang tanpa sebilah senjata.

Keadaan hanya berubah tegang apabila pihak berkuasa mula menggunakan kekerasan dengan memukul, menendang, menembak gas pemedih mata dan semburan air bercampur kimia kepada peserta himpunan itu.

Keadaan itu dapat dibuktikan dengan ratusan video yang dimuatnaik ke laman youtube.

"Bagi saya, kita penyokong Bersih telah membuktikanlah mereka datang secara aman. Kita boleh lihat di Jalan Pudu macam mana mereka duduk secara aman diatas jalan raya. Tiada kekerasan tapi pihak yang menggunakan kekerasan ialah pihak polis," tegasnya.

Sivarasa berpandangan tindakan Najib enggan melayani tuntutan rakyat itu memperlihatkan presiden UMNO itu seolah- olah takut pada sokongan rakyat yang sepenuh hati menyokong perjuangan Bersih 2.0.

"Bagi saya, kejadian ini menunjukkan ketakutan besar dalam hati Barisan Nasional ini. Rakyat Malaysia telah menunjukkan keberanian mereka. Mereka tidak boleh lagi ditakutkan dengan propaganda kosong, propaganda menakut- nakutkan mereka melalui tv atau radio," katanya.

No comments: