Thursday, July 7, 2011

Teruskan BERSIH 2.0, bukan rakyat gentar tapi UMNO yang berlindung di belakang polis

http://mynewshub.my/wp-content/uploads/2011/06/Perhimpunan-Bersih-Terus-Dapat-Bantahan.jpgPETALING JAYA - Wanita PKR mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melanggar titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin apabila terus mengharamkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.

Ketuanya, Zuraida Kamarudin mendakwa, tindakan Hishammuddin menghalang perhimpunan Bersih menunjukkan menteri itu tidak akur dengan apa yang dititahkan oleh Tuanku Mizan.

“Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk diadakan perhimpunan aman ini, seharusnya Hishammuddin taat.

“(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat sudah lepas tangan dan tidak berupaya mengawal perilaku menteri-menterinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Azwan Ramli.

Sinar Harian semalam melaporkan kenyataan Hishammuddin yang berkata, Bersih masih sebuah pertubuhan haram walaupun selepas pemimpinnya menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon kebenaran mengadakan perhimpunan Sabtu ini.

Hishammuddin dilaporkan berkata, keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram berdasarkan nasihat Pejabat Peguam Negara mengikut undang-undang.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, tindakan kerajaan menghalang perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini membuatkan rakyat lebih marah dan bersemangat untuk berhimpun pada hari itu.

Pada sidang media itu juga Zuraida turut melancarkan kempen ‘Teruskan Bersih’ dengan membawa dua lagi tuntutan, iaitu mendesak Hishammuddin segera membebaskan 194 tahanan, termasuk enam yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Menteri itu juga diminta menghentikan sebarang penahanan dan mengembalikan kesemua barang Bersih yang dirampas.

Zuraida juga menyelar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang membekukan permit sementara bas untuk perjalanan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.

“Kerajaan menuduh Bersih membawa kerugian kepada banyak pihak apabila mengadakan perhimpunan, tetapi kerajaan sendiri yang menyekat rezeki dan ekonomi sesetengah pihak apabila membekukan permit sementara itu.

“Lebih buruk lagi ialah kemungkinan semua pengangkutan awam di ibu negara akan dihentikan,” katanya.

Zuraida mendakwa Barisan Nasional (BN) cuba menimbulkan provokasi membawa masuk provokator mereka menyertai Bersih.

“Kami dengar ada pihak mencetak baju-T Bersih di Thailand untuk diedarkan kepada provokator mereka.

“Justeru, saya mengingatkan ahli-ahli Pakatan Rakyat berjaga-jaga dengan mereka yang tidak dikenali,” katanya

No comments: