Monday, August 8, 2011

Dr. Muhammad Uthman El Muhammady mahu dialog tertutup


KUALA LUMPUR 9 OGOS : Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady menafikan bahawa beliau menolak tawaran untuk berdialog berhubung isu Wahabi yang dikaitkan oleh beliau dengan "kesesatan" dan "keganasan" Arab Saudi baru-baru ini.

Sebaliknya kata Uthman, beliau mahu dialog yang disyorkan itu diadakan secara tertutup.

“Saya tidak menolak untuk berdialog, tetapi saya mahu majlis itu diadakan secara tertutup dengan penganjuran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” kata beliau.

Uthman yang dipetik dari Sinar Harian hari ini berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan keselamatan negara selain boleh menggugat hubungan baik antara negara.

“Dialog seperti ini perlu secara tertutup dengan dihadiri pakar-pakar yang dipilih oleh KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata beliau.

Uthman berkata, apa yang beliau timbulkan bukan untuk meraih publisiti tetapi sebagai maklumat kepada kerajaan untuk melihat masalah itu.

“Tidak timbul isu ada negara yang bahaya kepada Malaysia dan ibadah haji perlu ditangguhkan seperti yang dilaporkan. Saya sendiri baru sahaja menunaikan haji tahun lalu,” kata beliau lagi.

Portal The Malaysian Insider semalam membawa laporan memetik Juanda berkata Uthman telah menolak pelawaan beliau agar diadakan satu dialog berhubungi isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Menurut Juanda, beliau menerima surat penolakan Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Juanda berkata beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat MKN dua minggu lalu.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan ahli akademik takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi buta,” kata beliau.

Sebelum ini, banyak pihak seperti Persatuan Ulama Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan idea diadakan dialog harmoni agar perselisihan berkaitan hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Mengulas hal sama, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi Tv Selangor semalam menyifatkan penolaan Uthman sebaga i perbuatan "kurang intelek".

Menurut Asri, sebagai seorang pemimpin agama, Uthman harus tampil menjelaskan segala dakwaan yang dibuatnya, apatah lagi beliau dijemput berdialog oleh orang yang dituduh.

No comments: