Friday, August 5, 2011

Mat Sabu bebas bukti polis tak profesional, niat tak baik pecah cerminkan kereta

(Mohamad Sabu [tengah bertongkat) bersama peguam dan penyokongnya di perkarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas dibebaskan. Dua dari kanan adalah Mohamed Hanipa Maidin)

PULAU PINANG, 5 Ogos: Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang yang membebaskan Mohamad Sabu dari dakwaan menghalang tugas pejawat awam dalam kes polis pecah kereta beliau untuk menyerahkan waran tangkap.

Di samping bersetuju dengan keputusan mahkamah majistret bahawa waran tangkap yang dikemukakan polis kepada Mohamad Sabu cacat, Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim juga berkata, pertuduhan juga cacat.

"Dengan pertuduhan yang cacat, tertuduh tidak perlu dipanggil membela diri," kata hakim dalam keputusannya menolak permohonan Ketua Pendakwaraya Pulau Pinang, Suhaimi Ibrahim agar mahkamah mengkaji balik keputusan Mahkamah Majistret Jawi yang membebaskan Mohamad Sabu Disember 2008 tanpa dipanggil membela diri.

Mohamad Sabu dibela oleh tiga peguam iaitu Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkipli dan Yusnita Yusoff.

Mohamad Sabu bersama sembilan yang lain didakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghalang pejawat awam menjalankan tugas.

Namun hanya Mohamad Sabu sahaja diheret ke Mahkamah Tinggi untuk dikaji keputusan Mahkamah Majistret itu.

Peristiwa tangkapan itu berlaku pada 10 Disember 2007 di mana Mohamad di tangkap di tol Bukit Tambun, Pulau Pinang dengan cara polis memecahkan kereta Naza yang dinaiki beliau dan keluarganya.

Tangkapan itu dibuat berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas beliau ekoran perhimpunan Bersih 1 pada 2007.

Tangkapan dibuat dihari beliau dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Ipoh, Perak. Di Ipoh, polis cuba menangkap beliau namun selepas berunding, beliau bersetuju akan ke Balai Polis Kepala Batas selepas urusan perkahwinan anaknya itu selesai.

Tetapi apabila sampai ke tol Bukit Tambun pasukan polis yang ramai mengepong kereta beliau dan keluarga dan mendesak beliau menyerah diri di situ.

Namun, Mohamad Sabu berkeras tidak bersetuju untuk ditangkap di situ kerana perjanjian telah dibuat beliau akan ke Balai Polis Kepala Batas.

Akibatnya, polis telah memecahkan pintu kerera Naza yang dinaiki beliau dan keluarga. Ekoran itu, dakwaan telah dibuat terhadap beliau di Mahkamah Majistret Jawi atas dakwaan menghalang pejawat awan menjalankan tugas mereka.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Majistret, polis yang menangkap beliau bersetuju bahawa tindakan beliau dan rakan-rakannya itu polis membahayakan Mohamad Sabu termasuk boleh menyebabkan kematian.

Dia juga berkata, walaupun itu akibatnya, dia sanggup membuat kerja itu.

Ketika memebaskan Mohamad tanpa membela diri, majistret memberikan alasan waran tangkap yang dikeluarkan kepada Mohamad cacat kerana ada tiga waran yang berbeza dan bertentangan antara satu sama lain.

Dengan pembebasan ini, sudah tiga kes dakwaan terhadap Mohamad Sabu gagal. Dua lagi kes adalah kes ceramah tanpa permit di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan yang dibicara di mahkamah Jelebu.

Kes kedua adalah kes perhimpunan Bersih 1 di mana beliau didakwa bersama beberapa pemimpin PAS dan Pakatan yang lain termasuk Dr Hatta Ramli, anggota Parlimen Kuala Krai.

Beliau kini berhadapan dengan satu lagi kes perhimpunan iaitu kes perhimpunan Protes kenaikan harga barang yang diadakan di Kuala Lumpur.

Peguam Mohamad Hanipa (gambar) ketika bercakap dengan Harakahdaily berkata, beliau bimbang kerajaan mempunyai motif yang tidak baik terhadap Mohamad Sabu.

"Kes ini tunjuk polis tak profesional dalam menjalankan tugas dan tidak mesra rakyat, seolah-olah ada niat tak baik ke atas Mohamad Sabu berikutan cara tangkapan yang dibuat iaitu dengan memecahkan cermin kereta dan juga kes terbaru kes Bersih 2.0.

"Kes itu saya dah hantar notis ke Bukit Aman dan akan fail ke mahkamah dakwa polis kerana memfitnah beliau," kata Hanipa yang juga AJK PAS Pusat.

Polis mendakwa, Mohamad menipu apabila mendakwa kenderaan polis melanggar beliau dalam perhimpunan Bersih 2.0

"Macam ada usaha nak kenakan dia je...walaupun dah beberapa kali bebas dan sebelum ini dia ditahan di bawah ISA," katanya.

No comments: