Friday, August 12, 2011

Monopoli kroni UMNO-BN terus bebankan rakyat, NKRA Najib gagal


PETALING JAYA 13 OGOS : Pakatan Rakyat mengutuk monopoli syarikat-syarikat besar Malaysia yang dikuasai kroni Umno-BN kerana langsung tidak membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia.

Jawatankuasa Bajet Alternatif PR berpendapatan, hal ini bertentangan dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Menurut ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad ini dapat dilihat dengan perkara paling asas iaitu makanan ruji rakyat Malaysia, beras.

"Beras merupakan monopoli paling besar. Satu-satunya pengimport dan pengedar adalah Bernas. Walaupun dalam harga subsidi, jika kita benarkan orang lain import beras, dengan pasaran dan ekonomi, beras boleh dijual dengan harga lebih rendah dari Bernas," terang beliau dalam sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat semalam.

Dengan sinis Dr Dzulkefly berkata, hal ini seharusnya dijawab oleh Najib sendiri yang tidak berpijak pada bumi nyata dengan pengumuman bantuan namun menaikkan kos kehidupan rakyatnya.
"Najib tahu hal ini salah tapi tetap dilakukan. Kenapa beri kepada kroni? Kita taknak buat andaian, mungkin mereka beri bantuan dan sokongan untuk pilihan raya. Biar parti politik buat analisis mengenai perkara ini," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong pula mengulas mengenai pertukaran saham antara Air Asia dan Sistem Penerbangan Malaysia yang dikatakan bakal mewujudkan 'kartel' atau monopoli dalam industri penerbangan negara.

Menurut Chin Tong, ia hanya akan menambah beban rakyat khususnya dari sabah dan Sarawak kerana kemungkinan tambang penerbangan domestik akan meningkat.

Hal ini ada asasnya kerana pengelola lapangan terbang negara ini Malaysian Airport Holdings Berhad dilaporkan mahu menaikkan cukai lapangan terbang dari RM14 ke RM65 bagi penumpang antarabangsa dan RM7 ke RM32 bagi pengguna domestik minggu ini.

"Khazanah pada masa yang sama meningkatkan cukai lapangan terbang menerusi MAHB. Semua ini dikawal oleh Khazanah. Semua ini berlaku pada waktu yang sama. Ini pasti bakal membunuh sektor penerbangan awam di negara ini dan membebankan pengguna iaitu rakyat Malaysia," kata beliau.

No comments: