Monday, November 7, 2011

Impian adik Tuah tercapai

PARIT BUNTAR, 8 Nov. : Impian adik Mohamad Tuah Razlan Mohd Saffie, 9 untuk memiliki mesin Braille akhirnya kesampaian apabila Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa menyampaikan mesin berkenaan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

Pengerusi Lujnah Kebajikan Pas Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata, pembelian mesin Braille telah diusahakan oleh Lujnah Kebajikan Pas Parit Buntar yang bertindak mengumpul derma orang ramai yang bersimpati dengan adik Muhamad Tuah Razlan.

“ Kami telah membuat hebahan tentang nasib adik Muhamad Tuah Razlan melalui Facebook Pas Parit Buntar .

“ Alhamdulillah , hasil sumbangan Lujnah Kebajikan , rakan-rakan Facebook Pas Parit Buntar dan orang ramai yang bersimpati . Akhirnya, mesin Braille untuk adik Muhamad Tuah Razlan dapat dibeli.” Katanya

Bahrain berkata, adik Muhamad Tuah Razlan yang cacat penglihatan sejak kecil adalah anak bongsu dari tiga orang adik beradik.

“ Beliau kini berada di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam .

“ Kakaknya kini bersekolah di MRSM Taiping manakala abangnya di SMKA Kerian, Semanggol” katanya

Sementara bapa Muhamad Tuah Razlan, Mohd Saffie Jaafar mengucapkan terima kasih kepada Pas Parit Buntar dan orang ramai yang memberikan sumbangan untuk pembelian mesin Braille anaknya.

“ Kami tidak mampu untuk membeli mesin ini kerana harganya mahal. Usaha PAS Parit Buntar mengumpul derma dan sanggup pergi ke Kuala Lumpur membeli mesin ini amat dihargai.

“ Sebelum ini anak saya hanya dapat menggunakan mesin ini di sekolah, sekarang anak saya boleh menggunakan mesin ini di rumah” katanya

Adik Muhamad Tuah Razlan yang baru pulang dari sekolah kelihatan begitu gembira semasa menerima mesin Braille berkenaan.


Gambar : Dr. Mujahid sedang menyampaikan mesin Braille kepada adik Muhamad Tuah

No comments: