Friday, December 2, 2011

HEMPAP himpun 7000 pemuda bukti himpunan boleh berjalan aman

PARIT BUNTAR, 3 Dis. : Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2011 yang berlangsung di sini berjaya menghimpunkan kira-kira tujuh ribu pemuda dari seluruh negeri dan dilaksanakan dengan aman tanpa sebarang provokasi ataupun huru hara.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, pemuda PAS berjaya mengadakan himpunan ini dengan aman, penuh berdisiplin dan tiada sebarang provokasi jahat yang berlaku.


" Ini jelas membuktikan, himpunan yang dianjurkan PAS tidak mengakibatkan sebarang huru-hara.

" Melainkan ada pihak tertentu ataupun pihak musuh yang sengaja mencari peluang untuk menggagalkan himpunan aman"katanya

Hairul Nizam berkata,bagi menjayakan program ini , Dewan Pemuda PAS Parit Buntar telah bersedia dari aspek keselamatan dan apa jua rintangan yang bakal dihadapi termasuklah provokasi yang boleh menggagalkan program ini.


" Apa yang pasti, kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Amal yang menyediakan lebih 50 orang anggota bagi menjaga keselamatan dan melancarkan laluan jalan raya sepanjang program ini berlangsung.

" Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kepercayaan kepada pemuda PAS melaksanakan program ini" katanya

Menurutnya, polis boleh menjalankan tugasan ditempat lain yang lebih memerlukan seperti operasi pencegahan jenayah daripada dikerah membubarkan himpunan aman ini.


" Program HEMPAP yang berlangsung aman ini jelas dijalankan secara harmoni.

" Ribuan anak muda diberi rangsangan serta motivasi untuk menjadi jentera terpenting untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang"katanya

Katanya, anak muda yang hadir menyokong PAS berjaya dididik supaya tidak timbulkan provokasi dan mendengar arahan daripada pimpinan.

" Ini menunjukkan bahawa segala gambaran pimpinan UMNO/BN menyatakan himpunan yang dilaksanakan Pakatan Rakyat boleh menimbulkan huru hara ternyata meleset.

" Justeru himpunan aman atau demontrasi jalanan ini wajar dipertahankan bagi menunjukkan negara kita mengamalkan demokrasi tulen" katanya


Tambahnya, setiap rakyat mempunyai hak untuk menyatakan sokongan dan bantahan tentang sesuatu isu dan perhimpunan aman ini perlu supaya suara mereka dapat didengari oleh kerajaan ataupun parti yang memerintah.










No comments: