Tuesday, January 3, 2012

Titi baru untuk penduduk

TANJUNG PIANDANG : Hasil usaha penduduk kampung dan bantuan Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, akhirnya terbina sebuah titi yang merentasi parit tali air ke jalan utama di Sungai Labu.

Penduduk kampung Sabri Husin, 54 berkata, mereka terpaksa membina titi berkenaan kerana permohonan mereka sejak sekian lama belum ditunaikan oleh pihak berwajib kerana ketiadaan peruntukan.

“ Titi ini merupakan laluan penting dan jalan pintas kepada penduduk di seberang parit tali air dengan jalan utama.

“ Titi yang ada sebelum ini telah lama rosak dan reput. Banyak kemalangan berlaku membabitkan penunggang basikal dan motorsikal yang menggunakan titi yang rosak berkenaan” katanya

Menurut Sabri, setiap kali permohonan dibuat, alasan yang diberikan oleh pihak berwajib adalah belum ada peruntukan.

“ Keadaan ini sangatkan menyusahkan kami semua termasuk anak-anak penduduk yang berbasikal hendak ke sekolah.

“ Mereka terpaksa melalui jalan yang jauh untuk menyeberang ke jalan utama. Sedangkan , hanya beberapa minit sahaja digunakan jika menggunakan titi berkenaan”katanya

Beliau berkata, memandangkan titi itu amat penting kepada penduduk kampung maka mereka telah membuat aduan kepada Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

“ Ahli Parlimen juga pada awalnya, tidak berjanji untuk membina titi baru kepada penduduk kerana peruntukan kepadanya telah dinafikan pihak kerajaan.

“ Namun, beliau berjanji akan berusaha bersama pegawainya sedaya upaya berdasarkan kemampuan yang ada untuk membantu penduduk kampung”katanya

Katanya, selepas sebulan membuat aduan, akhirnya penduduk kampung mendapat berita gembira dari Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

“ Pegawai khas Ahli Parlimen memaklumkan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan dana untuk membiayai kos membina titi baru.

“ Penduduk kampung diminta bergotong royong membina titi baru dengan menggunakan dana yang dicari oleh Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar “katanya

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad berkata, Pusat Khidmat Parlimen telah berusaha mencari dana dari beberapa pihak bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini.

“ Apabila kami berjaya memperoleh dana , kerja-kerja pembinaan titi dijalankan dan mengambil masa hampir seminggu untuk disiapkan.

“Kami menyewa jentolak untuk memacakkan tiang titi sebelum penduduk kampung bergotong royong memasang lantai titi”katanya

Beliau berkata, walaupun titi yang menggunakan kayu mempunyai jangka hayat yang pendek namun sekurang-kurangnya penduduk boleh menggunakannya untuk beberapa tahun .

“ Tiang kayu yang menyentuh air lama kelamaan boleh mereput beberapa tahun akan datang. Jambatan besi konkrit lebih tahan lama tapi memerlukan kos yang tinggi.

“ Sungguhpun begitu, titi baru ini mampu memberi kemudahan pejalan kaki, penungang basikal dan motorsikal menggunakannya” katanya

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa kagum dengan kesungguhan penduduk kampung yang bergotong royong membina titi baru.

“Titi ini amat penting kepada penduduk .Saya berbangga kerana penduduk kampung menyiapkan pembinaan titi secara bergotong-royong.

“Ini memperlihatkan semangat kerjasama di kalangan penduduk kampung demi kemudahan anak-anak mereka yang menggunakan titi berkenaan untuk ke sekolah” katanya

Dr. Mujahid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memberi dana untuk membina titi berkenaan.

“ Pegawai khas saya , Hamdan Fadel adalah pengerak utama terhadap usaha mencari penyumbang kepada pembinaan titi ini.

“ Atas usaha beliau, ada pihak yang menyumbang tiang kayu selain wang ringgit sebagai kos membiayai pembinaan titi” katanya

Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim turut gembira dengan usaha bergotong royong yang dilakukan penduduk kampung dengan bantuan Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

“ PAS dan wakil rakyatnya tidak mempunyai dana besar sebagaimana kerajaan . Namun, kami berusaha sedaya upaya membantu kerana penduduk di sini begitu memerlukan titi baru.

“ Syukurlah, berkat kerjasama penduduk kampung dan Pusat Khidmat Parlimen , impian penduduk mempunyai titi baru akhirnya tercapai” katanya

Ajk PAS Sungai Labu Bawah Syahrin Mat Daud, 36 juga berterima kasih kepada Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar memberi komitmen positif dengan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah penduduk.

“ PAS Sungai Labu Bawah menghargai usaha Pusat Khidmat Parlimen dan penduduk kampung yang berkerjasama sehingga terbinanya titi ini.

“ Titi yang baru ini memudahkan warga kampung bergerak membuat aktiviti-aktiviti kerja masing-masing” katanya



Jentolak digunakan untuk memacak tiang supaya kukuh


Penduduk kampung bergotong royong memasang lantai titi

Titi baru yang siap dibina
Kesyukuran selepas siap titi baru

No comments: