Saturday, February 4, 2012

PRU 13!!! Salahuddin Ayob mungkin bertanding di Johor

G MANIMARANKUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang disebut-sebut akan bertanding di Johor - negeri kelahirannya - pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), akan menjawab teka-teki itu akhir bulan ini.Ketika ditanya sama ada akan keluar dari Kelantan kali ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini hanya berkata: "Itu tunggulah.

Bila sampai masa, saya akan adakan sidang media untuk menyatakan di mana saya akan bertanding.

"Pengumuman itu akan dibuat dalam beberapa minggu lagi, tambah beliau."Mungkin dalam masa terdekat.

Paling lewat pun bulan depan (Februari), kalau Parlimen masih belum lagi belum dibubarkan."Bulan depan (Februari) adalah masa yang sesuai. Mungkin akhir bulan Februari. Mungkin itu masa terbaik," kata beliau kepada Sinar Harian Online dalam satu pertemuan awal minggu lalu.

Salahuddin mengakui beliau secara peribadi sudah memutuskan kerusi yang hendak ditandingi.

"Ya, saya telah membuat keputusan. Dan, saya akan memaklumkan tapi saya belum maklumkan kepada parti. Saya akan maklumkan kepada parti," katanya lagi.

Banyak pihak membuat andaian Parlimen akan dibubarkan bulan ini.Pada pilihan raya umum 2008, beliau yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Selain dicalonkan oleh Pas kawasan Kubang Kerian, beliau juga dirisik agar bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) dan juga di Johor sendiri pada PRU13.

Beliau mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti Jun lalu.

Menjawab spekulasi akan bertanding kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri di Johor, sebagai bakal calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai negeri selatan Semenanjung itu, sambil senyuman lebar Salahuddin berkata, "itu khabar angin daripada kawan-kawan yang meramalkan saya akan balik ke Johor."

"Itu terpulanglah kepada mereka untuk membuat analisa, andaian dalam hal yang sedemikian," katanya.

Pemimpin berusia 50 tahun ini menambah, sebagai ahli politik, beliau tidak mementingkan ataupun mengejar jawatan.

"Tapi, yang penting bagi saya bukan isu nak jadi MB, bukan isu nak balik (ke Johor) mengejar jawatan, tapi yang penting ialah kita mencipta kemenangan dan kita memberikan sumbangan kita ke arah langkah ke Putrajaya. Itu yang lebih penting," jelas beliau.

Sehubungan itu kata Salahuddin, beliau bersedia untuk bertanding di mana-mana sahaja atas arahan parti.

"Saya tiada apa-apa masalah untuk memberi khidmat saya, untuk bertanding di mana saja. Jadi, itu saya serahkan kepada parti," katanya.

Sama ada keluar dari Kelantan atau tidak, katanya, beliau akan akur dengan parti sama ada mahu kekal di negeri itu atau bertanding di mana-mana kawasan.

"Itu merupakan satu perkara yang saya rasa sangat penting bagi mereka menentukan kedudukan saya yang ada pada hari ini," katanya lagi.

Bagaimanapun Salahuddin menegaskan, pada PRU13 beliau akan bertanding di tempat dan negeri yang beliau fikir boleh memberi impak kemenangan kepada PR.

"Saya bersedia untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk mencipta kemenangan yang lebih besar di kawasan-kawasan atau negeri-negeri yang diperlukan.

"Jadi saya rasa, itu hasrat saya yang saya rasa, mungkin ia akan direstui oleh parti," katanya lagi.

Sehubungan itu jelas beliau, "saya akan bertanding di kawasan yang saya rasakan saya boleh diterima oleh rakan-rakan dalam PR untuk saya bersama untuk memberi impak kemenangan.

"Ketika banyak Pas kawasan mencalonkan namanya, Salahuddin menambah, atas kapasitinya sebagai Naib Presiden, beliau akan memilih kawasan yang difikirkan sesuai.

"Saya akan memilih, saya akan memilih sendiri... bukan orang lain, dan saya akan menentukan sendiri tempat yang hendak (saya) bertanding.

"Bukan atas desakan atas arahan orang lain.Sudah pasti, apa pun keputusan yang buat atas nama Naib Presiden, saya berhak buat keputusan, dan sudah pasti saya akan menyatakan hasrat itu kepada kepimpinan parti, dan partilah yang akan memutuskan," katanya.

No comments: