Wednesday, February 29, 2012

SARANAN KEPADA NOH OMAR!!! Daripada saman Ng lebih baik saman Ketua Audit Negara

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim tidak peduli terhadap kenyataan saman RM10 juta oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terhadap dirinya.

“Saya tidak kisah… saya tak takut. Saya akan teruskan perjuangan untuk membela nasib golongan petani,” kata Ng ketika diminta mengulas kenyataan Noh yang disiarkan FMT semalam.

Noh yang juga timbalan ketua perhubungan Umno Selangor mengumumkan bahawa beliau akan menyaman Ng, kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dan akhbar milik kerajaan Selangor, Selangorkini kerana mendakwa beliau melesapkan wang insentif petani RM110 juta.

Mengulas lebih lanjut, Ng menyatakan bahawa kehilangan wang insentif RM110 juta telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Wang insentif tersebut sepatutnya diberikan di bawah rancangan insentif peningkatan hasil padi tetapi Ketua Audit menyebut di dalam Laporan Ketua Audit bahawa wang tersebut lesap.”

Di bawah rancangan tersebut, para petani diberikan RM650 bagi setiap tambahan 1 tan hasil padi.

Ng bagaimanapun mendakwa para petani telah mengadu kepadanya bahawa mereka tidak memperoleh insentif setelah meningkatkan hasil padi.

Oleh itu, Ng mengadakan demonstrasi bersama petani untuk mendapatkan penjelasan daripada Noh.

“Selepas demonstrasi tersebut, ramai petani memaklumkan kepada saya bahawa mereka memperoleh tunggakan wang insentif beberapa tahun lepas antara RM1,000 hingga RM3,000,” kata Ng.

Beliau menambah bahawa Noh sepatutnya menjelaskan bagaimana wang tersebut boleh hilang.

No comments: