Saturday, April 21, 2012

ISU BENDERA!!! Penyokong PAS dan UMNO bergaduh

KUANTAN, 21 April - Satu insiden pergaduhan berlaku antara penyokong UMNO dan PAS berhampiran Pejabat UMNO Kuantan, di Jalan Mahkota dekat sini malam tadi. 
 
Kejadian yang berpunca daripada "isu bendera" itu telah menyebabkan kekecohan dan mengejutkan orang ramai yang lalu lalang di situ. Masing-masing panik melihat kejadian yang berlaku di depan mata mereka itu. 
 
Berdasarkan maklumat, kekecohan berlaku gara-gara tindakan beberapa orang ahli Pemuda PAS Kuantan yang bertindak memacak bendera parti itu pada pokok-pokok yang terdapat bendera UMNO dan Barisan Nasional. Ini menyebabkan beberapa orang penyokong UMNO yang berada berhampiran Pejabat UMNO berhampiran menjadi marah dan mengarahkan pemuda PAS mencabut semula bendera tersebut. 
 
Mereka kemudian bertegang leher dan menuduh antara satu sama lain. Ketika itu, kelompok penyokong kedua-dua pihak mula semakin ramai dan sudah ada yang menggasak. Sebuah kenderaan polis dengan dua pegawainya yang lalu disitu kemudian cuma menenangkan keadaan. 
 
Penyokong UMNO marah dan menuduh PAS cuba menimbulkan kontroversi dengan memasang bendera mereka pada bendera UMNO BN yang terdapat di pokok-pokok sekitar kawasan terbabit. 
 
Mereka juga mendakwa, bendera itu dipasang di kawasan sendiri memandangkan bangunan Pejabat UMNO Kuantan terletak berhampiran kawasan itu. Kenyataan itu ditempelak oleh beberapa orang penyokong PAS yang mendakwa, UMNO hanya berhak letak bendera di bangunan sahaja tetapi bukan di pokok-pokok berkenaan. 
 
Malah mereka juga mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak menurunkan bendera UMNO BN di lokasi berkenaan kerana ia jelas melanggar peraturan yang mereka tetapkan. 
 
Malah, Yang DiPertuanya, Datuk Zulkifli Yaakob dengan tegas baru-baru ini menyatakan pihaknya akan menurunkan kain rentang, poster dan bendera parti-parti politik yang di pasang di beberapa kawasan penempatan dan jalan raya sekitar bandar ini. 
 
Inilah yang menyebabkan penyokong PAS marah kerana semua bendera mereka diturunkan di kawasan bandar, sebaliknya bendera UMNO dibiarkan oleh pihak berkenaan. Inilah yang jadi persoalan di kalangan penyokong PAS.


Kekecohan yang sepatutnya berakhir sekitar jam 12.00 malam itu, kemudiannya bertambah panas apabila kehadiran semakin ramai penyokong kedua-dua belah pihak. 
 
Turut kelihatan hadir Ketua UMNO Bahagaian Kuantan, Dato' Wan Adnan Wan Mamat serta lain-lain ahli jawatankuasa mereka. Biar pun beliau hadir menenangkan keadaan, namun tolak menolak terus berlaku di hadapan bangunan Hongkong & Shanghai Bank (HSBC). Pihak polis mengarahkan orang ramai bersurai, namun tidak diendahkan mereka. 
 
Difahamkan, kekecohan kedua itu berpunca daripada tindakan penyokong UMNO mencabut dan mematahkan bendera-bendera PAS yang dipasangkan pada pokok-pokok berkenaan. Keadaan semakin kecoh apabila pergelutan hingga ke jalanraya dan menganggu lalu lintas. 
 
Keadaan sedikit reda apabila pihak polis sekali lagi mengarahkan kedua-dua kumpulan bersurai. Beberapa orang anggota polis Cawangan Khas (SB) juga kelihatan memantau kejadian berkenaan. Keadaan sedikit kecoh apabila ada beberapa orang lelaki berbangsa India yang berbadan besar mula masuk campur. 
 
Mujurlah tiada kejadian yang lebih parah berlaku biarpun ada diantara mereka telah dikasari antara satu sama lain. Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof dilihat tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 1.20 pagi ketika kekecohan sudah pun dapat disuraikan oleh beberapa anggota polis yang bertugas.


[Melihat kekecohan yang berlaku malam tadi, ternyata kesalahan bukanlah daripada kedua-dua belah pihak sebenarnya. Ini kerana, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sepatutnya harus dipersalahkan kerana mereka tidak bertegas dengan undang-undang dan peraturan yang mereka buat. 
 
Jika arahan untuk membuang mana-mana bendera parti politik, makanya beliau harus adil kepada semua tidak kira parti kerajaan mahu pun pembangkang. 
 
 Apa yang berlaku ini seharusnya dijadikan ikhtibar oleh pihak berkenaan. Malah, banyak lagi maklumat dimana penguatkuasa MPK hanya menjalankan tugas membuang mana-mana bendera parti pembangkang di sekitar kawasan Kuantan. 
 
Namun, mereka biarkan bendera UMNO BN terus berkibar tanpa ada halangan. Inilah yang menimbulkan kemarahan kepada pihak yang berkenaan sebenarnya. 
 
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang mendapat hasil kutipan cukai daripada rakyat tanpa membezakan fahaman politik masing-masing, maka MPK harus bertindak secara profesional dan tidak perlulah dipengaruhi unsur-unsur politik. Semoga kejadian ini tidak berlaku lagi hendaknya].

2 comments:

Unknown said...

toksah gaduh pasal bendera. biar lantak bendera bn bersepah. bendera pas takde pun takpe... yang penting kerja penerangan dah berjalan dengan lancar. hati pengundi lebih penting dpd bendera tuu.. adios

Anonymous said...

jangan lupa perjuangan perlu semangat..... bendera adalah semangat dan lambang syiar.... Sydina Hamzah apabila terputus tangan kanan terus memegang bendera dengan tangan kiri dan selepas terputus tangan kiri beliau cuba menegakkannya dengan dagu hinggalah dadanya dibelah dan hatinya dikeluarkan serta dikunyah olehh musuh... syahid cita2 kita...ab-mt