Saturday, June 23, 2012

ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR!!! Mujadid politik pecahkan monopoli Umno

PEMIMPIN hebat, berfikir melangkaui zaman hingga seringkali pengikut di era itu gagal menanggapi gagasan lontarannya. Dengan perjalanan masa, generasi baru menikmati hasil, mengenang agungnya buah saranan itu. 

Sedang ketika, batang tubuh tuan pemimpin itu telah tiada di dunia, bersemadi di pusara nan hening.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak saat dilontar pertanyaan mengenai Almarhum nyata terkesima mengenang tokoh yang membawanya pulang ke Kedah itu. 

Bagi Ustaz Azizan, Almarhum adalah seorang negarawan dan ahli politik yang berpandangan jauh. 

“Masa ditubuhkan Gerak, PAS seolah-olah keseorangan, tidak ada yang bersama PAS,” imbasnya menggamit memori itu.

Katanya, apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat, Almarhum adalah orang yang paling cepat menemui Anwar, di mana sikap ditunjukkan itu telah membuka kepada hubungan dan penyatuan bersama NGO lain.

Cerita Ustaz Azizan, pertemuan dengan Anwar itu menimbulkan rasa tidak senang hati pimpinan PAS Kedah, namun sekadar dijawab Almarhum, “Takut tak sempat jumpa kita nanti.”

Malah, banyak hal yang dilontarkan kepada Almarhum, beliau hanya diam mendengar hingga tidak dapat dipastikan dia terima atau menolak. Selepas beberapa ketika barulah Ustaz Fadzil akan membicarakan perkara tersebut.

Antara arahan yang tidak dapat beliau lupakan adalah kenyataan Almarhum supaya setiap jalan dan lorong diwujudkan Cawangan PAS.

“Alhamdulillah, PAS hari ini sudah ada di rata-rata lorong dan jalan, situlah datangnya kekuatan kita. Dulu kita ada dua Cawangan, Umno ada 20 Cawangan, nak lawan macam mana? Macam tentera, kita ada dua platun, musuh ada 20 platun. Jadi, Ustaz Fadzil dah pesan suruh perkemas yang itu,” ujar Ustaz Azizan.

Bagi Yang Dipertua PAS Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar, pemikiran politik sangat hebat Almarhum adalah mencetuskan tahaluf siyasi yang terhasil dari usaha Almarhum mencungkil segala khazanah dalam fiqh Islam.

“Cetusan ini termasuk fiqh siyasah yang tidak terpisah  dengan fiqhul dakwah di mana kita sebut siyasatud dakwah (politik dan dakwah). Dari sinilah hingga menghasilkan satu perubahan dalam pemikiran politik masyarakat pelbagai kaum di negara kita untuk melihat kemampuan PAS dan Islam itu sendiri,” ujarnya penuh teruja.

Jelas Mahfuz, walaupun tahaluf siyasi telah dibicarakan sejak dari zaman sebelum Almarhum menjadi Presiden PAS, namun di masa Almarhumlah cetusannya itu mewarnai politik negara.

Dalam pengalaman beliau melihat, terdapat dua peristiwa umum khususnya orang-orang PAS begitu marah kepada Ustaz Fadzil di mana ketika mereka marah itu, mereka tidak melihat kepada hasilnya di masa depan.

Pertama, apabila Ustaz Fadzil begitu terbuka menerima untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

“Orang marah beliau menerima jemputan itu dan gaya ucapannya dilihat hambar.
Tetapi para ilmuwan dan ahli fikir melihat sebaliknya betapa penyertaan dalam debat itu dengan penuh persiapan dan melontarkan saranan-saranan hebat. 

Akhirnya, ulasan-ulasan para cendekiawan inilah mempengaruhi penerimaan masyarakat umum terhadap Almarhum,” terang Mahfuz penuh kagum.

Perkara kedua menjadi kemarahan umum kepada Almarhum ujar Mahfuz, adalah pertemuan Almarhum dengan Anwar Ibrahim. Sedangkan Ustaz Fadzil katanya, mengunjungi Anwar atas persahabatan dan anak murid.

Tetapi dari pertemuan itulah kata Mahfuz, menjadi titik gerakan politik hingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di mana semua itu mengubah landskap politik negara hingga hari ini.

Begitu juga porak-peranda yang berlaku dalam Umno kini juga katanya, adalah hasil tangan Ustaz Fadzil melalui penubuhan Gerak.

Mahfuz juga melihat lontaran idea ‘Memasyarakatkan PAS’ yang diterbitkan Almarhum Ustaz Fadzil sebagai berani kerana menentang arus politik sentimen kepartian.

Dengan lontarannya itu ujarnya, Ustaz Fadzil bukan sahaja telah mengajak ahli PAS seluruhnya agar tidak mengasingkan diri daripada masyarakat, malah menanam dalam pemikiran masyarakat bahawa tanpa PAS kehidupan mereka tidak terbela.

Manakala Ketua Ulama PAS Kedah, Sheikh Mohamad Abdullah pula menyifatkan Almarhum sebagai pemimpin yang sukar dicari ganti.

“Kita pernah temui ramai pemimpin, tapi kita dikurniakan seorang pemimpin seperti Ustaz Fadzil Noor yang susah dicari dalam kepimpinan khususnya di Malaysia ini,” tuturnya.

Beliau yang pernah bersama Almarhum sejak tahun 1986 dalam Dewan Undangan Negeri Kedah juga menyifatkan Ustaz Fadzil sebagai tokoh yang sukar dicabar lawan.

Bagi Sheikh Mohamad, beliau kagum melihat kegigihan Almarhum walaupun keadaan kesihatan tidak mewajarkan Almarhum untuk berbuat sedemikian.

“Menunjukkan Almarhum sangat amanah terhadap tanggungjawabnya juga bukti pengorbanannya pada perjuangan parti berbanding peribadi. Bahkan, dalam banyak keadaan, Almarhum lebih mengutamakan perjuangan berbanding keluarga.

“Dalam pertemuan, perjumpaan dan mesyuarat, Almarhum sangat sabar menerima pandangan dan kritikan, malah mengikuti segala yang dilontarkan padanya dengan penuh teliti sebelum memberikan ulasan. Demikian itu, perkara yang lahir kemudian daripada Almarhum tidak menyinggungkan perasaan sesiapa,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya pula, kejayaan besar pemikiran Almarhum Ustaz Fadzil adalah terhadap pendidikan, dari pra-sekolah, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam hinggalah kolej.

Menurutnya, hasil cetusan idea Almarhum bukan sahaja disambut dalam parti untuk dilaksanakan dengan wujudnya sekolah-sekolah di peringkat kawasan, bahkan idea itu mencabar kerajaan BN Kedah pada ketika itu.

“Contohnya, bila idea itu melahirkan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum, BN pun mewujudkan cawangan Maktab Mahmud di semua daerah.

Semua ini berjalan, memberi untung kepada perkembangan Islam. Bila kita ambil alih kerajaan ini, semua entiti ini kini berada di bawah pentadbiran (parti dan kerajaan) kita,” terangnya.

Dalam sudut politik pula ujarnya, pandangan Ustaz Fadzil sangat jauh melangkaui pemikiran ketika itu.

Katanya, sepanjang Almarhum menjadi Presiden, kerjasama politik atau tahaluf siyasi dicetuskan yang kemudiannya melahirkan  Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat.

Komponen telah dilihat sebagai pesaing kepada BN, malah, rakyat sudah memperakui untuk wujud sistem dua parti yang lahir hasil cetusan Almarhum.

“Demikian itu, ungkapan yang selalu disebut Almarhum bahawa Umno-BN sahaja boleh memerintah adalah khurafat, tidak sekadar kefahaman itu sebagai khurafat, tetapi beliau telah menggantikan dan memberi alternatif dengan cetusannya itu,” jelas beliau.

Menurut Ustaz Ahmad, dalam ucapan Almarhum sekitar tahun 1997, beliau pernah meminta supaya di setiap taman perumahan, kampung dan lorong mesti ditubuhkan Cawangan PAS.

Cetusan ini ujarnya, bukan berada di awangan, tetapi berpijak di bumi realiti yakni hasilnya dilihat melalui Himpunan Hijau Ke Putrajaya baru ini.

“Himpunan itu bukan ada iklan terbuka menarik semua rakyat, tetapi ia himpunan jentera parti semua peringkat. Kehadiran ini hasil kekukuhan organisasi hasil cetusan Almarhum,” katanya penuh bangga.

Bagi Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, Almarhum banyak menanamkan keyakinan kepada ahli bahawa PAS akan mencapai kemenangan di masa depan.

Semangat itu katanya, sentiasa diulang ingat dan diperteguhkan kepada ahli PAS.
Malah ujarnya, Ustaz Fadzil juga selalu menegaskan bahawa kerajaan yang zalim tidak akan kekal lama dan pasti berkubur juga.

“Sekarang Almarhum telah tiada, tetapi hari ini hal yang beliau katakan telah menjadi nyata, PAS sedang memerintah di Kedah,” jelas Siti Ashah.

IZWAN ABDUL HALIM 

No comments: