Thursday, June 28, 2012

BONGKAR!!! Transaksi RM1/2 juta Awang Adek meragukan



PETALING JAYA: PKR hari ini mendakwa wujud beberapa insiden salah laku Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).



Setiausaha Agung parti itu, Dato Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR meragui hubungan Awang Adek dengan seorang ahli perniagaan bernama Chung Hon Cheong.Menurutnya, Chung adalah pemilik serta pengarah kepada syarikat SunPrestige Sdn Bhd dan Vertex United Sdn Bhd.“Keraguan timbul berikutan beberapa transaksi kewangan yang membabitkan mereka berdua,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saifuddin berkata, terdapat fakta yang membuktikan Awang Adek mempunyai hubungan dengan SunPrestige Sdn Bhd, yang memperolehi kontrak mencetak nota RM2.00 sebanyak 100 juta keping dari BNM.


Katanya, justeru PKR meminta Awang Adek untuk menjelaskan beberapa keraguan antaranya, mengapakah pada 1999, Awang Adek menjual rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd pada harga RM550,000.00?


“Mengapakah Chung menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd membuat pembayaran penerbangan Awang Adek ke Tokyo untuk trip penerbangan pada 28 Jun 1999 hingga 1 Julai 1999?,” tanya beliau.


Saifuddin juga menyoal sama ada benar isteri Awang Adek membeli Honda Civic 1.6 menerusi Chung dan benarkah beliau yang membayar ansuran bulanan sebanyak RM2,122.00 sebulan.


“Benarkah Chung membuat sumbangan (donation) kepada beberapa buah persatuan yang dinaungi Awang Adek? “Siapakah yang membiaya pembelian rumah banglo dua tingkat di Tropicana?,” soal beliau lagi.


Banyak lagi maklumat


Menurut Ahli Parlimen Machang itu, ada banyak lagi maklumat mengenai pelbagai pembayaran insuran hartanah, pembayaran road tax, pembelian kereta, bayaran pengaturan permainan golf, pembayaran bil telefon yang membabitkan Awang Adek dengan Chung.


“Kes-kes ini seolah-olah menunjukkan, wujudnya hubungan rapat bekas Penolong Gabenor BNM dengan syarikat yang memperolehi kontrak jutaan ringgit dari BNM,” terangnya.Saifuddin juga menyoal, “apakah hubungan ini boleh dijadikan asas untuk Chung menggunakan pengaruhnya kepada pengurusan atasan BNM untuk menganugerahkan kontrak kepada beliau?”


Sehubungan itu katanya, PKR memberikan tempoh tiga minggu untuk Awang Adek menjelaskan segala dakwaan yang disenaraikan terhadap beliau.“PKR juga mencabar Awang Adek untuk menafikan beliau mempunyai hubungan erat dengan individu dan syarikat terbabit. PKR akan mengemukakan langkah susulan dan mengemukakan bukti-bukti tambahan selepas penjelasan Awang Adek dibuat.






“Awang Adek tidak seharusnya hanya berani mencabar Kelantan dalam isu Dinar, jawab dahulu cabaran kami,” tegas Saifuddin.

No comments: