Monday, June 11, 2012

KERUSI PANAS BERTAMBAH!!! Johor makin tidak selamat buat UMNO


Pemuda PAS Johor menyifatkan Dr Puad Zarkashi menyindir Umno Johor apabila berkata PAS Johor rugi besar kerana perpecahan dalam DAP.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, perpecahan Umno Johor terlalu ketara dan Puad perlu fikir kembali dan sewajarnya meninggalkan parti itu dan menyertai semula PAS yang pernah disertainya sebelum  ini.


"PAS Johor tidak menjadi pilihan rakyat Johor semasa Dr Puad Zarkashi berada dalam PAS dahulu. Sekarang PAS Johor sudah jauh berubah.


"Saya kira sudah sampai masanya Dr Puad Zarkashi bersama pimpinan PAS Johor dan PR menubuhkan kerajaan yang jauh lebih bersih dan berkemampuan memerintah Johor selepas pilihanraya ke-13," kata Suhaizan dalam satu kenyataan medianya hari ini.


Puad, ahli Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini mendakwa PAS Johor rugi kerana DAP sedang berpecah di negeri itu.


Bagi Suhaizan, ia hanya kenyataan sindiran kepada Umno yang rata-rata berpecah di negeri itu.


Pemuda PAS Johor berpandangan bahawa Dr Puad Zarkashi sedang memukul anak untuk sindir menantu, kata Suhaizan.


Perpecahan yang serius bukan berlaku dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebaliknya berlaku dalam kepimpinan UMNO di Johor sendiri.


Dr Puad Zarkashi kononnya memukul PAS dan DAP tetapi hakikat sebenarnya sedang memukul UMNO Johor, dakwa beliau.


Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS itu, pepecahan dalam UMNO Johor berlaku di semua peringkat daripada sayap-sayap, cawangan, bahagian dan negeri.


Pemuda UMNO Johor kelihatan tidak bermaya untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13, katanya.


Ketua Pemuda UMNO Johor Baharu dan Tebrau lebih menonjol jika dibandingkan dengan Ketua Pemuda UMNO Johor.


Perkara ini berlaku akibat daripada masalah dalaman Pemuda UMNO Johor sendiri.


UMNO Johor sudah 6 tahun tidak mengadakan konvensyennya, tambah beliau.


Kali terakhir konvensyen di adakan adalah pada 5 November 2006.


Pada kovensyen tersebut Dr Puad Zarkashi dengan lantang membantah Pembelajaran dan Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Mengikut sumber dalaman, UMNO Johor tidak lagi membuat konvenysen adalah kerana Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman (gambar) tidak dapat menjawab pelbagai masalah yang berlaku di Negeri Johor khusunya yang berlaku diperingkat bahagian-bahagian UMNO Johor.


Perpecahan UMNO di peringkat bahagian tertentu sangat serius sehingga sukar untuk kepimpinan UMNO meletakkan calon dalam pilihanraya umum akan datang, tambah beliau.


Sebagai contoh pertembungan klasik, yang semua orang UMNO mengetahuinya, berlaku dalam UMNO Bahagian Pulai di antara Ketua Bahagian UMNO Pulai, Nur Jazlan Mohamed dan Adun Kempas, Osman Sapian.


"Pertembungan ini sangat serius sehingga menyukarkan UMNO meletakkan calon Parlimen Pulai dan DUN Kempas," dakwa Suhaizan.


Menurutnya, calon Menteri Besar Johor daripada Barisan Nasional (BN) juga menghadapi masalah.


Ghani besar kemungkinan tidak akan menjadi Menteri Besar Johor selepas pilihanraya umum akan datang.


Ini kerana UMNO Johor perlukan penyegaran dengan kepimpinan yang baru.


Kekosongan ini telah menyebabkan berlakunya lobi melobi antara bakal calon-calon Menteri Besar Johor.


Proses lobi melobi ini telah menyebabkan perpecahan UMNO Johor.


"Berita ini kebanyakkan rakyat Johor memahaminya," dakwa beliau.


Kesan kepada perpecahan UMNO Johor ini, dakwa beliau, telah menyebabkan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Abdul Ghani terpaksa membuat lawatan di setiap bahagian UMNO di Johor lebih daripada sekali untuk membuat persiapan pilihanraya umum akan datang.


Presiden UMNO dan Timbalannya kerap membuat lawatan ke Johor sehingga lebih tiga kali dalam tempoh satu bulan.


Lawatan-lawatan politik seumpama ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya umum sebelum ini di negeri Johor.


"Salah satu punca kenapa Najib Altantuya masih belum membubarkan parlimen adalah berpunca daripada ketidakyakinan Presiden UMNO mengekalkan kemenangan di Johor seperti sebelum ini," katanya.


Terdapat sembilan kerusi parlimen BN yang panas di Johor.


Semakin hari semakin banyak bilangan parlimen yang panas kepada BN di Johor.


Walaubagaimana pun, kata Suhaizan, keperihatinan Dr Puad Zarkashi terhadap PAS yang mahu menubuhkan kerajaan bersama PR di Johor adalah sesuatu yang membanggakan.


Ini memberi gambaran bahawa dalam hati Dr Puad Zarkashi sudah ada sinar cahaya PAS, sebuah parti yang pernah dianggotainya suatu masa dahulu.

No comments: