Tuesday, June 26, 2012

LAPORAN POLIS UNTUK TV3!!! Bersekongkol dengan UMNO adu domba keharmonian umat Islam di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – Kariah Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq Taman Guar Perahu, semalam, membuat laporan polis berhubung laporan sebuah stesen televisyen swasta mengenai dakwaan seorang khatib mendoakan supaya kerajaan digulingkan dalam pilihan raya akan datang.

Laporan dibuat Pengerusinya, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan di Balai Polis Kubang Semang, pada jam 4.20 petang.

Sebelum itu, lebih 100 penyokong PKR dan Pas turut berarak mengiringi beliau dari Taman Guar Perahu menuju ke balai, dan mengadakan demonstrasi aman di hadapan balai sejurus tiba bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan yang dibuat terhadap khatib tersebut.


Abu Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh dua individu yang membuat kenyataan, selain sebuah stesen televisyen swasta yang bertindak sebagai penyiar kepada dakwaan itu.


“Tujuan laporan polis ini dibuat adalah bagi menyatakan rasa marah di samping membersihkan nama baik masjid yang sudah tercemar.


“Kita menuntut pihak berkenaan (individu dan stesen televisyen) supaya memohon maaf secara terbuka kepada kariah masjid,” katanya.


Tegas Abu Bakar, khatib di dalam doa khutbah tersebut tidak langsung menyebut mahu menggulingkan kerajaan, mahu pun menujukan ia kepada mana-mana parti.


Katanya, pihaknya juga sudah meneliti rakaman khutbah, dan ia jelas bercanggah dengan apa yang didakwa.


Terdahulu, sebuah stesen televisyen malam Sabtu menyiarkan kekecewaan beberapa kariah masjid terhadap seorang khatib yang mendoakan ‘kerajaan perlu digulingkan’ dalam khutbah Jumaat di masjid berkenaan minggu lepas.


Dan, kelmarin, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir meminta MAINPP menyiasat khatib ekoran doanya itu didakwa boleh memecah-belahkan umat Islam, selain perbuatannya yang dianggap menghasut.SH

ISU KHUTBAH JUMAAT - JANGAN ADU DOMBA KEHARMONIAN UMAT ISLAM PULAU PINANG

Umat Islam Pulau Pinang dan media massa dinasihatkan agar tidak mengadu-domba perkara berkaitan kepentingan umat Islam di negeri ini. Segala permasalahan umat, sekiranya timbul, seharusnya ditangani secara berhemah dan mengikut saluran yang ditetapkan agar agama Islam dilihat sebagai agama perpaduan dan keharmonian.


Menggunakan saluran media, lebih-lebih lagi memaparkan fakta yang kesahihannya diragui tidak akan membantu ke arah memartabatkan syiar Islam di negeri ini.


Berhubung doa khutbah Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar as-Sidiq, Taman Guar Perahu, Permatang Pauh pada 22 Jun 2012, pihak saya sedang menjalankan siasatan berikutan laporan Buletin Utama TV3 pada 23 Jun dan 24 Jun 2012.


Sehubungan itu, pada 24 Jun 2012 Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) telah mengarahkan Pegawai Tadbir Agama Daerah SPT menyiasat perkara tersebut.


Pihak JHEAIPP hanya menerima aduan bertulis, daripada anak khariah pada 26 Jun 2012, berdasarkan sepucut surat bertarikh 25 Jun 2012.


Pihak JHEAIPP juga telah menghubungi Pengerusi Khariah untuk mendapatkan maklumat berkaitan, dan juga telah menerima rakaman khutbah yang dibuat oleh pihak Jawatankuasa Khariah berkenaan pada 25 Jun 2012.


Khutbah yang dibacakan khatib jemputan berkenaan adalah berkaitan Israk dan Mikraj serta pengajaran yang boleh diambil daripadanya.


Siasatan awal JHEAIPP mendapati bahawa khatib telah berdoa seperti berikut :


"Berikan kemenangan kepada jemaah Islam ya Allah, ya Allah hancurkanlah ya Allah kepada orang yang memberikan penindasan, menyeleweng yang menipu ni ya Allah, jatuhkan mereka ya Allah dalam pilihan raya yang akan datang ni ya Allah."


Justeru, mengapa pimpinan Umno/BN begitu terasa terpalit dengan seruan dan doa khatib berkenaan ? Padahal khatib tidak menyatakan secara khusus kepada mana-mana pihak. Siapa yang makan cili , dia terasa pedasnya.


Ketika siasatan dalaman masih dijalankan, tidak wajar kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, dalam Utusan Malaysia bahawa tindakan perlu diambil mengikut Akta Hasutan kerana menggunakan masjid untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.


Datuk Musa sewajarnya membuat laporan polis sekiranya beliau merasakan pihak berkenaan telah melanggar akta hasutan.


Saya juga difahamkan laporan polis juga telah dibuat oleh Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar as-Sidiq, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hassan pada 26 Jun 2012, berhubung kejadian tersebut.


Tohmahan terbuka mendahului siasatan yang mencalarkan imej Islam pernah dilakukan oleh beberapa pemimpin Umno dan media massa kawalan Umno sebelum ini.


Mengungkap kejadian dua tahun lalu, sekitar Ogos 2010 ketika umat Islam menyambut Ramadan, peristiwa yang hampir sama berlaku iaitu khatib jemputan mendoakan agar Ketua Menteri Pulau Pinang diberikan taufik dan hidayah. Sebaliknya media menfitnah kononnya khatib menggunakan nama Ketua Menteri menggantikan Yang Dipertua Agong.


Beberapa laporan fitnah telah menjadi sebahagian amalan media kroni. Fitnah yang dicanang media Umno, khususnya Utusan Malaysia, terbukti apabila mahkamah telah memberikan kemenangan sebanyak dua kali kepada Ketua Menteri ke atas saman yang difailkan oleh beliau.


Usaha fitnah Umno melalui media kongkongannya, cuba mengelirukan umat Islam di negeri ini khasnya dan negara amnya, tanpa mengambilkira dosa pahala.


Ini membuktikan Umno semakin nazak, ketandusan fakta untuk mencalarkan imej negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Isu yang cuba digembargemburkan oleh Umno/BN itu mencerminkan bahawa pemimpin mereka muflis idea dan begitu takut dengan bayang-bayang sendiri.


Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak menjauhkan budaya fitnah dan mengangkat budaya hujah agar budaya politik kita berkembang lebih matang. Lebih-lebih lagi, Ramadan Al-Mubarak bakal menjelang bulan depan, di mana umat Islam akan ke madrasah Ramadan untuk melengkapkan rukun Islam yang ke-3.

No comments: