Wednesday, July 18, 2012

BN 'SAKIT'!!! Melihatkan gelombang di Himpunan Hijau ke Putrajaya


Berdasarkan bilangan manusia yang membanjiri Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor hujung minggu lalu seolah-olah pusat pentadbiran negara sudah ditawan Pakatan Rakyat.

Penyertaan lebih 20,000 penyokong dan ahli PAS bersama para pemimpin Pakatan bagaikan cerminan peristiwa Dataran Tahrir di mana ratusan anak muda dan rakyat Mesir keluar untuk menggulingkan rejim zalim Presiden Hosni Mubarak.


Kalau di negeri-negeri lain hanya penyokong dan pemimpin PAS sahaja yang hadir tetapi berbeza dengan lanskap penyertaan rakyat yang mewarnai Stadium Kuala Selangor ini.

Kehadiran para pemimpin selain dari PAS seperti Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Seputeh DAP Teresa Kok dan bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadhil memberi satu identiti nasional kepada suatu perjuangan melibatkan rakyat dari semua peringkat umur dan warna kulit.

Para pemimpin PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli.

Dan tidak ketinggalan turut hadir ialah Sheikh Ismail Abdul Hamid dari Ikwanul Muslimin yang mewakili Presiden Mesir Dr Mohamad Morsi.

Sambutan yang diberikan terhadap perhimpunan ini seolah-olah menggambarkan Putrajaya sudah ditawan atau sekurang-kurangnya memberi harapan dan keyakinan bahawa perjalanan ke Putrajaya sudah semakin dekat dan hampir pasti menjadi kenyataan.

Keghairahan penyokong dan pemimpin yang hadir dapat disimpulkan daripada kata-kata Mohamad Sabu di akhir ucapannya.

Beliau berkata jika pilihan raya umum kali ini tidak dijalankan secara bersih dan adil maka “kita akan bawa Dataran Tahrir ke Malaysia,” sambil mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin.

Kadir yang sudah bergelumang dalam parti Umno selama 56 tahun mengungkapkan kata-kata yang tidak diduga, “saya bangga dapat kibarkan bendera yang mulia ini” sambil mengibarkan bendera PAS di atas pentas utama.

Sheikh Ismail ketika berucap berkata, sekiranya beliau adalah rakyat Malaysia sudah pasti beliau akan menjadi ahli PAS, sambil menyifatkan kehadiran malam tadi sebagai sesuatu yang beliau tidak duga.

Melayu yang jahat

Terdahulu, Mohamad Sabu hadir pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Presiden PAS bersama ahli Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) di Dewa MBSA, Paya Jaras Kawasan Subang.

Dalam ucapannya beliau berkata, Rasulullah saw melarang para pengikutnya (umat Islam) bercakap atau berjuang atas dasar perkauman atau asobiyyah.

“Melayu yang jahat kita mesti lawan. Umno yang menyokong puak-puaknya yang zalim dan melakukan rasuah serta kejahatan, kita mesti lawan.

“Apabila rumah (Pengerusi Bersama Bersih) Dato’ S Ambiga kena ‘serang’ dengan mendirikan gerai daging burger dan senaman punggung, orang-orang PASlah yang mengawal rumah dan menjaga keselamatannya,” ujar beliau, sambil disorak oleh para hadirin.

Pada akhir majlis, Mat Sabu menyampaikan bantuan berupa barangan makanan keperluan harian kepada golongan miskin daripada masyarakat India dan Cina yang bermastautin di sekitar Paya Jaras. -FMT

Himpunan Hijau Menuju Putrajaya: “BN sakit”


KUALA SELANGOR: Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana parti memerintah melaga-lagakan kaum dan agama untuk terus berkuasa, kata Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Berucap di hadapan puluhan ribu rakyat semasa Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, pembohongan dan fitnah yang melaga-lagakan kaum secara berterusan ke atas pimpinan Pakatan Rakyat mencerminkan betapa BN sedang ‘sakit’.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Selangor menceritakan bagaimana beliau sendiri difitnah berkenaan isu azan di Puchong sehingga disumbatkan ke dalam ISA.

“Saya dimasukkan ke dalam ISA dulu, kemudian baru polis siasat. Kemudian hasil siasatan menunjukkan bahawa saya tidak pernah pun pergi ke masjid tersebut dan tidak pernah bangkitka isu azan dan (Timbalan Pengarang Utusan Malaysia) Zaini Hassan memutarbelitkan cerita ini di Utusan,” katanya.

Menurutnya, fitnah perkauman terhadap Pakatan Rakyat terus dilakukan hingga sekarang, termasuk mendakwa bahawa beliau (Teresa) mahu menjadi Menteri Besar Selangor manakala Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri.

“Ini semua tidak benar sama sekali. Kita telah jelaskan sejak dahulu lagi bahawa orang Melayu merupakan majoriti di negeri ini dan kita akan terus menyokong kepimpinan yang berintegriti dan bersih,” tambah beliau.

“Lawan gergasi yang lama berkuasa”

Turut memberi ucapan pada malam gilang-gemilang tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang menyatakann bahawa dakwaan UMNO yang mengatakan Pulau Pinang kini diambil oleh ‘Cina’ adalah melucukan.

“Dulu Koh Tsu Koon tu Melayu kah?” ujar beliau disambut tepukan dan sorakan hadirin.

“Kalau Melayu pun, apa yang kita mahukan ialah kepimpinan yang bersih dan berintegriti. Kalau kepimpinan Melayu pun rosak, tidak ada gunanya.”

Mengakhiri ucapan beliau, Wan Azizah menyeru agar seluruh pejuang Pakatan Rakyat yang mendokong kebenaran dan keadilan agar terus istiqamah.

“Kita bukan lawan mereka yang lemah, tetapi kita melawan gergasi yang lama berkuasa.”

DAP gadai tanah rizab Melayu?

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula meminta agar seluruh rakyat Malaysia menolak UMNO dalam pilihan raya akan datang kerana mereka telah banyak menggadaikan kepentingan rakyat dan negara.

“Siapakah yang telah menggadaikan dari 3 juta hektar tanah Melayu kepada hanya 1.7 juta hektar yang tinggal sekarang? Adakah DAP? Siapakah yang telah menghilangkan Bank Bumiputera, adakah DAP?”

Menurut beliau, kini pendedahan penyelewengan bukan sahaja dibuat oleh pimpinan oposisi seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, malah ia didedahkan oleh Jabatan Audit Negara sendiri.

“Dulu bila Lim Kit Siang dedahkan skandal Bank Bumiputera, mereka (UMNO) mengenakan dakwaan perkauman terhadap beliau seolah-olah ingin menjatuhkan kepentingan orang Melayu.

“Tapi kini, bila pegawai-pegawai audit yang terdiri dari orang Melayu sendiri yang mendedahkan penyelewengan kerajaan, mereka nak kata apa?” jelas beliau.
-roketkini

No comments: