Thursday, October 3, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Lima PAS kawasan di Perak pilih YDP baru


IPOH: Lima daripada 25 PAS kawasan di Perak telah membuat perubahan Yang Dipertua dalam mesyuarat agung masing-masing bagi sesi 2013-2015 tahun ini yang diadakan baru-baru ini.

Kawasan tersebut ialah Batu Gajah, Larut, Tapah, Padang Rengas dan Sungai Siput.

Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin menang tanpa bertanding YDP Kawasan Batu Gajah.

YDP sebelum ini, Ismail Ariffin menang jawatan Timbalan YDP manakala Rosdy Abdullah kekal sebagai Naib YDP setelah mendapat undi tertinggi dalam pertembungan tiga penjuru.

'Orang lama', Osman Maseri pula diberikan amanah kembali menerajui kepimpinan PAS Tapah apabila menang untuk jawatan YDP dalam pertandingan dua penjuru.

Dzulbahrain Jalun menang tanpa bertanding Timbalan YDP manakala Ustaz Malek Mohamad diamanahkan Naib YDP dan Ustaz Muhaimin Abdul Malik pula Ketua Urusan Ulamak.


Sementara itu, Larut telah menampilkan pemimpin segar bagi ketiga-tiga jawatan tertinggi dalam misi memperkasakan lagi PAS di kawasan itu.

Dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan Larut kali ke-51 pada 29 September lalu, Ustaz Toreq Zainordin menang YDP, Timbalan pula ialah Ustaz Akmal Kamaruddin dan Abu Husin sebagai Naib YDP.

YDP sebelum ini, Dr Mohd Dhari Othman mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

PAS Kawasan Padang Rengas turut menampilkan muka baru, Mohd Shukri Mat Amin sebagai jawatan YDP, Timbalan YDP iaitu Mohd Fadzil Jamaluddin manakala mantan calon PAS pada PRU13 lalu di Dun Chenderoh, Dr Azalan Radzi sebagai Naib YDP.

Perkembangan Mesyuarat Agung PAS Sungai Siput kali ke-45 yang diadakan pada 29 September lalu pula, Ustaz Zulkifli Ahmad kembali memegang jawatan YDP manakala Mohd Rosni Abu Bakar dipilih sebagai Timbalan YDP manakala Naib YDP diamanahkan kepada Hassan Shariff sementara Ketua Urusan Ulamak ialah Ustaz Mohd Fadhil Abdul Rahman.

No comments: