Monday, October 28, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Ust. Nasarudin berundur, Suhaizan jadi tumpuan memposisi Pemuda PAS

http://4.bp.blogspot.com/-LcLK1Y-QV8g/T5yvsfLClQI/AAAAAAAAUJg/47fmlzdQifU/s640/bersih3.0-52.JPGSetelah selesai pemilihan Agung Umno, kita melihat calon kontroversi seperti Zahid Hamidi masih diterima oleh ahli Umno untuk menjadi kepimpinan tertinggi parti. 

Calon-calon progresif seperti Datuk Saifuddin Abdullah pula terpinggir dan tewas dalam pemilihan. Dengan keputusan ini kita sudah pasti dapat menjangkakan halatuju dan pembawaan Umno selepas ini.

Bagi saya, tidak banyak harapan yang boleh kita letakkan kepada UMNO. Sebagai kerajaan minoriti yang menanti rebah, adalah satu kerugian jika kita menghabiskan banyak masa membincangkan tentang masa depan Umno. 

Oleh itu saya ingin mengajak pembaca untuk melupakan Umno dan menoleh kepada Muktamar Agung PAS yang akan berlangsung pada November ini.


Saya tidak memilih untuk terlibat dalam polemik popular yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini berkaitan pemilihan PAS. Bagi saya polemik itu hanya sesuai dijadikan bahan sensasi dan disembangkan secara kosong di kedai-kedai kopi.

Kerana bagi saya, soal pemilihan pimpinan PAS perlu bebas daripada sentimen atau isu sensasi. Apa yang penting ialah seluruh perwakilan perlu faham apakah fokus yang perlu dijadikan bahan penilaian untuk memilih kepimpinan pada Muktamar akan datang.


Peranan, realiti yang perlu difahami

Menyegarkan semula peranan Pemuda, secara umumnya, sudah pasti Pemuda PAS berperanan sebagai sayap parti yang bertanggungjawab dalam membina generasi anak muda Malaysia yang subur dengan nilai-nilai Islam sekaligus mampu berfungsi sebagai agen pembangun negara. 


pas youth protest against egypt coup 1Nilai-nilai Islam ini merangkumi nilai sejagat iaitu keadilan dan kebajikan yang menjadi hak asasi setiap insan, merentasi kepercayaan agama dan ras.

Apabila bercakap soal peranan Pemuda PAS secara khusus, maka saya percaya Pemuda PAS perlu berperanan sebagai ‘Awakener' yang menyuntik dan merangsang kebangkitan anak muda dalam proses menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera. 


Iaitu Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin adil, kuasa rakyatnya dihormati dan seluruh rakyatnya hidup dalam kebajikan yang terbela.

Di luar sana, terdapat beberapa kelompok anak muda yang perlu disantuni. Ada golongan anak muda yang terpisah langsung daripada kesedaran politik. Mereka ini perlu disentuh dengan hikmah bagi mendekatkan mereka kepada semangat kenegaraan.


Ada kelompok anak muda yang faham akan tanggunjawab terhadap negara, tetapi terkekang dengan hutang dan periuk nasi yang perlu dipertahankan. Mereka ini boleh menjadi ejen perubah dalam senyap melalui kertas undi rahsia.


Ada juga kelompok anak muda yang faham, sedar dan mereka berjuang demi keadilan dengan cara masing-masing. Matlamat perjuangan mereka tetap satu iaitu menegakkan keadilan untuk rakyat dan menumbangkan rejim yang bertapak di Malaysia. 


Walaupun matlamat ini dinamakan dengan nama yang berbeza-beza, ia tetap satu.
pas youth protest against egypt coup anthony loke 2Idealnya, di sinilah letaknya peranan Pemuda PAS. Iaitu untuk melorongkan segenap lapisan anak muda ke jalan perjuangan secara komprehensif dan bersepadu. 


Keragaman anak muda ini sekiranya berjaya diberdayakan, akan mampu menghasilkan ketumbukan yang membawa manfaat besar kepada perjuangan menegakkan Malaysia yang lebih baik. 

Lebih-lebih lagi dalam suasana politik Malaysia yang sedang mengalami kebangkitan anak muda yang luar biasa.

Saya yakin, sekiranya Pemuda PAS berjaya melorongkan anak muda Malaysia kepada cita-cita menegakkan sebuah Negara yang adil dan berkebajikan, bermakna Pemuda PAS juga sudah berjaya mendekatkan anak muda Malaysia kepada citra Islam yang agung.

Seperti yang terkandung dalam doa yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat baginda Abu Umamah yang diceritakan melalui hadith riwayat Abu Daud yang berbunyi: 


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah dan sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan penganiayaan manusia terhadapku."

Oleh itu, dalam penulisan yang tidak seberapa ini, saya cuba kongsikan pandangan saya mengenai apa yang perlu dilakukan Pemuda PAS dalam memposisikan peranan Pemuda seiring dengan kontekstual Malaysia.


Dengar, iktiraf pandangan 'bottom-up'


Dalam membicarakan hal ini, saya suka melihat pendekatan yang digunakan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merapati anak muda yang berada diluar kerangka parti. 


Anwar in AustraliaMelalui Program ‘Meet Anwar', kepimpinan PKR mendengar dan mendapatkan respon secara langsung daripada kelompok sasaran tertentu seperti mahasiswa dan aktivis anak muda mengenai polisi PKR seterusnya dijadikan bahan untuk memperkemas perjuangan PKR.

Saya kira Pemuda PAS juga boleh mengetengahkan aktiviti yang membuka ruang perkongsian idea di antara kepimpinan Pemuda PAS dan anak muda yang berada di luar kerangka PAS. 


Program seperti "Meet Ketua Pemuda" atau "Meet Pemuda" sudah pasti akan mampu memberi impak besar kepada Pemuda PAS melalui perkongsian idea dengan anak muda secara terbuka. Tidak salah untuk kita menuruti perkara baik demi kepentingan perjuangan.

NONEBahkan idea untuk mendengar pandangan anak muda di peringkat akar umbi juga menepati konsep syura yang ditekankan dalam Islam. 


Selain berijtima' sesama ahli PAS, saya kira program seperti lepak santai bersama aktivis anak muda juga boleh menjadi ruang untuk Pemuda PAS mendapatkan pandangan kolektif bagi memperkasakan pembawaan Pemuda PAS.

Saya percaya aktiviti sebegini sudah ada dijalankan oleh sayap Pemuda PAS di kawasan-kawasan tertentu, tetapi aktiviti tersebut masih terpencil dan tidak dinasionalkan.

Usaha giat mendapatkan pandangan anak muda di peringkat akar umbi ini bukan sahaja boleh dijadikan sumber untuk mengembangkan perjuangan Pemuda PAS, tetapi turut boleh dijadikan salah satu mekanisme muhasabah bagi menilai keberkesanan program-program siasah yang telah dijalankan.


Mempamer idea Pemuda PAS

Saya sering merasa tercabar dengan pandangan sesetengah pihak yang membandingkan kredibiliti pemuda dalam PAS dengan pemuda dalam parti lain seperti PKR. 


Kalau disebut orang muda seperti Rafizi Ramli, maka rakyat secara auotomatik akan diperingatkan dengan isu-isu penting seperti skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), Kempen Turun Harga Kereta, Kempen Turun Harga Minyak dan Kempen Hapuskan PTPTN.

NONEPemuda juga kelihatan lebih tenggelam apabila isu-isu utama yang berlaku dalam negara sering beredar tanpa disentuh secara serius. 


Jika dahulu kepimpinan Salahudin Ayub menyambut isu kenaikan harga minyak dengan protes sehingga beliau ditangkap, namun isu kenaikan harga minyak baru-baru ini kurang disentuh sekaligus terlepas peluang untuk mengetengahkan kredibiliti Pemuda ketengah masyarakat.

Selain itu, untuk membincangkan isu-isu kritikal berkaitan polisi Negara seperti isu pendidikan, undang-undang, ekonomi dan politik, yang sering menghiasi wacana dan forum adalah tokoh-tokoh lama seperti Dr Dzulkefli Ahmad, Khalid Samad, Datuk Husam Musa. Hal ini menjadikan Pemuda terus dilihat tenggelam baik di medan wacana mahupun perjuangan jalan raya.


NONESewajarnya, Akademi Kepimpinan Pemuda diperkemas bagi memastikan akademi tersebut boleh bertindak persis seperti Institut Kajian Dasar yang dekat dengan PKR. 


Akademi ini juga perlu diiktiraf sebagai program rasmi PAS bagi memastikan program ini tidak sekadar dijadikan program picisan atau sampingan. Apabila akademi ini diiktiraf sebagai program rasmi, maka setiap kepimpinan PAS perlu memberi komitmen penuh bagi melatih pemikir muda PAS.

Jika Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) boleh mengambil inisiatif dengan menghantar generasi pelapisnya melawat negara-negara Islam seperti Turki untuk menadah ilmu dan pengalaman, maka PAS juga boleh melakukan perkara yang sama.

Program internship atau latihan luar negara ini akan membina standard yang tinggi dalam kalangan pemimpin muda PAS dan secara langsung melahirkan pemimpin muda berkualiti antarabangsa.

Tingkatkan solidariti, hapuskan jurang

Sekiranya ditanya kepada saya, berapa banyak gerakan anak muda yang ada di luar sana, atau berapa banyak gerakan mahasiswa yang ada di luar sana? Sudah pasti terlalu sukar untuk saya jawab. Sedangkan mereka ini adalah rakan-rakan seperjuangan yang bercita-citakan perubahan.

Mereka boleh menjadi sumber maklumat, sumber kekuatan, sumber tenaga, sumber idea dan sumber sokongan. Mereka juga boleh menjadi wasilah untuk Pemuda melebarkan sayap dakwah ke lapisan yang sukar dijangkau.


bersih 3 rally 070512 04Adalah perlu dibimbangkan apabila timbul persepsi kurang enak terhadap Pemuda PAS daripada aktivis pro-perubahan ini. 


Walaupun perbezaan itu suatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi perbezaan tetap perlu diminimakan. 

Sewaktu aktivis anak muda di peringkat akar umbi giat membincangkan soal "Malaysian Spring", tiba-tiba timbul kenyataan daripada kepimpinan Pemuda PAS yang bersifat kontra dengan semangat tersebut.

Walaupun saya meyakini kenyataan yang dikeluarkan itu ada asas dan hujah yang kukuh, namun mungkin kenyataan itu dikeluarkan secara tidak cermat dan tidak kena pada masanya. 


Hal ini menjadi salah satu faktor wujud jarak antara Pemuda PAS dengan gerakan sivil atau gerakan anak muda yang diluar kerangka PAS.

Tokoh falsafah dan pembinaan Negara Amerika Syarikat, Benjamin Franklin dalam menghuraikan mengenai konsep kepimpinan ada menyebutkan: "Jika kamu beritahu aku, aku mungkin lupa. Kalau kamu ajar aku, aku mungkin lupa. Libatkanlah aku, dan aku akan belajar".

Kenyataan ini bermaksud, dalam memperkemas sesuatu perjuangan, seseorang pemimpin itu perlu bijak dalam melibatkan diri dengan perjuangan akar umbi agar pemimpin itu dapat melihat secara terus hasil dan maklum balas daripada rakyat yang dipimpin, bukan sekadar memberi arahan dari atas ke bawah.


Saya percaya, sekiranya kenyataan Benjamin Franklin tersebut dihayati dan dipraktikkan, ia pasti akan memberi kesan signifikan kepada sesebuah organisasi. Kerana dengan falsafah yang samalah Benjamin Franklin telah meletakkan batu asas kepada terbinanya Negara Amerika Syarikat.


Berjiwa besar, mudahcara gerakan anak muda


Rasulullah S.A.W melalui sebuah hadith riwayat Bukhari pernah menyebutkan: "Permudahkan, jangan dipersulitkan. Gembirakan, jangan menakut-nakutkan".

Pesanan Rasulullah S.A.W ini sangat praktikal untuk dijadikan panduan bagi menyusun peranan Pemuda PAS dicelah-celah puluhan gerakan anak muda yang lain. 


Apatah lagi Pemuda PAS sebagai gerakan anak muda yang paling stabil dengan jentera organisasi yang tersusun, bilangan ahli yang ramai, berpengalaman luas, serta telah teruji dengan pelbagai cabaran sehingga menjadikan Pemuda PAS sebagai sebuah gerakan yang matang.

Sesuai dengan prinsip membawa Islam sebagai "Rahmatan Lil ‘Alamin", Pemuda PAS sebenarnya sangat mampu untuk menjadi pemudahcara kepada perjuangan anak muda. 


Tanpa perlu diundang, Pemuda PAS seharusnya bersifat progresif dalam menawarkan bantuan kepada mana-mana gerakan yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada Pemuda PAS.

pas youth protest against egypt coup mohamad mat sabuBerdasarkan pengalaman saya, sememangnya PAS selama ini telah banyak membantu pelbagai gerakan massa termasuk menyediakan bantuan keselamatan dan tenaga mobilisasi. 


Lihat saja bagaimana PAS membantu semasa himpunan BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Puluh ribu ahli PAS telah hadir dari merata negeri sekaligus menjadi faktor utama kejayaan himpunan tersebut.

Peranan sebagai pemudahcara gerakan ini bagi saya adalah terjemahan langsung kepada konsep dakwah bil-Hal yang sebenarnya lebih banyak memberi kesan kepada masyarakat berbanding dakwah orasi di pentas ceramah. 


Hal ini tercatat dalam kisah Imam Ahmad Dahlan yang telah berjaya mengasaskan Gerakan Muhammadiah di Indonesia melalui pengaplikasian dakwah bil-hal.

Berbanding hanya menyampaikan kuliah di pondok pengajian, Imam Ahmad Dahlan telah menggunakan tenaga-tenaga anak muda untuk mempraktiskan tafsir Surah Al-Ma'un dengan menjalankan aktiviti kebajikan seperti memberi bantuan kepada fakir miskin dan membela golongan yang tertindas.


Jika sebelum ini Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sering menjadi individu yang menghubungkan PAS dengan gerakan sivil dan gerakan anak muda, maka saya kira sudah tiba masanya tugas ini diambil alih secara agresif oleh Pemuda PAS.

Sebagai pemudahcara gerakan rakyat khususnya gerakan anak muda, sudah pasti PAS akan dilihat sebagai sebuah gerakan berjiwa besar yang sentiasa bersedia untuk melimpahkan manfaat demi kebaikan semua pihak. 


Melalui jalan dakwah progresif seperti ini, Pemuda PAS akan berjaya menarik lebih ramai anak muda untuk mendekati PAS sekaligus bersama-sama berjuang untuk mencapai matlamat yang disasarkan.

Daripada cemerlang kepada berbitara

Menelusuri perkembangan PAS di bawah payung Pemuda, saya akui sudah terlalu banyak perubahan yang dicapai dibawah kepimpinan saudara Nasruddin Hassan Tantawi sebagai ketua Pemuda PAS Pusat. 


Bergerak berlandaskan tarbiah dan siasah, Ustaz Nasruddin bagi saya telah berjaya mengepalai sayap terpenting PAS ini.

Penganjuran pelbagai program berunsur tarbiah seperti Ijtima' Tarbawi telah menjadi medan memperkukuh kesatuan ahli PAS di samping menjadi medan menguatkan semula iltizam perjuangan parti dalam kalangan Pemuda.


pas salahudin ayub 230708Dilapangan dakwah pula, Pemuda PAS dilihat progresif dalam memimpin golongan artis yang baru berhijrah lebih dekat kepada Agama. 


Program seperti Usrah Selebriti, saya percaya akan menarik lebih ramai penggiat seni untuk lebih mendekati PAS sebagai wadah untuk mendekatkan diri dengan Agama Islam.

Sudah pasti kejayaan dua tokoh Pemuda PAS iaitu Ustaz Nasruddin dan Ustaz Nik Abduh Nik Aziz menjadi ahli parlimen menjadi bukti betapa dua individu ini berjaya menjadi duta kepimpinan Pemuda PAS untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub semasa berucap dalam forum Survival Politik PAS di Kuala Lumpur baru-baru ini ada mengatakan, kemenangan dua tokoh Pemuda menjadi ahli parlimen menjadi penanda aras yang menunjukkan Pemuda PAS sudah mencapai tahap kemajuan siasah yang boleh dibanggakan sekaligus membuktikan rakyat telah mengiktiraf kredibiliti kepimpinan muda dalam PAS.


Setelah saya menonton rakaman Forum Survival Politik PAS melalui Youtube, saya dapat melihat ahli panel dihujani dengan pelbagai persoalan sinis yang ditujukan kepada Pemuda PAS. 


Dalam keadaan ketiadaan wakil Pemuda PAS sebagai panel, Suhaizan Kayat merangkap Ketua Pemuda PAS Johor yang sekadar datang sebagai penonton terpaksa bangkit dan menjawab segala persoalan yang ditujukan kepada Pemuda PAS. 

Yang lama tak bermakna lemah
 
Memetik bicara ketua Pemuda PAS Johor itu, beliau menyifatkan pelbagai kritikan yang ditujukan kepada Pemuda PAS oleh masyarakat khususnya anak muda adalah tanda PAS sangat disayangi semua pihak.

Johor PAS Youth chief Suhaizan Kaiat press conference on clone voters frontBeliau juga menekankan Pemuda PAS sedar wujud pelbagai kritikan terhadap organisasi itu dan Pemuda PAS bersiap untuk berubah jika perubahan itu dilihat sebagai suatu kemestian. 


Apa yang diharapkan beliau ialah orang ramai terus memberi kepercayaan kepada Pemuda PAS dan memberi peluang kepada organisasi ini untuk membuktikan sesuatu.

Beliau juga beriltizam untuk lebih memasyarakatkan PAS khususnya dalam meraikan dan mengiktiraf penglibatan anak muda dalam perjuangan menegakkan Malaysia yang lebih baik.


Saya amat berhasrat untuk melihat apa yang dikatakan oleh Suhaizan Kayat dapat dilaksanakan. 


Atas sebab inspirasi yang dipamerkan oleh Suhaizan Kayat itu, Pemuda PAS Kawasan Sepanggar telah mencalonkan beliau untuk mengisi jawatan ketua Pemuda PAS pada muktamar November ini.

Maka, saya kira Suhaizan Kayat perlu bersedia untuk mengotakan segala apa yang dikata. Mudah-mudahan sekiranya terpilih, beliau dapat membentuk kepimpinan pemuda berbitara seterusnya mampu memimpin anak muda Malaysia demi mencapai cita-cita negara adil dan berkebajikan.


Mencalonkan orang baru bukan bermakna yang lama itu lemah. Tetapi kita semua sayangkan jemaah ini dan mahu melihat ia berkembang dengan memaksimakan penggunaan potensi yang ada di dalamnya.


ABDILLAH MATLIN adalah ketua Pemuda PAS kawasan Sepanggar

1 comment:

Anonymous said...

kalau diberi peluang dan kepercayaan, kita percaya suhaizan mampu menyatukan golongan muda daripada pelbagai corak hidup menuju kearah satu matlamat iaitu meningkatkan martabatkan pas. Berbanding ketua pemuda yang terdahulu, suhaizan mudah didekati dan tidak bersikap terlalu eksklusif. Sifat mampu menyantuni golongan muda sama ada dari golongan agamawan mahupun golongan profesional adalah lebih menguntungkan pas berbanding dengan sifat memilih golongan ugamawan dan mengenepikan golongan yang dianggap bukan ugamawan. Rasanya suhaizan mampu memjulang pas ke arah kecemerlangan pada masa depan sama seperti mat sabu tetapi perjuangannya akan mendapat saingan hebat daripada golongan yang menggelar diri mereka ulamak dalam kalangan pas sendiri....