Tuesday, November 12, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Debat Haji Muhammad Sabu dan Dato' Nik Amar wajar?

Sebagai seorang profesional dengan latarbelakang sebagai seorang peguam, Asmuni Awi telah memperliharkan sikap terbukanya apabila beliau turut mengalu-alukan sebarang penganjuran debat secara terbuka di antara calon yang bertanding dalam Muktamar PAS ke-59.

Ini, katanya, bagi menggalakan kempen secara sihat. Beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat di mana beliau mengumumkan ini di sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Sabtu lalu.

Menurutnya, dengan debat terbuka, kedua-dua belah pihak akan dapat menjelaskan pandangan, pendirian serta visi mereka dalam usaha memenangi hati perwakilan.

Debat ini juga, katanya, akan memperlihatkan kematangan PAS dalam memilih pemimpin berbanding Barisan Nasional yang masih kekal dengan tradisi lama.

"Ia memberi ruang kepada calon untuk berkempen secara bersemuka untuk diteliti oleh perwakilan. Tidaklah seorang bercakap di sana, dan seorang lagi bercakap di sebelah sini," kata Asmuni.

Beliau percaya, mungkin ada calon yang bertanding pada pemilihan kali ini akan menganjurkan debat terbuka.

Dengan pengumumannya ini, kini pelbagai pihak sedang menunggu inisiatif menganjurkan debat tersebut, sama ada dianjurkan oleh pihak NGO atau pihak callon PAS sendiri di mana ia perlu diadakan sebelum Muktamar 22 Noember ini.


Pada pendapat saya, majlis debat seperti itu, tidak kiralah sama ada bersaiz besar atapun sederhana  dan tentunya wajar dihadiri, antara lain, oleh perwakilan yang akan mengundi di Muktamar itu nanti.

Pengumuman Asmuni ini tentunya disambut baik oleh pelbagai pihak di mana dalam sistem politik moden yang sangat dinamik itu, debat terbuka adalah antara medan terbaik untuk menilai kewibawaan seseorang calon dalam pelbagai sudut, bukan berdasarkan dari golongan mana calon itu datang. Pengumuman ini dilihat sebagai langkah ke depan PAS yang penting.

Idea supaya PAS mengadakan debat ini telah dikemukakan pertama kali oleh AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam suatu majlis forum tidak lama dulu. Kemudian seorang lagi AJK PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad turut menyokong dengan berkata, debat serupa ini adalah baik supaya suara para calon dapat didengar iaitu bagaimana cara mereka hendak memajukan lagi parti.

Sehubungan itu, dalam tulisan saya di akhbar Harakah beberapa minggu lalu, saya menyebut bahawa forum atau debat bakal calon pemimpin menjelang Muktamar ini, yang tentunya dikawal oleh akhlak Islam, sama sekali tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada PAS malah menyerlahkan imej keterbukaan dan dinamik PAS, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh parti lain di negara ini sebelum ini.

Saya percaya, tidak akan berlaku ‘perpecahan’ dalam parti jika diadakan forum seperti ini, justru PAS sudah berumur 60 tahun dan ahlinya sangat matang untuk menerima perubahan, malah ia menjadi bukti bahawa PAS telah melangkah ke depan sebagai parti arus perdana, terkini dan matang.

Forum atau debat serupa ini mendedahkan kepada perwakilan dan umum akan kemampuan, kelayakan, ilmu, prestasi kerja dan keterampilan seseorang tokoh yang menawarkan diri menjadi calon dalam pemilihan saf pimpinan di Muktamar nanti.

Wajarlah difikirkan sekarang adakah debat itu antara dua calon Timbalan Presiden (Haji Muhamad Sabu dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah) saja, ataupun diadakan juga debat antara lima calon Naib Presiden. Tetapi untuk debat calon AJK PAS Pusat mungkin terlalu ramai dan sangat meriuhkan.

Dalam sidang akhbarnya itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat itu mengingatkan semua calon untuk berkempen secara sihat tanpa menyerang mana-mana calon lain. Menurut beliau, mana-mana calon yang dilihat berkempen dengan menjatuhkan calon lain akan dirujuk ke Lembaga Disiplin parti untuk tindakan susulan.

"Calon, ahli dan penyokong boleh berkempen secara sihat, tapi kita tidak akan berkompromi jika terdapat mana-mana majlis yang dianjurkan bertujuan mempromosi diri dan dalam masa sama menjatuhkan calon lain, termasuk melalui media sosial,” tegas beliau.

Menurut Asmuni, sekiranya pihak jawatankuasa menerima aduan berkaitan perkara tersebut, calon berkaitan boleh dirujuk ke Lembaga Disiplin parti dan seterusnya boleh digugurkan kelayakan untuk bertanding jika disabitkan kesalahan. Malah, katanya, jika calon yang didapati melanggar tatacara pemilihan itu memenangi jawatan yang ditandinginya, kemenangan tersebut boleh digugurkan.

Justeru, Asmuni turut mengingatkan badan perhubungan negeri-negeri dan lajnah-lajnah parti untuk tidak menyalahgunakan majlis rasmi mereka untuk mempromosikan sebarang calon.

"Ini sudah berlaku, dengan aduan yang diperolehi. Kita sudah mengeluarkan garis panduan, kaedah 6 tatacara pemilihan bagi PAS yang sudah diluluskan baru-baru ini," kata beliau.

Oleh itu, pada pendapat saya, debat terbuka calon PAS ini boleh mengelakkan kempen negatif, justeru debat itu bukan medan untuk menyerang sesuatu pihak dan memburuk-burukkan peribadi calon, tetapi berdebat secara sihat. Iaitu menerangkan idea, wawasan atau hala tuju seseorang calon yang bertanding jika dipilih oleh perwakilan. Debat ini, tentunya akan menyerlahkan kewibawaan seseorang calon – ilmunya, keterampilannya, keterbukaannya, ideanya dan sebagainya.

Jika debat ini jadi diadakan, ia akan menyerlahkan betapa demokratiknya pemilihan PAS, di samping memperlihatkan ketokohan para pemimpin PAS yang berdebat. Tentunya ini memberi gambaran bahawa PAS sudah melangkah jauh ke depan sebagai parti politik arus perdana.

Bagaimanapun semuanya ini bergantung kepada kebijaksanaan perwakilan PAS yang akan memilih pimpinan PAS di Muktamar tersebut. Mereka ini yang terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan, suasana persekitaran dan pendedahan kepada politik masa kini tentunya sudah membuat perkiraan yang cukup siapakah yang akan mereka pilih dan hendaknya bukan berasaskan dari golongan mana calon itu datang, tetapi berdasarkan kemampuan mereka dari semua sudut.

Sementara itu, Muktamar ini tentunya menarik perhatian pelbagai pihak – dalam dan luar negeri - khususnya puluhan wakil media massa yang akan hadir membuat liputan. Maka itu ucapan pimpinan dan perbahasan perwakilan akan menjadi perhatian utama pelbagai pihak itu.


Abd Shukur Harun, 11 Nov 2013


2 comments:

Shakirin Al-Ikram said...

Assalamualaikum, lebih baik sama muhasabah dii dari berdebat kerana kita on the same side. Nak debat untuk matlamat ape?
Masing-masing sangat tahu kemampuan diri dan skop perjuangan PAS untuk kekal Ulamak relevant dan masih mamapu menguasi SEMUA orang Islam!
Perbetulkan kontroversi Kalimah`Allah' dan pendekatan dengan DAP agar tidak kecundang lagi PRU 14!
InshaAllah, SELAMAT dari khilaf tersengaja dan hasutan iblis shaitan!
Sila renungi amalan Ashura Shiah sebelum ade kemunginan kematian di Kuantan bukan angkara Tuhan Harun!
Allahuakbar3!!!

Anonymous said...

Suara jalur 3 jenama el haraki bersuara supaya berfikrah islamiah. liqa' fikri menghentam pemimpin dipuji. debat dikira bukan muhasabah diri.