Tuesday, November 5, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Dato' Husam tunggu Dato' Tuan Ibrahim buat keputusan


 















Datuk Husam Musa (gambar) hanya akan membuat keputusan untuk bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti selepas Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat keputusannya.

Husam berkata, ini kerana tumpuan ahli PAS sekarang adalah kepada pendirian Tuan Ibrahim sama ada mahu bertanding atau tidak khasnya jawatan timbalan presiden.


"Ahli PAS sangat berharap kepada beliau untuk bertanding. Jadi sehingga beliau membuat apa-apa keputusan, saya masih membuat pertimbangan dan berbincang dengan semua peringkat parti," kata Husam ketika dihubungi.



Husam kini dalam misi lawatan kerja ke Kurdistan dan antara yang beliau temui adalah keluarga Salahudin Al-Ayubi, tokoh Islam yang terkenal serta pemimpin parti dan gerakan Islam di sana yang kebetulan pengikut Sunni bermazhab Shafei.


Tuan Ibrahim adalah calon yang paling popular untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS.


Beliau dikatakan mendapat pencalonan terbanyak dan dalam undian dalam talian, beliau calon paling popular untuk jawatan itu diikuti oleh Husam.


Namun sehingga kini Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PAS pada 22 hingga 24 November ini.


Tokoh kedua selepas beliau adalah Husam yang dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak untuk jawatan itu.


Sehingga kini penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu mengesahkan akan mempertahan jawatannya.
Seorang lagi calon, Salahudin Ayub dikatakan lebih berminat untuk mempertahankan jawatannya iaitu naib presiden.


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dilaporkan berminat untuk bertanding jawatan yang dicalonkan termasuk timbalan presiden.

No comments: