174 individu serah borang jadi ahli PKR 
MARAN - Bekas ketua kampung dan ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Maran antara 174 individu yang menyerahkan borang keahlian Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada majlis perasmian Pejabat PKR Cabang Maran, di sini.

Borang  keahlian diserahkan kepada Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Rahman yang turut melancarkan penubuhan empat ranting PKR Maran iaitu Bandar Maran, Taman Sri Keramat, Kampung Senggora dan Taman Maran Impian.

Bekas ahli jawatankuasa Umno Cawangan Kampung Senggora, Hairi Dahalan berkata, keputusan keluar dari Umno dan menyertai PKR bukan kerana kecewa sebaliknya demi kemajuan Bandar Maran.


Menurutnya,  pembangunan dan kemajuan prasarana itu hanya boleh dilakukan oleh PKR selepas pemimpin Umno setempat gagal berbuat demikian meskipun tidak pernah kalah dalam pilihan raya bagi kesemua kerusi di Parlimen Maran.

“Lebih 30 tahun saya menyokong Umno tetapi pembangunan Maran jauh mundur daripada daerah lain.

“Ini membuktikan Umno tidak mampu menyediakan prasarana lebih baik kepada penduduk seperti hospital, kilang untuk peluang pekerjaan, institut pengajian dan sebagainya.

“Parlimen Maran tidak pernah kalah dan merupakan kubu kuat Umno di negeri ini namun apa yang mereka beri kepada pengundi semula?,” katanya.

Bekas ahli jawatankuasa Pemuda Umbi Bahagian, Ahmad Suhor Awang berkata, visi dan perjuangan PKR lebih jelas untuk keadilan semua rakyat dan bukan demi kepentingan peribadi.

Menurutnya,  Maran seakan tersisih dari sebarang kemajuan walaupun berada di bawah penguasaan Umno.

“Masyarakat di sini sudah sedar dan semakin hilang kepercayaan kepada pemimpin Umno apabila gagal membangunkan Bandar Maran.

“Golongan muda tagih peluang pekerjaan dan perkara ini telah lama disuarakan dalam Umno.

“Tapi suara akar umbi itu tidak mendapat perhatian dan jika Umno terus memerintah, sampai bila-bila Maran tidak akan berubah,” katanya.SH