Sunday, March 30, 2014

BEREBUT KETUA KAMPUNG DI PERAK!!! Penduduk kampung buat demo bantah Ketua Kampung baru


Ugut mahu berhimpun setiap hariBATU KURAU – Penduduk Kampung Ulu Sepetang, di sini, mengugut mahu berhimpun setiap hari berikutan tidak berpuas hati dengan corak pemilihan ahli Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) berkenaan.

Perhimpunan itu bagi menyuarakan bantahan terhadap pelantikan ketua kampung baharu yang dipercayai bukan anak jati kampung berkenaan.


Penduduk, Zulkifli Osman, 47, berkata, pelantikan itu dibantah dan mereka sebulat suara akan terus berhimpun sehingga ada pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan.


"Penduduk di sini lebih tahu siapa yang layak menerajui pentadbiran kampung, namun sebaliknya berlaku, tiada perbincangan hingga keputusan ditentukan orang luar.


“Kami akan terus berhimpun setiap hari bagi menunjukkan bantahan sehingga pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.


Semalam, lebih 100 penduduk berhimpun membantah pemilihan iu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sepetang bermula kira-kira jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.


Difahamkan, satu memorandum bantahan dihantar kepada pihak berkaitan sebelum ini untuk menolak pelantikan itu, namun tidak mendapat sebarang respons.


Sementara itu, M Pusparajan, 40, berkata, dia yang mewakili kaum India di kampung itu turut tidak puas hati dan membantah keputusan diumumkan minggu lalu.


Menurutnya, sebaik keputusan diumumkan, penduduk mula nampak berpecah-belah kerana tidak setuju dengan pelantikan itu.


“Ia menunjukkan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pemilihan itu, tambahan pula calon dilantik bukan atas pilihan penduduk,” katanya.


Mohd Said Abu Bakar, 59, mengakui, kebanyakan penduduk masih mahukan khidmat ketua kampung lama dikekalkan.


“Penduduk mahukan individu yang mesra rakyat dan mudah bekerja.


“Nilai inilah yang ingin kita terapkan supaya wujud perpaduan antara penduduk yang pelbagai kaum,” katanya.


Bagi Ramli Shaffie, 58, pula, situasi tegang yang wujud dalam kalangan penduduk perlu diberi perhatian segera.


Menurutnya, adalah lebih baik jika perbincangan menyeluruh dilakukan dan lantikan ditangguhkan sementara hingga keadaan reda.


Sudah jangka ada aduan

Sementara itu, Adun Batu Kurau, Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kekecohan yang timbul sudah dijangka kerana terdapat beberapa aduan diterima sebelum ini berhubung pelantikan itu.


Menurutnya, setiap lantikan JKKK diselia Umno bahagian, pejabat penghulu dan pegawai daerah.


“Saya sendiri tidak terlibat dalam proses itu, namun kita harap tidak timbul kekecohan yang boleh mengganggu perpaduan dalam masyarakat.


“Dalam situasi ini, ketua kampung yang baru dilantik perlu menunjukkan kredibiliti menjalankan tanggungjawab dan boleh memberikan kerjasama," katanya.


Persoal empat borang pencalonan

Dalam pada itu, insiden terbabit turut menarik perhatian JKKK Kampung Pondok Quin yang mempersoalkan kewujudan borang keempat dalam proses pencalonan ketua kampung sedangkan hanya tiga dibenarkan sebelum ini.


Bekas Ketua Cawangan Umno, Anuar Jaafar berkata, perkara itu disedari apabila pengumuman keputusan pemilihan dan tiga calon yang menghantar borang langsung tidak tersenarai sebagai ketua kampung baharu.


Menurutnya, perkara seumpama itu sewajarnya tidak berlaku kerana seolah-olah membelakangkan JKKK lain yang berkhidmat hampir 20 tahun.


“Macam mana timbul pula calon keempat, mereka itu juga bukan dalam kalangan JKKK dan langsung tidak dipilih penduduk.


“Kami kecewa dengan perkara ini, tak mustahil selepas ini ramai dalam kalangan JKKK sendiri menarik diri,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Surau Kampung Pondok Quin, Zakaria Omar berkata, apabila berlaku keadaan seumpama ini, wujudnya pergolakan dalam kampung akan dilihat sedangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.


“Pihak bertanggungjawab sewajarnya memantau perkara ini kerana ia melibatkan pentadbiran kampung.


“JKKK dan penduduk lebih tahu individu mana layak menjawat jawatan itu, jadi calon yang disenaraikan perlu diberi keutamaan,” katanya.


Selain itu, Zakaria berkata, pemilihan yang dibuat harus adil dan tidak memilih kroni.


“Kami tidak mahu perkara ini menjadi punca perpecahan kerana hampir 90 peratus penduduk menyokong pentadbiran yang ada,” katanya.


Desak guna pakai keputusan sedia ada

Majoriti ahli JKKK Batu 14, di sini, pula mendesak keputusan mesyuarat JKKK bagi  proses pelantikan ketua kampung baharu  diguna pakai.


AJK, Adnan Ahmad berkata, pelantikan ketua kampung dilihat tidak adil apabila keputusan tidak mengambil kira mesyuarat JKKK yang diadakan.


“Persoalannya, bagaimana seorang kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat boleh jadi ketua kampung.


“Sebagai ketua kampung, perlu sentiasa ada bagi memudahkan urusan melibatkan penduduk. Jika mereka yang dipilih masih berkhidmat bagaimana hendak membahagikan tugas dengan baik,” katanya.


Adnan yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai Akar berkata, JKKK sendiri tidak tahu proses  bukan calon pilihan ini berlaku.


“Sebelum ini, JKKK telah menyenaraikan nama calon, keputusan mesyuarat JKKK langsung tidak diguna pakai dan calon dicadangkan pula tidak diambil kira,” katanya.SH

No comments: