Friday, March 7, 2014

SEBULAT SUARA!!! Majlis Presiden Pakatan sokong Tan Sri Khalid menstruktur semula industri air di Selangor

KUALA LUMPUR 7 MAC: Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menstruktur semula industri air di Selangor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan 6 Mac lalu, Abdul Khalid memberikan penjelasan kepada pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan saya sendiri.

“… pimpinan tertinggi Pakatan mencapai persetujuan bahawa Kerajaan Selangor di dalam konteks penstrukturan industri air ini akan terus mendapatkan maklum balas daripada satu jawatankuasa khas Pakatan yang diwakili Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.


Ketua Umum KEADILAN itu menambah, di dalam mesyuarat tersebut, pimpinan Pakatan Rakyat menunjukkan keprihatinan yang tinggi serta memberi nasihat dan pandangan bagi memastikan proses penstrukturan industri air memberi pulangan dan natijah terbaik kepada kerajaan negeri serta rakyat Selangor, termasuk perkara-perkara yang disentuh di dalam MoU di antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Menurutnya, satu persetujuan juga dicapai untuk melibatkan Tommy Thomas, pakar perundangan, di dalam proses ini sebagai wakil bebas yang mewakili rakyat Selangor, bagi memastikan perjanjian yang kukuh di sisi undang-undang menjaga kepentingan rakyat Selangor.

“Mereka akan bertanggungjawab bekerjasama dengan Kerajaan Selangor di dalam pelaksanaan penstrukturan industri air ini termasuklah menyemak dan memberi maklumbalas kepada perjanjian-perjanjian yang bakal ditandatangani Kerajaan Selangor di dalam isu ini,” ujar Penasihat Ekonomi Selangor itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=59915

No comments: