Monday, April 7, 2014

BEREBUT KETUA KAMPUNG LAGI!!! Ugut keluar UMNO jika tak lantik Ketua Kampung baru

Protes ketua lama dilantik semulaBOTA - Pelantikan Ketua Kampung Selat, Jalan Tronoh, Bota, di sini mendapat tentangan beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan pemilihan itu.

Penduduk, Ghani Abu Sari, 47, berkata, pelantikan yang masih mengekalkan ketua kampung lama tidak dipersetujui dan mereka mahu ia dibuat secara undian.

Menurutnya, penduduk mempunyai pilihan sendiri yang boleh dilantik sebagai ketua kampung.

“Saya tidak bersetuju ketua kampung lama dilantik semula, sepatutnya ketua kampung dilantik berdasarkan undian penduduk supaya lebih adil.

“Kami memang tidak berpuas hati dengan ketua kampung yang dilantik semula itu kerana banyak perkara yang tidak diselesaikan,” katanya.

Manakala Lahut Amin, 58, pula berkata, mereka tidak teragak-agak untuk keluar daripada Umno jika  pemilihan ketua kampung tidak dibuat semula.


“Kami melihat Umno sebuah parti yang mahu membantu bangsa Melayu namun ia menjadi sebaliknya disebabkan tindakan pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya.

Bagi Hatibah Yob Muhammad, 52, sebagai penduduk mereka berhak menentukan pemilihan ketua kampung.

Jelasnya, ketua kampung yang dilantik dilihat kurang menjalankan tugas apabila ada penduduk yang terabai dan ada kampung yang tidak dikunjungi.

“Jika mereka (ketua kampung) dilihat tidak menjalankan tugas dengan baik, pada pemilihan akan datang kami boleh memilih orang lain yang lebih bertanggungjawab untuk menggalas tugas itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Selat Jalan Tronoh, Meor Hanapi Hashim berkata, pelantikan beliau berdasarkan pemilihan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK).

“Saya tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak namun sudah melakukan yang terbaik untuk menjadi pemimpin di kawasan ini.

“Saya juga Pengerusi Ketua-ketua Kampung Parlimen Parit, pastinya saya mahukan yang terbaik untuk kampung ini dan Parlimen Parit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, pelantikan Ketua Kampung dibuat berdasarkan rekod baik yang ditunjukkan sebelum ini.

“Kita tidak ada sistem undian dalam pemilihan Ketua Kampung  dan sebagai Ketua Bahagian Umno memilih ketua kampung berdasarkan rekod baik yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, aduan dikemukakan penduduk dilihat sebagai masalah peribadi.

“Kita tidak mahu disebabkan masalah peribadi perkara ini menimbulkan pelbagai persepsi dan berharap penduduk menerima keputusan itu dengan baik kerana ketua kampung yang dilantik mengikuti kriteria  sepatutnya,” katanya.SH

1 comment:

Anonymous said...

Buat pertandingan laga ayam sabung, ayam siapa yg menang maka pemiliknya dilantik jadi ketua kampung. Tentu tidak akan bergaduh macam zaman dulu. ABU!!!