Thursday, April 3, 2014

BR1M SUDAH BASI!!! Umno bakal gulung tikar selepas PRU 14


Perpindahan undi Melayu ke Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang bulan lalu adalah sebagai sambungan kencenderungan pengundi sejak pilihan raya 2008 dan ia boleh menjadi masalah besar kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Penganalisis berkata kepada The Malaysian Insider, walaupun PRK Kajang diadakan selepas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberikan tetapi ia tidak menghalang orang Melayu untuk menyokong Pakatan, walaupun isu ekonomi menjadi punca sokongan ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mendapat 16,779 undi daripada 28,314 undi yang dibuat semasa PRK itu, menjadikan beliau mendapat majoriti 5,483 mengatasi calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun yang menerima 11,296 undi.

Walaupun peratusan keluar mengundi hanya 72% berbanding 88% dalam pilihan raya umum 5 Mei 2013, Pakatan berjaya mendapat peningkatan undi kepada 59.9% berbanding 57% dalam pilihan raya umum.

Umno perlu risau dengan perpindahan undi Melayu kerana cara kempen Umno dan Perkasa tidak meningkatkan undi kepada mereka, kata penganalisis,

"Kos sara hidup menjadi isu di Kajang. Persepsi sangat kuat menyatakan BN tidak cukup berusaha untuk mengekang ketirisan dan rasuah," kata Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pemberian BR1M sebanyak RM650 menjelang PRK, yang kebanyakannya diberikan kepada Melayu berpendapatan rendah juga gagal meningkatkan sokongan, kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.

Pemuda Umno yang turun berkempen secara bersunguh-sungguh di Kajang juga mengenal pasti isu seperti kenaikan kos sara hidup, ekonomi dan perumahan menjadi punca golongan muda menjauhi BN.

Ketuanya, Khairy Jamaludin Abu Bakar, berkata walaupun pergerakan itu berjaya mendekati ramai golongan muda, kenaikan kos sara hidup menjauhkan golongan muda daripada BN.

Beliau berkata, Kajang adalah kubu PKR sejak dua pilihan raya lalu walaupun Selangor adalah kubu BN sejak pilihan raya 1969.

"Kami adalah pihak yang tidak mendapat manfaat apabila mereka (PKR) yang memilih tempat dan masa. Dan kami juga sudah menjangka penurunan undi golongan muda," katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur semalam.

Berdasarkan data yang diperolehi Merdeka Center, ketuanya Ibrahim Sufian berkata, Pakatan berjaya mendapat peningkatan undi Melayu daripada 36% dalam pilihan raya umum Mei lalu kepada 45% dalam PRK 23 Mac.

Di Kajang, 48% daripada 16,103 pengundi berdaftar adalah Melayu.

Data dari 18 daerah mengundi juga menunjukkan, pengundi Melayu, Cina dan India di bawah 40 tahun ramai yang menyokong Pakatan, kata Ibrahim.

Selari dengan trend kajian pusat itu pada Disember tahun lalu, Ibrahim percaya bahawa sokongan kepada BN turun kerana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sejak pemotongan subsidi bahan api dan gula September tahun lalu.

Angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini menunjukkan kos sara hidup, seperti yang diukur melalui indeks harga pengguna, mencecah sehingga 3.5% kini. Ia adalah +3.4% pada Januari dan +3.2% pada Disember.

Pada Februari, Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaya (UMcedel) mengeluarkan satu kajian yang menunjukkan 69% daripada pengundi yang akan mengundi di Kajang memilih Pakatan kerana inflasi yang lebih tinggi.

"Pengundi berjaya dipengaruhi oleh kempen pembangkang bahawa kerajaan persekutuan tidak melakukan apa-apa mengenai rasuah," kata Nur Jazlan.

Ibrahim berkata, peningkatan undi Melayu datang daripada golongan atas pagar yang mengundi Pakatan kerana membantah kos barangan tinggi dan peningkatan jenayah.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Kim Sin daripada PKR (yang menang PRU 2008) menganggarkan bahawa kira-kira 40% penduduk Melayu adalah golongan atas pagar. Dalam erti kata lain, bergaji, profesional kelas menengah yang mengikuti internet dan berfikiran bebas.

"Mereka memilih calon atau parti mana yang melakukan lebih baik. Mereka bukan penyokong kuat Umno di Kajang kerana Umno sendiri tidak tidak memperlihatkan kehadiran yang kukuh di sini," kata Lee, yang menang dengan undi 3,000 majoriti dalam pilihan raya umum pada 2008.

Kajang secara tradisinya adalah kerusi MCA.

Walaupun Pakatan tidak mendapat lebih banyak sokongan daripada orang Melayu, Ibrahim berkata, BN menyaksikan satu penurunan sokongan daripada pengundi tradisional mereka.

"Penyokong kuat Umno yang mengundi BN dalam PRU lalu tidak keluar mengundi," kata Ibrahim.

Trend ini dilihat awal-awal lagi oleh Pakatan dan aktivis BN. Penyokong Umno di Kajang kononnya tidak selesa untuk mengundi Calon Cina BN berbanding calon Melayu Pakatan.

Ini adalah mengapa risalah memburukkan (dan mengelirukan) Dr Wan Azizah yang diberikan kepada masjid semasa tempoh berkempen berakhir dengan mesej yang menyerang bangsa.

Sasaran utamanya adalah orang Melayu di pinggir bandar iaitu di Sungai Sekamat, Kampung Bukit Sokonglah, Taman Mesra dan Taman Delima yang terletak di sekeliling pusat bandar Kajang.

Risalah juga dilihat di Sungai Kantan, di kawasan kejiranan penjawat awam yang aktif dan bersara.

Di sinilah lebih daripada 70% pengundi Melayu Kajang hidup dan secara tradisinya menyokong Umno dan BN.

Dalam salah satu risalah itu, mereka meminta pembaca Melayu menyokong calon Cina yang mengesahkan kepimpinan Umno, berbanding calon PR yang Melayu.

Tetapi mesej itu memberi kesan yang sangat sedikit pada hari mengundi pada 23 Mac apabila PR memenangi lebih banyak undi daripada BN di dua daripada empat kawasan Melayu di Kajang.

Lee melihat undi yang diperolehi Dr Wan Azizah juga sama dengan yang beliau perolehi di kalangan orang Melayu di Kajang pada 2008.

"Saya mendapat jumlah yang hampir sama dengan undi Dr Wan Azizah daripada orang Melayu," kata Lee.

Beliau mendakwa, di Sungai Kantan, beliau hilang kira-kira 100 undi (Dr Wan Azizah hilang 225 undi) manakala di Sungai Sekamat kurang 50 undi saja (Dr Wan Azizah memenangi Sungai Sekamat sebanyak 64 undi).

Ada juga faktor yang disenyapkan yang tidak mendorong penyokong Umno untuk keluar, kata Ibrahim.

"Pada umumnya, pilihan raya kecil dirasakan tidak begitu penting. Jika Anwar bertanding, mungkin ia akan menjadi berbeza.

"Lebih Melayu akan keluar dan mengundi kerana ada yang mempersoalkan kewajaran menukar menteri besar,” katanya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, suami Dr Wan Azizah, merupakan calon Kajang yang asal tetapi hilang kelayakan bertanding selepas keputusan Mahkamah Rayuan mendapati beliau bersalah, beberapa hari sebelum kempen bermula.

"Terdapat banyak sebab untuk kemenangan PR tetapi yang lebih penting ialah lebih banyak undi Melayu diperolehi selepas tiga pilihan raya dalam keadaan ia adalah kubu BN enam tahun lalu. Ini yang perlu menjadi kebimbangan Umno," kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider.

"Jika kita tidak berhati-hati, kita akan kehilangan semuanya dalam pemilihan akan datang tidak kira apa yang kita katakan, " katanya.

No comments: