Wednesday, July 14, 2010

Muhyiddin bertanggungjawab tangkap pencuri pasir




SHAH ALAM, 14 Julai :
Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

"Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi kegiatan ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

"Sebab dalam berita dia kata 'bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

"Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula," katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Read more ...

Jangan termakan tipu daya Umno




























KUALA LUMPUR, 14 Julai:
PAS diingatkan jangan terpedaya dengan tipu muslihat Umno yang menghulurkan tangan bagi mengadakan kerjasama antara dua parti itu.

Demikian tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu (gambar) kepada Harakahdaily ketika ditemui hari ini.

"Saya melihat mungkin ada pemimpin Umno ini yang duk fikir mungkin ada pemimpin PAS yang akan terpedaya dengan muslihat mereka, saya tegaskan ini satu tipu muslihat, jangan kita terperangkap dengan usaha ini," tegasnya.

Menurutnya, Umno memainkan isu itu dalam usaha untuk memecahbelahkan kesepaduan Pakatan Rakyat dan PAS selain mengusik pengundi bukan Islam agar lari dari PAS.

Umno, baginya tidak pernah senang dan sering menjalankan dakyah agar PAS ditolak oleh bukan sahaja Melayu malah bukan Melayu.

Memandangkan PAS telah diterima bukan Melayu dan Melayu hari ini, Umno merasa 'gelabah' dan sengaja memainkan semula lagu lama itu untuk menjatuhkan PAS sebenarnya, katanya lagi.

Bersama dengan hujah beliau itu, seorang lagi AJK PAS Pusat, Hanipa Maiden juga menyeru agar kepimpinan dan ahli 'jangan layan atau peduli' dengan tawaran yang dibuat Umno itu.

Beliau melihat, pelawaan itu tidak lebih sekadar strategi politik tatkala Umno semakin mula ditinggalkan oleh semua kaum di negara ini.

Sebaliknya rakyat hari ini mahukan politik baru yang mana ia tidak lagi berasaskan kepada sentimen perkauman ataupun pemikiran sempit seperti yang dijalankan Umno/BN, ujarnya.

Beliau sekali lagi mengulangi gesaan agar PAS tidak melayan sahaja pelawaan Umno tersebut malah mengganggap ia satu strategi untuk menjatuhkan PAS.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Read more ...

Mansuhkan saman ekor, susahkan rakyat



KUALA LUMPUR, 14 Julai :
Kerajaan digesa memansuhkan saman ekor oleh Polis DiRaja Malaysia kerana membebankan pemilik kenderaan ketika mahu memperbaharui cukai jalan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tindakan PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan menghalang pemilik yang belum membayar saman ekor daripada memperbaharui cukai kenderaan hanya akan membawa masalah sosial baru.

"Kalau JPJ tak bagi, mereka ini akan mula membuat cukai jalan palsu dan memandangkan ada begitu banyak yang dihalang daripada memperbaharui cukai jalan, sudah tentu kebanyakan mereka ini terpaksa mencari alternatif lain. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan aktiviti membuat cukai jalan palsu berkembang dan menular," tegas beliau pada sidang media di parlimen Isnin lalu.

Tambah Mahfuz lagi, cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan mencari cara lain untuk mengutip saman ekor.

"Kerajaan Umno-BN perlu memikirkan cara lain untuk mendapatkan bayaran saman ekor kerana sekatan memperbaharui cukai jalan jelas bukan satu alternatif yang baik. Jangan kerana mahukan wang lebih, kita berdepan dengan masalah lebih banyak pemilik mendapatkan cukai jalan palsu. Akhirnya wang pun tak dapat, wang cukai jalan yang patut kerajaan dapat pun tiada," kata beliau.

Katanya, kerajaan Umno-BN patut memansuhkan terus saman ekor dan membatalkan semua tuntutan bayaran saman tersebut kerana ia merupakan satu bentuk saman yang tidak dapat dibuktikan dan tidak boleh dijustifikasikan.

"Kalau kerajaan Umno-BN boleh berbelanja berbilion untuk kapal selam yang masih tak boleh menyelam, apa salahnya korbankan sedikit untuk memenangi dan memberikan ketenangan kepada rakyat," tegas Mahfuz lagi.

Read more ...

Tuesday, July 13, 2010

Bantah FBI bersidang di Kuala Lumpur















KUALA LUMPUR, 14 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Malley, dekat sini pada 18 hingga 23 Julai ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, maklumat itu diperoleh daripada laman web FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh presidennya, SAC 1 Datuk Shahbudin Abdul Wahab.

"Teras membantah dengan keras persidangan ini diadakan di Malaysia yang melibatkan sebuah agensi risikan Amerika yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika," katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, perhubungan FBI National Academy Associates dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1964 apabila SAC Kassim Ali menghadiri sesi FBI NAA itu buat kali ke-74 .

Sejak itu katanya, 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa, antara yang turut hadir ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar, kecuali 16 orang , yang lain dikatakan sudah bersara.

Mohd Azmi berkata, pihaknya amat kesal apabila mengetahui Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen.

Justeru, Teras mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum rasional mereka menjalinkan hubungan dengan FBI dan mahu kerajaan segera menghentikan perhubungan dengan FBI.

"Teras mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan apakah rasional perhubungan PDRM dengan FBI selama ini, sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada FBI dan berapa perbelanjaan yang terlibat dalam latihan pegawai PDRM di FBI.

"Teras juga menuntut agar pihak kerajaan menghentikan perhubungan dengan FBI," katanya.

Menurut Mohd Azmi juga, Shabudin dalam kata-kata aluannya menyatakan bahawa persidangan itu disebut sebagai simbol kuasa dan hubungan rapat yang dapat dijalinkan dengan PDRM melalui FBI NAA Asia pasifik.

Persidangan berkenaan dipercayai ditaja oleh beberapa pihak termasuk Permodalan Nasional Berhad, Tourism Malaysia dan Public Bank Berhad.

Tegasnya juga, kerajaan bersikap hipokrit apabila menyatakan kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan Amerika.

"Tidak ada gunanya kerajaan menyatakan Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan kuasa perisik Amerika yang mempuyai agenda untuk mengawal pengurusan keselamatan negara.

Sebagai sebuah agensi perisikan Amerika yang utama selain CIA , katanya pelbagai rekod operasi melibatkan penyeludupan agen-agen perisik di seluruh dunia dilaksanakan untuk kepentingan Amerika.

Dua agensi paling berkuasa di Amerika iaitu FBI dan CIA terkenal di Amerika sendiri sebagai agensi yang merosakkan hak individu, hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin yang semuanya dilakukan atas nama keselamatan nasional.

Oleh itu, sejarah Amerika sarat dengan skandal yang dikaitkan dengan dua agensi itu termasuk insiden asasinasi Kennedy, kegagalan membunuh Fidel Castro; bom Oklahoma City; pembunuhan beramai-ramai Waco Texas dan 9/11.hrkh

Read more ...

Muhyiddin kritik Kerajaan Selangor untuk lindungi kroni



SHAH ALAM, 14 Julai : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencampuri pengurusan industri air di negeri itu bertujuan untuk membantu serta melindungi kepentingan kroni Umno-BN dan bukan mempertahankan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat mahu industri air di Selangor distruktur semula supaya ia dapat diuruskan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan.

"Kita tahu bahawa penswastaan yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk di Selangor dan negeri lain melalui konsesi yang diberikan kepada Puncak Niaga dan juga Syabas tidak menghasilkan pengurusan air yang baik bagi Selangor sehinggakan Syabas sekarang dalam keadaan yang sangat kritikal.

"Ini bererti Syabas tidak mempunyai kumpulan wang yang cukup untuk mengendalikan pengurusan bekalan air Selangor sehingga pada 2009 kerajaan pusat terpaksa memberi pinjaman RM320.8 juta kepada Syabas. Pinjaman sangat mudah, tak payah bayar dalam masa lima tahun dan kemudian dibayar berdikit-dikit selama 20 tahun.

"Malah, tak ada faedah dikenakan kepada pinjaman tersebut dan dengan cara ini bukanlah cara penswastaan yang kita (kerajaan negeri) kehendaki.

"Adalah lebih elok Kerajaan Persekutuan menyerahkan dana itu kepada Kerajaan Negeri Selangor agar kita dapat uruskan konsesi air tersebut dengan cara yang lebih baik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex semasa sidang Dewan Negeri Selangor Isnin lalu.

Abdul Khalid juga menyifatkan perkara yang dibangkitkan Muhyiddin itu bertujuan melindungi Ketua Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail.

"Ini kerana beliau adalah juga menjadi Bendahari Umno Selangor dan juga Bendahari Umno Hulu Selangor.

"Jadi pada Muhyiddin lebih baik menjaga hati kroni daripada memberikan peluang kepada rakyat negeri Selangor mendapat air yang lebih murah dan lebih cekap diurus," tegas Menteri Besar.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan bekalan air di Selangor sentiasa mencukupi.

"Ia akan dilakukan melalui usaha penggalian air dan juga air daripada sungai yang masih lagi belum diusahakan dengan sebaiknya.

"Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat juga tidak menghalang projek 'Pahang-Selangor Water Transfer'. Bagaimanapun semua ini diharap dapat dilakukan atas prinsip tidak ada syarikat swasta yang mendapat keuntungan berlebihan," ujar beliau.

Abdul Khalid menyindir Muhyiddin dengan mengatakan walaupun Timbalan Perdana Menteri itu menuduh beliau tidak cekap mengurus air namun harga air di Selangor lebih murah daripada di Johor.

"Negeri Johor yang pernah dipimpin Timbalan Perdana Menteri adalah antara negeri yang mengenakan harga air yang tertinggi di Malaysia," jawab beliau.

Sebelum ini Muhyiddin dengan lantang mengkritik kerajaan negeri Selangor agar segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan krisis air terburuk menjelang 2012.

- Suara Keadilan

Read more ...

Kerajaan PR tunai janji : Rang undang-undang kebebasan maklumat





















SHAH ALAM, 14 Julai :
Kerajaan Selangor membentangkan rang undang-undang kebebasan maklumat di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ketika membentangkannya, Exco pelancongan Elizabeth Wong berkata, satu jawatan pegawai maklumat akan diwujudkan di setiap jabatan bagi tujuan merakyatkan informasi.

"Peguam negara telah suarakan keinginan untuk kaji rang ini. Saya yakin kelulusan ini akan bawa pentabdbiran baru dan berbeza di mana keterbukaan dan kepercayaan jadi asas budaya semua, dari pegawai kerajaan hingga kepada menteri besar sendiri.

"Tidak dinafikan ini merupakan tanggungjawab berat tapi inilah yang dinamakan ketuanan rakyat dan inilah maksud reformasi," katanya lagi.

Tambahnya, langkah ini dijangka bakal meningkat keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat kepada sistem pemerintahan.

"Seorang pegawai maklumat akan dilantik oleh setiap jabatan di bawah kerajaan negeri, dan pegawai ini diberi tugas dan tanggungjawan untuk menyelaraskan pemberian maklumat."Pegawai maklumat ini juga akan memastikan maklumat-maklumat yang penting disimpan dan diuruskan dengan betul," katanya lagi.

Read more ...

Khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat

CIMG4083.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 14 Julai : Kesibukan tugas di klinik dan hospital tidak menghalang para doktor melaksanakan kerja-kerja sukarela memberikan khidmat kesihatan secara percuma kepada masyarakat.

Penyelaras Khidmat Kesihatan PAS Parit Buntar Dr. Azamuddin Ibrahim berkata, pasukan doktor sukarela menawarkan kaunseling kesihatan, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan kandungan gula dalam darah dan ujian berat badan seimbang.

Dr. Azamuddin berkata demikian semasa mengetuai pasukan doktor sukarela memberikan khidmat kesihatan percuma kepada penduduk Kuala Bagan Tiang di sini.

“ Program hari ini sungguh meriah dan tidak menang tangan dengan kehadiran penduduk terdiri daripada golongan muda, tua dan kanak-kanak .

“ Masing-masing sangat teruja untuk mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan oleh pihak kami “ katanya

Menurutnya, program hari ini adalah aktiviti berterusan yang ditawarkan kepada penduduk di Parit Buntar.

“ Sebelum ini sudah banyak kali khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat diadakan oleh PAS Parit Buntar. Kami baru sahaja mengadakan dua program di Kampung Perak dan Tanjung Piandang.

“ PAS Parit Buntar bukan sahaja mengadakan program ini kepada orang Melayu malah melibatkan kaum lain di komuniti mereka” katanya

Dr. Azamudin berkata, kehadiran PAS di hati masyarakat dan keterbukaannya dalam bekerjasama dengan institusi-institusi masyarakat dan perubatan jelas membuktikan keseriusan PAS untuk memberikan yang terbaik dari sudut keperluan dan kebajikan masyarakat.

“ Kami juga mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang sakit dan tidak mampu ke tempat program.

“ Rata-rata penduduk sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan berharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang” katanya

Read more ...

Lantikan wakil DHPP ahli PBT kerana setia










KUALA LUMPUR, 13 Julai :
Pelantikan empat wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan minggu lalu adalah berasaskan keanggotaan dalam sayap itu dan mewakili kaum, bukannya agama, kata PAS Selangor hari.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Mohd Shahir mengakui salah seorang daripada empat wakil dewan itu, yang dilantik adalah beragama Islam.

“Kami sedar salah seorang beragama Islam, tetapi dia (S. Arun) dilantik kerana kesetiaan dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS. Dia menganut Islam kemudian, baru-baru.

“Jadi PAS Selangor memilih beliau kerana sudah lama bersama PAS dan yakin boleh berkhidmat sebagai ahli majlis, Pesuruhjaya PAS sudah membuat keputusan dan diterima,” kata beliau lagi.

Arun ketika dihubungi enggan mengulas statusnya yang dipersoalkan dalam laporan sebuah akhbar hari ini.

Akhbar itu memetik Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS N. Balasubramaniam berkata PAS perlu memberikan penjelasan berhubung pelantikan Arun sebagai ahli majlis Daerah Hulu Selangor.

Kata Balasubramaniam, PAS sebelum ini memperuntukkan empat kerusi ahli majlis di Selangor kepada dewan itu sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun menurutnya, akhir-akhir ini banyak pihak menimbulkan persoalan berhubung status Arun kerana kini beragama Islam.

Pada Jumaat lalu, susulan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS akhir Mei lalu, PAS Selangor mengambil pendekatan berbeza dengan melantik empat ahli kalangan bukan Islam.
Daripada empat nama itu, tiga orang India dan seorang Cina.

Mereka terdiri daripada K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS” melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.
Roslan memberitahu terdapat juga orang Melayu yang tidak menjadi ahli PAS tetapi menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Oleh itu isu agam tidak harus menjadi masalah,” katanya.

Mengenai ikrar aku janji dan bai'ah, kata beliau, Arun boleh mengambil mana-mana cara.
“Kalau beliau hendak menggunakan kedua-dua cara pun boleh, tetapi memadai sekurang-kurangnya salah satu cara angkat sumpah ini,” katanya.

Dalam pada itu Deepakaran yang juga Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS berkata, pihaknya tidak melihat ia sebagai satu isu.

“Apa yang penting, dia seorang ahli Dewan Himpunan,” katanya.

Read more ...

Felda guna GSA ‘kawal’ peneroka
























ROMPIN, 14 Julai :
Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Felda menggunakan Akta Kawasan Tanah Berkelompok 1960 (GSA) untuk “mengugut” peneroka supaya dapat terus mendominasi hak pengurusan perladangan tersebut.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, langkah Felda menggunakan akta tersebut sebenarnya bertujuan mengongkong peneroka daripada mengusahakan ladang mereka sendiri.

“Sepatutnya apabila peneroka sudah mendapat hak milik tanah, mereka boleh buat apa sahaja tetapi Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka supaya serahkan hak pengurusan ladang kepada Felda.

“Ini kerana Felda mempunyai tafsiran bahawa selagi mana peneroka diikat di bawah Akta GSA maka peneroka adalah tanggungjawab Felda. Ini yang Felda pegang tapi bagi peneroka bila dapat hak milik ia satu pengiktirafan bahawa kebun itu mereka yang punyai.

“Situasi ini menyebabkan dua tafsiran berbeza yang menjadi satu isu besar kerana tindakan Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas beliau menyampaikan Ceramah Kesedaran Untuk Generasi Kedua Felda di Felda Keratong 3 di sini malam tadi.

Beliau berkata, apabila GSA digunakan terhadap peneroka ia akan menyebabkan banyak masalah akan timbul.

“Jika dalam berpolitik rakyat akan takut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dalam Felda peneroka takut akan GSA ini.

“Justeru, Felda menggunakan akta ini untuk memanipulasi dan menakut-nakutkan peneroka demi untuk membolot hasil dan kekayaan peneroka.

“Sebab itu kita adakan ceramah untuk bagi kesedaran dan keinsafan kepada peneroka supaya mereka berani untuk berubah dan memperjuangkan hak kita sebagai pemilik tanah yang sah kerana Felda sebenarnya tidak mempunyai satu inci hak terhadap 10 ekar tanah tersebut,” katanya.

Difahamkan anak syarikat Felda, Techno Plant Sdn Bhd diberi kuasa untuk menguruskan ladang-ladang peneroka.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila peneroka diberikan hak pemilikan tanah selepas hutang dengan Felda diselesaikan.

“Bila peneroka masuk Felda mereka diikat dengan perjanjian yang dipanggil Perjanjian Antara Peneroka dan Felda, jadi peneroka ambil kira perjanjian ini di mana selepas habis semua hutang tanah akan menjadi milik mereka.

“Jadi apabila peneroka sudah mendapat hak milik mereka berada dalam dilema sama ada untuk serahkan semula ladang mereka kepada Felda untuk diuruskan atau uruskan sendiri.

“Apabila berlaku konflik dalam diri peneroka ketika itu Felda akan memainkan peranan dengan mendesak peneroka supaya serahkan ladang mereka kepada Felda yang akan diuruskan Techno Plant Sdn Bhd,” katanya.

Mazlan yang merupakan anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat berkata, hanya terdapat segelintir sahaja peneroka yang mengusahakan ladang mereka sendiri iaitu seramai 25,000 orang daripada 112,635 peneroka.


“Jadi bila dalam masyarakat Felda timbul dua kumpulan dan kumpulan yang buat sendiri ini adalah minoriti. Ia secara tidak langsung menimbulkan pertembungan dan persengketaan antara Felda dan peneroka.

“Sebab itu kita perjuangkan supaya kerajaan bebaskan mana-mana peneroka yang nak buat sendiri dan ini adalah tawaran Pakatan Rakyat, sebab itu bila kita memerintah kita akan beri peluang kepada mana-mana peneroka untuk tentukan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata tindakan Felda yang tidak mendedahkan hasil sebenar perolehan peneroka menyebabkan mereka bimbang mengenai keuntungan yang diperoleh.

“Peneroka takut apabila tidak didedahkan kunci kira-kira, mereka takut hutang yang ditanggung semakin banyak. Sebagai contoh hasil sudah keluar tetapi peneroka tidak tahu berapa jumlah sebenar hasil jadi kalau Felda nak memperdaya bila-bila masa pun boleh kerana tiada kunci kira-kira.

“Selain itu, jika peneroka serahkan kepada Felda untuk uruskan ladang pemotongan terlalu banyak iaitu sebanyak 40 peratus daripada pendapatan asal mereka, jadi kalau RM1,000 Felda awal-awal sudah potong RM400.

“Jadi jika peneroka uruskan sendiri, mereka hanya perlu bayar beberapa kos seperti kos upah kerja, lori dan lain-lain, malah mereka akan dapat pendapatan yang lebih besar berbanding serahkan kepada Felda,” katanya di hadapan kira-kira 100 orang warga peneroka.

Tambahnya, dakwaan Felda muflis ada asasnya dan akan berlaku sekiranya diskriminasi dan penyelewengan tidak di atasi sehingga menyebabkan rizab Felda merosot.

“Jadi satu perancangan perlu dibuat supaya masalah penyelewengan dan diskriminasi yang berlaku dalam Felda di atasi,” katanya.

Read more ...

Kerjasama Umno-PAS sudah tutup buku


























KUALA LUMPUR, 14 Julai :
Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar memberi nasihat kepada Umno tidak lagi membangkitkan syor yang ia masih berhasrat mengadakan perbincangan mengenai kerjasama perpaduan Melayu sambil menyifatkan “bab dialog PAS-Umno dalam hal ini sudah ditutup.”


Malah, naib presiden penggal pertama itu juga berkata, kepimpinan Umno-BN tidak wajar mengetengahkan lagi cadangan seumpama itu yang dilihat sebagai usaha “terdesak” Umno untuk menggunakan “PAS sebagai talian hayat politik mereka” selepas keputusan 8 Mac 2008.

“Kami menganggap isu sudah lama ditutup, buku mengenai isu ini sudah ditutup... sebab itu kini hanya hendak membincangkan soal melonjakkan sokongan orang Melayu kepada PAS, sebagaimana telah dibincangkan ketika sesi pemukiman di Port Dickson baru-baru ini,” kata beliau.

Sehubungan itu Mahfuz juga berkata PAS akan terus memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kerjasama menerusi Pakatan Rakyat.

“PAS akan melakukan ini, usaha yang telah gagal dilakukan oleh Umno selama ini... mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan dengan gandingan komponen Pakatan Rakyat.

“Biar beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) seorang diri bercakap mengenai isu ini. Saya percaya mereka akan menggunakan isu selama-lamanya dengan menuduh PAS menolak usaha mahu mengadakan perbincangan dengan Umno.

“PAS tidak akan melayan langkah Umno macam ini lagi, kami akan terus bertahan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dinyatakan dalam Dasar Bersama Pakatan tahun lalu,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat bulanan majlis kepimpinan presiden di ibu negara petang ini.

Muhyiddin semalam dipetik Bernama berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata, terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Muhyiddin memberikan pandangan itu mengulas anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan PAS terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

Syor agar diadakan kerjasama politik PAS-Umno ini bukan kali pertama diketengahkan.
Pandangan-pandangan seumpama ini telah banyak kali dikemukakan sejak selepas prestasi Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Muktamar Tahunan PAS 2008 dan 2009 juga telah memutuskan dialog kerajaan perpaduan antara Umno-PAS.

Read more ...

Terima Ganesan bersyarat


IPOH , 14 Julai : Pakatan Rakyat (PR) Perak memberi jaminan bahawa kekecohan yang berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu tidak akan berlaku pada 3 Ogos nanti.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata, beliau memohon kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi kerjasama dalam memastikan persidangan kali ini berjalan lancar.


“Kita telah menyatakan hasrat kita iaitu memastikan sidang DUN akan dapat berjalan lancar dan kita meminta beliau memberi kerjasama dalam memastikan semua soalan yang ditanya oleh ADUN dapat dijawab dan juga peluang untuk berdebat akan diberikan kepada semua ADUN.

“Saya hendak dapatkan jaminan daripadanya bahawa polis juga tidak akan mengerumuni dan memasuki kawasan Dewan selain mikrofon ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) tidak ditutup dan media dilayan dengan baik,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di di Pejabat Perhubungan Pas Perak, semalam.

Menurutnya, dalam masa sama, mereka akan bekerjasama dengan Datuk R Ganesan sebagai pengerusi mesyuarat.

“Siapa speaker sah itu satu soalan perundangan sehingga dijawab oleh mahkamah. Demi kebaikan rakyat dan kepentingan rakyat, kami bersetuju dan bersedia bekerjasama membenarkan Datuk Ganesan mempengerusikan mesyuarat tetapi bukan sebagai speaker,” katanya.

Khoo Ham berkata, beliau turut mempertikai isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat yang tidak dibalas oleh Datuk Seri Dr Zambry.

“Sebagai Menteri Besar dan kerajaan, dia harus menjawab. Ini sistem demokrasi. Dia bertanggungjawab menjawab soalan. Isu akan dibangkitkan oleh wakil rakyat adalah isu rakyat.

“Selain itu, notis untuk hadir pada persidangan ini juga tidak disertakan apa-apa agenda. Ini perkara pelik yang menunjukkan mereka tidak mengikut peraturan,” katanya.SH

Read more ...

Penduduk sudah tak tahan dengan pembohongan Umno

BAYAN LEPAS, 14 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad perlu memohon maaf kepada keseluruhan penduduk Kampung Binjai kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat serta anak saudara mereka yang berada di luar.

Pengerusi Badan Bertindak Perpindahan Penduduk Kampung Binjai, Hashim Ismail berkata, Adun berkenaan hanya memperbetulkan kenyataanya dua hari selepas kenyataan pertama dikeluarkan tanpa menyebut pun perkataan 'pohon maaf' cuma mengakui mendapat fakta yang salah.

Para penduduk, kata beliau menjadi gelisah ekoran kenyataan berbaur fitnah itu walhal setahu penduduk tiada apa-apa pembangunan di situ.

“Cuma poster dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang meminta bantahan penduduk di lot bersebelah iaitu 791 dan 792 sekiranya projek dilaksanakan di lot 792.

"Jika beliau ada maruah, YB Farid kena pohon maaf secara terbuka kerana silap memberikan fakta hasil daripada maklumat yang entah dari mana. Kami penduduk bukan nak marah sekiranya YB bersikap begitu," tegasnya ketika tinjauan Harakahdaily ke kampung berkenaan kelmarin.

Beliau mempersoalkan kenapa secara tiba-tiba isu itu menjadi panas sedangkan belum berlaku pengusiran penduduk seperti mana yang didakwa Adun itu yang juga naib ketua Umno Balik Pulau.

Akibat daripada kenyataan palsu itu, katanya penduduk menjadi cemas manakala sanak saudara yang tinggal di luar Pulau Pinang acap kali menghubungi keluarga di kampung tersebut kerana bimbang dihalau memandangkan tanah yang didiami sejak puluhan tahun itu milik swasta.

Menurutnya, walaupun kawasan itu berstatus komersial dan harganya cukup tinggi tetapi masih belum ada apa-apa pembentangan pelan rancangan pembangunan di kampung itu.

“Jangan pula kerana terlalu bencikan Kerajaan Pakatan Rakyat, Umno dan Barisan Nasional (BN) menabur fitnah.

"Apa yang ditaburkan semata-mata mencari pengaruh atau menjadi hero bagi jadikan batu loncatan untuk mencari tempat bertanding di Parlimen Balik Pulau," tambahnya.

Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Kampung Binjai, Mohd Faizal Abd Rahman pula berkata, masalahnya sekarang tanah yang didiami seramai 46 keluarga merupakan tanah milik swasta.

Kata beliau, sekiranya hendak dibangunkan, hanyalah mengharapkan ehsan perpindahan sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tanah Negara yang diluluskan di Parlimen pertengahan tahun 1990-an.

Ini bermakna, katanya BN dan Umno merupakan pengkhianat kerana menyokong pindaan tersebut dan natijahnya dirasai oleh rakyat sekarang.

"Inilah padah Akta Tanah Negara yang ditentang oleh pembangkang waktu dulu. Sekarang apa boleh buat. Bukan boleh salahkan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng," ujarnya.

Penduduk pertama Kampung Binjai, Puan Zaharah Sidek berkata, jika sekiranya pemaju Palm Development Sdh Bhd mahu memajukan tanah itu, biarlah penduduk diberikan pampasan yang setimpal atau menempatkan kediaman sekitar kampung itu juga.

Menceritakan keadaan itu, beliau memberitahu, waktu itu, pada 1982 kawasan itu adalah hutan rimba.

“Mak Cik datang bersama keluarga menebas dan membelinya daripada Encik Hasan, selepas itu baru ada orang lain pula datang membeli tanah untuk diduduki," terangnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Yusuf yang turut turun padang menjelaskan, BN dan Umno sengaja berbuat demikian untuk kepentingan politik mereka menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

“PAS yakin Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan membantu menyelesaikan konflik setakat mana yang boleh demi kepentingan penduduk asal.

"Kerajaan berjiwa rakyat tidak sekali-kali bersikap dendam sebaliknya melakukan pembelaan yang sewajarnya, itupun sekiranya jalan penyelesaian ditemui. Maklumlah tanah swasta," katanya.

Read more ...

Pusat Khidmat PR anjur motivasi kecemerlangan insan


IPOH , 13 Julai : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Pakatan Rakyat (PR) dengan kerjasama sebuah syarikat, menganjurkan program Kursus Motivasi Kecemerlangan Insan yang disertai oleh 45 orang peserta terdiri daripada Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah, Gopeng.

Program yang dijalankan di asrama itu bertujuan membentuk jati dan sahsiah diri dalam kalangan peserta khususnya lingkungan usia sembilan hingga 15 tahun.


Penganjur program dan penceramah, Ir Radzi Zainon berkata, penganjuran program itu sangat bertepatan dalam keadaan remaja hari ini dilihat lebih mudah terpengaruh dengan budaya luar.


Menurutnya, penganjuran kem itu juga berjaya mencungkil dan menanam asas iman serta takwa sebagai benteng diri dalam persediaan menghadapi dugaan dalam alam remaja.


“Remaja hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme, terjebak dalam amalan seks bebas, buang bayi dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.


“Sekiranya tidak diben-dung, maka impian kita untuk membangunkan negara menjadi sebuah negara maju dengan acuan kita sendiri, akan hancur musnah,” katanya kepada :Sinar Harian:.


Radzi berkata, pihaknya tanpa prejudis ingin melihat anak bangsa berjaya dan mampu melahirkan remaja yang cemerlang selain hidup di dalam suasana Islam sebenar.


“Kita cuba mengupas dan membentuk pemikiran remaja untuk lebih mendekati dan memahami cara sebenar kehidupan yang dituntut oleh agama Islam.


“Mudah-mudahan setiap pengajaran dan ilmu yang dicurahkan oleh fasilitator akan dapat diamalkan dan dipraktikkan untuk menjadi benteng diri agar peristiwa hitam yang mampu memalitkan dosa masyarakat setempat dapat dihindari,” katanya.


Katanya, apa yang diharapkan agar satu tindakan yang lebih drastik dilakukan dalam mempertingkatkan mutu kehidupan bagi melahirkan remaja yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia dan sentiasa bersedia menangani cabaran semasa.SH

Read more ...

Pelancaran bulan al-Quds

















Bandar Sri Iskandar,13 Julai :
Pasti Al Jamiah Bandar Universiti dengan kerjasama PAS Cawangan Bandar Universiti telah menganjurkan satu ceramah sempena pelancaran Bulan Al Quds di kawasan tersebut pada minggu lepas.

Ustaz Imran AL Malizi yang merupakan seorang penulis dan penceramah terkenal mengenai isu Palestin, telah dijemput untuk mengupas dengan teliti beberapa peristiwa dan isu terkini yang berlaku di Palestin terutamanya tragedi kapal misi kemanusiaan yang diserang tempoh hari. Ustaz Imran juga telah melancarkan tabung bantuan kemanusiaan sebagai satu inisiatif jihad harta khususnya bagi penduduk cawangan tersebut.

Pengarah Program, Ustaz Hakimi yang juga merupakan Ketua Penerangan Pas Cawangan Bandar Universiti ketika ditemui berkata, program pelancaran Bulan Al-Quds ini tepat pada masanya bersempena dengan malam 27 Rejab yang juga merupakan hari Isra' dan Mikraj. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada hampir 50 orang penduduk tempatan yang hadir bersama pada malam tersebut.

Turut hadir pada malam itu ialah Ustaz Zaidan (Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit) dan Ustaz Hassan (YDP PAS Kawasan Parit).

Read more ...

Satukan Umno dulu

KUALA LUMPUR, 13 Julai: PAS menasihatkan mereka yang cuba berusaha menyatukan parti itu dengan Umno supaya tolong menyatukan sesama Umno dahulu sebelum menyatukan orang lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Umno kini berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut “kek projek “ yang semakin kecil.

Menurutnya, Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identiti dan krisis nilai di kalangan ahlinya.

Beliau berkata, perjuangan Umno hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi.

Mereka yang memimpin Umno, kata beliau semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisme perjuangan seperti mereka yang terdahulu.

“Masuk Umno kerana projek dan ‘mengalibabakan’ khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Tegasnya, PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam agenda perjuangan politiknya di Malaysia.

Penegasan itu, katanya telah dikukuhkan lagi untuk kali terakhir di Retreat Pimpinan Tertinggi PAS di Port Dickson pada 9 hingga Julai lalu.

PAS, jelasnya merasa selesa untuk melaksanakan agenda perjuangannya bersama dengan Pakatan Rakyat di negara ini, dan sudah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang walaupun bukan PAS yang mengetuai kedua-dua negeri tersebut.

Katanya lagi, program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun.

“Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar,” katanya.

PAS, katanya hendak menasihatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa.

“Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai.

“Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunei, 217 hektar tanah KTM difaraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?” ujarnya.

Justeru, tambahnya PAS menasihatkan mereka itu agar berhentilah daripada menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama-sama dengan PAS.

“Serulah rakyat untuk bersama dengan PAS, bukannya ajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus,” ujarnya. -Hrkh

Read more ...