Wednesday, August 11, 2010

'Roadshow' Umno Selangor tidak dapat sambutan



SHAH ALAM , 12 Ogos : Fasa pertama “roadshow” UMNO Selangor dengan tema “Selamatkan Selangor Darul Ehsan” didakwa gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat jelata di negeri ini.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, beliau yakin rakyat Selangor sudah serik dengan tindak-tanduk dan gelagat kepimpinan UMNO yang ternyata sangat mengecewakan mereka sehingga memungkinkan rakyat bangkit menolak UMNO/Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun 2008 yang lalu.

Menurutnya, ini ternyata UMNO sudah hilang sokongan rakyat apabila “roadshow” mereka sekadar menarik minat saki-baki ahli tegar UMNO serta kanak-kanak yang diupah mengibarkan bendera dan sepanduk.

“Sejak kehilangan kuasa di Selangor, UMNO sudah tidak mampu lagi menarik minat rakyat untuk keluar beramai-ramai meraikan program mereka dan ini terbukti dengan kehadiran kecil rakyat sepanjang “roadshow” mereka itu.

“PAS Selangor mendapati rakyat di negeri ini kini berpuas-hati dan selesa dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang jujur mengurus dan mentadbir negeri ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Roslan berkata, program kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya menawan hati rakyat.

Katanya, ini termasuklah bekas penyokong UMNO khususnya apabila melihat juga merasai sendiri betapa nasib dan kebajikan mereka selama 52 tahun lalu terabai di bawah UMNO/ BN kini dibela dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

“Di Selangor, UMNO kelihatan kehilangan sokongan rakan mereka, MCA dan MIC yang langsung tidak terlibat dalam “roadshow” ini sekali gus membuktikan betapa BN Selangor sudah tidak mampu bangkit lagi setelah ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, PAS Selangor mengajak rakyat di negeri ini agar terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada PR Selangor dan bersama menyelamatkan negeri ini dari jatuh kembali ke tangan pimpinan pincang yang selama 52 tahun telah mencabul amanah rakyat Selangor.SH

Read more ...

Papan tanda lambang PAS wujud


BATU 9 , 12 Ogos : PAS cawangan Batu 9 Kampung Tengah mengadakan gotong-royong memasang papan tanda PAS Cawangan di tepi jalan raya Klang-Sabak Bernam berhampiran Lorong Menanti 1, Batu 9, Kampung Sungai Tengi Kiri.

Setiausahanya, Mohd Faizal Mohd Barja berkata, tujuan menaikkan semula papan tanda PAS Cawangan yang baru tersebut adalah untuk menunjukkan lambang kewujudan PAS cawangan di kampung tersebut.

Menurutnya, selain itu ia boleh dilihat orang ramai yang melalui jalan tersebut terutamanya yang akan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya.

“Papan tanda tersebut dipasang secara gotong-royong oleh ahli PAS cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

“Sebelum ini PAS Cawangan pernah memasang papan tanda berhampiran tempat sama, bagaimanapun terpaksa dibuka pada tahun 2005 kerana terlibat dengan kerja pembinaan jalan raya ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, PAS cawangan ini ditubuhkan pada tahun 1999 dan diluluskan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2000 dengan keahlian PAS Cawangan ketika itu berjumlah seramai 25 orang sahaja.

“Kini, setelah 10 tahun, ia semakin kukuh dan mendapat sokongan daripada penduduk Kampong Sungai Tengi Kiri dengan keahlian seramai hampir 100 orang, yang terdiri dari kalangan pelbagai golongan termasuk pemuda dan Muslimat.

“Cawangan ini merangkumi tiga lorong iaitu Lorong Menanti 1, Lorong Menanti 2 dan Lorong Menanti 3 selain terdapat beberapa taman perumahan yang terletak di Lorong Menanti 1 seperti Taman Masria, Taman Wawasan dan Taman Tanjong Karang,” katanya.

Mohd Faizal yang juga merangkap Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata, ahli PAS cawangan juga aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutamanya Muslimat PAS cawangan seperti kelas pengajian agama, kelas fardu ain dan pelbagai aktiviti lain.

Dalam pada itu, antara yang membantu memasang papan tanda tersebut Ketua PAS Cawangan, Mohd Sahri Jabbar, Naib Ketua PAS cawangan, Tasuki @Mukri Akat, Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan (JPC), Muhd Sobirin Omar, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan, Mohd Sofian Mohd Kalil dan Ahli PAS Cawangan, Ithnain Salleh.SH

Read more ...

Tok Guru minta rakyat jaga kebersihan


KOTA BHARU, 12 Ogos : Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat rasa kecewa dengan sikap sesetengah penduduk di negeri ini yang tidak mengamalkan kebersihan sehingga berlakunya peningkatan wabak denggi di negeri ini.

Menurutnya, budaya membuang sampah di merata-rata tempat selain tidak peka dengan kebersihan antara faktor yang menyebabkan berlakunya kewujudan air bertakung sekali gus membenarkan nyamuk membiak.


“Saya tidak berpuas hati dengan sikap orang Kelantan yang kurang menjaga kebersihan, penyakit ini berpunca dari kekotoran, ada dari kita yang membuang sampah seperti plastik di merata-rata tempat sehingga menjadi tempat takungan, apa yang penting jaga kebersihan,” katanya selepas ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, Nik Aziz turut memberi kuliah zuhur serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan mencakupi pelbagai kaum dan agama.

Semalam akhbar melaporkan kes demam denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan ketara apabila sebanyak 1,399 kes direkodkan sepanjang enam bulan lalu berbanding 807 kes tempoh yang sama tahun lalu, meningkat sebanyak 592 kes atau 73.4 peratus.

Dalam tempoh itu, sebanyak enam kematian dicatatkan berbanding hanya satu kematian dicatatkan berbanding hanya satu kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Nik Aziz menasihatkan masyarakat agar lebih mengutamakan kebersihan selain mendengar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkenaan terutamanya jabatan kesihatan bagi mengurangkan jangkitan tersebut.

Dalam pada itu, Nik Aziz menasihatkan agar masyarakat lebih berjimat cermat menggunakan air bagi mengelakkan pembaziran berlaku.

“Contohnya semasa ambil air sembahyang, ramai di kalangan kita yang banyak membazir sedangkan untuk mengambil air sembahyang kita tidak perlu menggunakan terlampau banyak air, tradisi lama ini patut diubah,” katanya.SH

Read more ...

PAS tetap aktif politik di bulan Ramadhan


KOTA BHARU, 12 Ogos : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tidak akan mengurangkan aktiviti politik di bulan Ramadan walaupun ia kurang disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berpolitik bila-bila masa sahaja, malah politik dan agama dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.


“Politik dalam Islam ni sedaging (bercantum), geraknya Islam kerana politik dan politik pula menuruti Islam, tidak payah pakai istilah demokrasi, guna Istilah Islam,”katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan daripada beberapa pihak termasuk dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya aktiviti berparti dikurangkan bagi menghormati bulan Ramadan.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, terpulang kepada pemimpin PAS untuk menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan aktiviti tersebut di bulan Ramadan ini.

“Dalam ceramah saya jarang sebut soal kepartian kecuali ia majlis parti, saya banyak sebut mengenai Islam seperti ekonomi Islam dan akidah, tetapi jika hendak berpolitik tidak salah kerana PAS parti berdaftar,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mengatakan kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, Nik Abdul Aziz mempersoalkan adakah kerjasama yang dibuat antara UMNO dan MCA sebelum ini benar-benar ikhlas.

“Saya nak tanya, adakah UMNO dan MCA itu ikhlas, bila berbaik dengan UMNO, parti itu telan PAS, usahkan nak buat benda-benda lain,”katanya.SH

Read more ...

Usaha protes berjaya tapi sementara

22-1.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 12 Ogos : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar bersyukur kerajaan menarik balik senarai hitam untuk kenderaan yang dikenakan saman ekor. Bagaimanapun , Dewan Pemuda kesal kerana penarikan ini hanya untuk tempoh sementara sahaja.

Ketuanya Khairulzami Muhammad berkata, usaha Dewan Pemuda PAS Pusat mengumpul tandatangan protes terhadap saman ekor memberi kesan kepada kerajaan

" Penduduk di Parit Buntar menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap usaha ini kerana membebankan mereka sebagai pengguna kenderaan.

“ Orang ramai berpusu-pusu datang menurunkan tandatangan pada kain rentang yang disediakan sebagai tanda memprotes saman ekor" katanya

Khairulzami berkata, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong enam tuntutan Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dikemukakan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan).

Read more ...

Ucapan salam Ramadhan dari Ahli Parlimen Parit Buntar



PARIT BUNTAR, 11 Ogos : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam di kawasan Parit Buntar dan di seluruh negara.

"Sempena menyambut bulan yang penuh barakah ini marilah sama-sama kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah dengan berpuasa, bertarawih, bertadarus, berqiyamullail, bersedekah dan banyak lagi amalan-amalan yang boleh memperoleh pahala yang besar di bulan Ramadhan."

"Ambillah ruang dan peluang di dalam bulan ini untuk beriftar bersama keluarga, rapatkan hubungan kekeluargaan yang selama ini mungkin kita kurang memberi perhatian kepada anak-anak, didiklah mereka, ajaklah mereka bersama untuk bertarawih dan bertadarus secara berjemaah dan inilah masanya untuk kita memberi perhatian terhadap mereka tentang betapa hebatnya pahala di bulan Ramadhan."

"Saya juga menyeru kepada masyarakat di Parit Buntar supaya tidak melakukan pembaziran semasa membeli juadah berbuka puasa. Sememangnya kita mempunyai rasa keinginan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa, akan tetapi berpada-padalah dalam urusan membeli, kerana selalunya ia akan berlaku pembaziran."

"Disamping kita berpuasa, sudah pasti kita akan bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri. Oleh itu banyaklah persiapan seperti kuih muih, baju raya dan banyak lagi menjadi pilihan. Namun begitu, janganlah kita lupa pada mereka yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Mereka juga ingin berkongsi meraikan Aidilfitri. Justeru saya juga menyeru perbanyakkanlah sedekah di bulan ini, nescaya Allah akan melipatgandakan rezeki yang kita perolehi pada masa hadapan."

Read more ...

Letak pegawai SPRM di pejabat KKSB



















SHAH ALAM, 11 Ogos:
Kerajaan Selangor menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan pegawai di pejabat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Tawaran ini dibuat selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap konsep pentadbiran yang telus serta bertujuan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap operasi KSSB berikutan kritikan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat milik penuh Kerajaan Selangor ini.

Demikian dinyatakan dalam satu kenyataan yang di keluarkan oleh Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.


Kakitangan SPRM ini boleh memantau operasi dan pentadbiran KSSB secara lebih dekat bagi memastikan salah guna kuasa atau rasuah tidak berlaku, kata kenyataan itu.


Bagi melengkapkan lagi prinsip pentadbiran telus dan terbuka, katanya, KSSB akan mengiklankan jawatan kosong di media bagi mengisi dua jawatan Pengarah yang bebas dari pengaruh politik tetapi berpengalaman dalam industri perlombongan pasir.


Mereka ini akan menjadi wakil Kerajaan Negeri untuk bersama-sama mentadbir dan menguruskan KSSB dalam menjalankan perlombongan pasir.


Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan KSSB melantik juruaudit bebas bagi mengaudit setiap sen yang dibelanjakan supaya makumat kewangan KSSB dapat diketahui orang awam.


"Kerajaan Selangor percaya masih belum ada syarikat yang menguruskan pasir di negeri-negeri lain yang telah mengambil langkah-langkah seperti yang dilakukan KSSB. Selangor yakin KSSB menjadi syarikat pasir pertama yang mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka," katanya.


Sehubungan, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencabar negeri-negeri di bawah BN supaya mengambil langkah yang sama terutama di Johor yang mana operasi perlombongan pasir amat diragui tetapi tidak diberi liputan oleh media arus perdana.


Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengumumkan perlantikan Wan Ab. Halim Wan Ismail, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KSSB berkuatkuasa 26 Julai lalu.


Wan Ab. Halim, 62, berkelulusan bidang Kejuruteraan Perlombongan dari London University, United Kingdom mempunyai pengalaman luas bidang perlombongan sumber galian termasuk pasir, batuan, timah, besi dan emas.

Read more ...

Tarik balik senarai hitam hanya sementara
































PUTRAJAYA, 11 Ogos:
Kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.


Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya dari PAS sendiri.


Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar
(gambar) bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan bergerak ke seluruh negara bagi menentangnya.

Pada 5 Ogos lepas, beliau bersama rakan-rakannya ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.


Namun, hanya setiausaha akhbar menteri berkenaan bertemu dengan mereka.


Jawatankuasa berkenaan juga telah mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.


"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.


"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.


"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," kata Mahfuz pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini 2 Ogos lepas.

Read more ...

Mahasiswa dibonsai Umno



































KUALA LUMPUR, 11 Ogos:
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai larangan mahasiswa berpolitik membuktikan bagaimana Umno BN secara terancang mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Muhyiddin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?” soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya, AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno BN.

Sehubungan itu, ujarnya AMK mencabar Umno BN melalui Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA dan IPTS S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus.

Demikian juga, katanya dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad Vogue Puteri Umno Malaysia.

Beliau menambah, AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, Khairy Jamaluddin dan Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan 'akur dan taat kepada kepimpinan parti'.

“Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut '66 Takut '98, "Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!,” ujarnya.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook pula mengutuk keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

“DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet pada hari ini yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik,” ujarnya.

Ini, katanya merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

“Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Tambahnya, keputusan Kabinet pada hari ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan.

Keputusan itu juga, ujarnya membuktikan bahawa sayap Pemuda Barisan Nasional khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

“Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri,” katanya lagi

Tegasnya, DAPSY akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

DAPSY, ujarnya yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan.

“Keputusan Kabinet hari ini akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda pada pilihanraya umum yang ke-13 kelak,” katanya lagi.

Read more ...

Tuesday, August 10, 2010

Hamidah cabar Radzi Zainon berdebat


BATU GAJAH , 11 Ogos : Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu Gajah mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman membelakangkan undang-undang dengan tidak membuat permohonan permit daripada polis.

Ketuanya, Ammar Rosdi berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku dan mendakwa Hamidah mempunyai motif politik apabila jamuan doa selamat dan tahlil bertukar menjadi ceramah.

Menurutnya, lebih mengecewakan pembesar suara digunakan sehingga mengganggu ceramah Pas bersebelahan.

“Saya sedih sikap beliau yang tidak profesional. Kami lihat ada pihak berniat jahat cuba mengganggu program kami malam itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Ammar memuji polis kerana profesional menjaga keamanan dan kelancaran majlis malam itu walaupun ada gangguan.

“Ironinya selepas ditegur Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli meminta polis mengambil tindakan sebelum sesuatu perkara buruk berlaku barulah pembesar suara itu dimatikan.

“UMNO kini kehilangan sokongan dan mandat rakyat sehingga terpaksa melakukan pencabulan walau menyalahi undang-undang. Kami menyeru rakyat negeri ini bangkit menentang ketidakadilan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas Hamidah yang menyatakan pihaknya telah merancang lebih awal lagi kenduri tahlil dan doa selamat itu, malah diadakan di rumah Ketua Cawangan UMNO Taman Lembah Permai.

“Kita adakan kenduri tahlil dan doa selamat malah turut diadakan bacaan Yasin pada majlis itu. Kita turut menjemput penceramah untuk memberikan ceramah berkenaan isu serta persiapan umat Islam di sini sebelum menyambut Ramadan.

“Namun begitu, sepanjang program berkenaan, kami tidak menyentuh sedikit pun mengenai politik, malah saya boleh sahaja mengambil mikrofon untuk bercakap, namun saya tidak lakukan walaupun di pihak sebelah menghentam dan mengutuk saya, tetapi ia bukan cara saya kerana niat kami pada hari itu kita mahu adakan bacaan Yasin dan kenduri tahlil,” katanya.

Hamidah berkata, beliau turut menyatakan pihaknya tidak dimaklumkan bersebelahan dengan program beliau sedangkan ia telah diatur dengan lancar sebelum ini.

“Saya sendiri tidak menjangkakan akan bertembung malah adakah saya perlu membatalkan majlis sedangkan jemputan sudah hadir pada malam itu.

“Mengapa mereka hendak mempertikaikan mengenai isu ini malah saya sendiri boleh mempertikaikan kenapa mereka boleh adakan ceramah pada masa yang sama sedangkan tidak ada banting yang naik dan petang itu barulah diberitahu ia bertembung,” katanya.

Hamidah turut mencabar bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Ir Radzi Zainon untuk berdebat secara terbuka bagi mengenai isu semasa.

“Saya cabar beliau untuk bersemuka dengan saya di atas pentas dan kita panggil penyokong kedua-dua parti akan menilai sendiri malah saya akan jawab segala tuduhan yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

Read more ...

Masjid dan surau seluruh Parit Buntar terima sumbangan

PARIT BUNTAR, 11 Ogos : PAS Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong telah mengadakan majlis sumbangan pengimarahan masjid dan surau seluruh parlimen Parit Buntar yang diadakan di Masjid Al Huda, Sungai Kota.


Pengarah Program Infa' Ramadhan Al Mubarak 1431 H, Abdul Baharin Mat Desa, semua wakil 26 masjid dan lebih 70 surau hadir untuk menerima sumbangan sempena ehya Ramadhan kali ini.


" Pada tahun lepas kita hanya menyerahkan sumbangan untuk masjid sahaja. Namun pada tahun ini, pihak kami telah mengambil keputusan untuk turut sama memberikan sumbangan kepada surau-surau di seluruh Parlimen Parit Buntar.


" Sejumlah RM 16,000.00 diperuntukkan untuk sumbangan kepada masjid dan surau dalam kawasan parlimen Parit Buntar" katanya


Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah, ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari serta Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Haji Harun Haji Hashim.


Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa di dalam tazkirahnya menyatakan bahawa masjid dan surau merupakan rumah Allah yang menjadi tempat himpunan manusia beribadah dan merupakan institusi yang menjadi tumpuan umat Islam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat.


" Pada bulan Ramadhan ini, manusia akan berlumba-lumba ke rumah Allah bagi menunaikan ibadah seperti berbuka puasa, bersolat tarawih serta bertadarus, malah berqiyamullail untuk mendapat ganjaran pahala sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT" katanya


Sumbangan untuk dana infaq Ramadhan PAS Parit Buntar ini masih dibuka kepada orang ramai.


Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat bernombor (0801-0000839-71-1) atas nama Jawatankuasa Dana JPR Parit Buntar .





Read more ...

Lagi kes saman ekor tidak betul


SUNGAI PETANI -, 11 Ogos :
Akibat tersilap rekod satu huruf, seorang pemuda di sini disenaraihitamkan dari membayar cukai jalan motosikalnya yang baru kerana mempunyai rekod saman berjumlah RM300 ketika dia berurusan di pejabat pos 3 Ogos lalu.

Hassan Hussain, 26, berkata, sejurus selepas dimaklumkan bahawa dia mempunyai rekod saman dan tidak dapat membayar cukai jalan, dia terus ke balai polis trafik di sini, untuk menyemak saman yang dikatakan itu.


Menurutnya, setelah diperiksa, saman itu direkodkan di atas kesalahan had laju melalui motosikalnya jenis Honda EX5, bernombor plat yang dimulakan dengan huruf KBK di Kilometer 49 Jalan Alor Setar- Butterworth pada 22 Ogos 2008.

“Akibat tidak berpuas hati memandangkan saya tidak pernah melalui jalan itupada tarikh berkenaan kerana pada masa itu saya menetap di Alma Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan baru sahaja berpindah ke sini pada 1 Februari 2009, saya membuat laporan polis pada hari itu.

“Sehinggalah hari ini (9 Ogos), saya pergi semula ke balai polis trafik untuk mendapatkan bukti bergambar saman ekor terhadap motosikal saya pada tarikh berkenaan dengan membeli gambar itu dari simpanan trafik dengan harga RM10,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Sejati Indah, kelmarin.

Hassan berkata, dia terkejut kerana motosikal yang dirakamkan dalam gambar terbabit bukan miliknya berdasarkan nombor plat motosikal itu yang dimulakan dengan huruf KBV yang ternyata bukan nombor plat motosikalnya.

Menurutnya, saman RM300 itu kemudiannya dibatalkan secara automatik setelah dia mengesahkan kesalahan pihak trafik merekodkan saman motosikal lain ke atas motosikalnya dengan hanya tersilap merekodkan nombor plat yang sepatutnya KBV dan bukannya KBK.

“Akibat salah satu huruf dari V menjadi K, saya menjadi mangsa keadaan dan nasib baik saya tidak terus membayar saman RM300 itu pada 3 Ogos lalu di atas kesalahan yang dilakukan orang lain.

“Kini walaupun saya dapat membayar cukai jalan namun, saya mahu dedahkannya kepada orang awam sebagai pengajaran dan mahu pihak trafik lebih berhati-hati ketika merekodkan saman agar tidak lagi melakukan kesilapan seperti yang terjadi kepada saya,” katanya.

Hassan berkata, dia kini bimbang akan terjadi perkara sama pada masa depan memandangkan motosikal itu dicuri pada 18 Oktober 2008 lalu.

Read more ...

Had operasi pusat hiburan dan rumah urut


ALOR SETAR, 11 Ogos : Kerajaan Negeri meminta pusat hiburan dan premis rumah urut ‘unisex’ mengehadkan waktu operasi mereka sepanjang bulan Ramadan, sebagai menghormati bulan mulia ini, selaras dengan kesepakatan masyarakat majmuk di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya tidak berhasrat menyekat aktiviti hiburan selama sebulan ini, memandangkan pelanggan premis berkenaan lebih banyak membabitkan bukan Islam.

“Kita tak boleh sekat mereka beroperasi, kenalah hormati rakan bangsa lain. Cuma kita boleh bagi pandangan dan nasihat, minta kurangkan operasi. Sepanjang Ramadan, mungkin pelanggan Islam tidak jejak ke sana, sekaligus mengurangkan aktiviti hiburan. Berbanding bukan Islam, hiburan tidak terhad pada bulan-bulan tertentu,” katanya.

Ir Phahrolrazi turut mengingatkan pemilik premis hiburan supaya mengikut peraturan sedia ada kerana penguatkuasaan undang-undang tetap berjalan seperti biasa, walaupun dalam bulan Ramadan.

“Kita faham keperluan bangsa lain, namun peraturan mestilah ikut. Bagi orang Islam, inilah masa terbaik untuk menjauhi aktiviti hiburan dengan menyertai program-program keagamaan di masjid sepanjang bulan ini,” katanya.

Ditanya mengenai premis judi baru, Ir Phahrolrazi berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran di Kedah, tiada premis judi baru diluluskan.

“Daripada maklum balas pemimpin masyarakat Cina yang menyokong PR, premis judi sedia ada mencukupi. Malah mereka juga tidak mahu aktiviti perjudian berleluasa hingga tidak terkawal di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada input itu, Kerajaan Negeri memutuskan tidak lagi membenarkan premis judi baru dibuka di Kedah.

“Kerajaan negeri memang berhasrat untuk mengurang dan menghapuskan perjudian dengan tidak meluluskan premis judi baru. Lagi pun tiada keperluan ke arah itu,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, pelbagai program Ihya’ Ramadan diatur oleh Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan bulan Ramadan, antaranya penganjuran ceramah dan aktiviti oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

“Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah telah berkenan merasmikan Ihya’ Ramadan peringkat negeri Kedah, malam semalam, di Masjid Kampung Tebengau. Ini adalah permulaan sambutan Ramadan yang akan digiatkan sepanjang bulan,” katanya.SH

Read more ...

Pegangan agama longgar punca maksiat meningkat


KOTA BHARU, 11 Ogos : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kelonggaran pegangan agama dalam kalangan masyarakat adalah punca utama berlakunya peningkatan gejala maksiat di negara ini.

Beliau berkata, masalah sosial itu tidak hanya melibatkan pembuangan bayi sebaliknya ia mencakupi masalah penagihan dan pengedaran dadah, pengasingan agama daripada politik, pecah rumah serta pelbagai lagi.


“Semua ini dipanggil maksiat. Maksiat ini adalah hasil daripada tidak ada takwa manusia kepada Allah SWT. Kalau manusia sedar malaikat ada di kiri dan kanan... dia tak berzina, mesti tidak buang anak.

“Punca semua ini berlaku adalah disebabkan manusia sekarang longgar (agama) kerana pemimpin kita guna pemerintahan Malaysia ini dengan nasionalis. Buang agama dan politik. Kalau cuba Perdana Menteri sendiri anggap diri dia sebagai pendakwah utama dalam Malaysia tidak akan berlaku benda ini,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyerahan memorandum sokongan tuntutan royalti minyak oleh Persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 dekat sini, semalam.

Sebanyak 450 tandatangan sokongan kepada tindakan kerajaan negeri menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat berjaya dikumpulkan oleh KPKM daripada pelajar Kelantan yang menetap di Kaherah tidak termasuk keseluruhan pelajar yang menetap di wilayah lain.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembuangan bayi di tiga negeri yang berlaku kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemui dalam keadaan mayatnya ‘dikafankan’ dalam longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Bercham–Tanjung Rambutan, Perak.

Mayat bayi lelaki malang itu ditemui berbalut dengan kain lampin putih, kemudian dibalut pula dengan tudung dan kain batik, dibungkus dengan plastik serta dibuang ke dalam tong sampah sebelum dibawa ke tapak berkenaan.

Mayat bayi itu ditemui oleh pemungut barangan lusuh di sini kira-kira pada jam 1.50 petang.

Dalam kejadian berasingan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 48 jam ditemui di hadapan sebuah rumah wanita warga emas berumur 70 tahun di Jabi, Segamat, Johor.

Warga emas tersebut menyatakan dia hanya menyedari kewujudan bayi itu pada jam 11 malam apabila terdengar suara tangisan.

Bayi yang baru berusia tiga hari itu dilaporkan ditinggalkan dalam keadaan masih lagi mempunyai tali pusat.

Sementara itu dalam kejadian lain, satu janin bayi lelaki cedera teruk di kepala yang dipercayai dihumban ke dalam tong sampah dari tingkat atas sebuah pangsapuri di sini, semalam.

Janin bayi lelaki yang cukup sifat itu dijumpai seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ingin membuang sampah di tong yang terletak berhampiran pasar borong di Lintang Maccalum 1 kira-kira 12.10 tengah hari, semalam.

Ketika ditemui janin itu tidak berbalut dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan dipenuhi sampah sarap selain sudah dihurung lalat.

Mengulas mengenai cara menangani masalah itu, Nik Abdul Aziz berkata, peringatan dosa adalah cara terbaik bagi menangani masalah maksiat dan gejala sosial yang dilihat semakin serius pada masa kini.

“Untuk menangani masalah ini... saya sebut berdosa. Itu (cara) menangani yang paling baik sekali. Beri sedar kepada rakyat campur gaul bebas ini berdosa, tapi berdosa ini tidak ada dalam pengajian sekular hanya dalam pengajian Islam.

“Jadi bila kita sebut Islam tidak ada dalam pengajian sekular... jadi masalah. Sebab tu saya minta semua rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Besar balik semula kepada Islam. Bukan Islam pilih-pilih sebagaimana yang dikehendaki oleh golongan sekular. Ini karut,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu ingat, setiap jenayah yang berlaku itu mampu ditangani dengan Islam.

“Sebutlah jenayah apa sekali pun semua Arab Quraisy buat. Tetapi mereka berhenti kerana Islam. Terlalu banyak ayat Quran yang menerangkan bahawa manusia ini ada malaikat kiri dan kana siang dan malam menjaga. Atas dasar ini jenayah di kalangan orang Arab turun. Bukan kerana senjata nabi tetapi kerana takwa kepada Allah,” katanya.SH

Read more ...

Gerakan bela rakyat



GOMBAK , 11 Ogos : Gerakan Bela Rakyat (Bela) menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula polisi insurans yang dikenakan kepada pemandu kenderaan bermotor berusia 20 tahun ke atas kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Gerakan Bela Rakyat, Salahuddin Ayub berkata, golongan berkenaan pasti mempunyai masalah dari segi kewangan kerana mereka boleh dilabelkan sebagai golongan sederhana dan memerlukan pertolongan.


“Kenaikan harga sebanyak 300 peratus ini akan memberi tekanan kepada pemandu-pemandu yang kurang berkemampuan. Lebih dirisaukan, kumpulan-kumpulan yang merungut mengenai dasar polisi ini lebih banyak daripada mangsa saman ekor.

“Perkara ini amat membebankan rakyat, ditambah pula proses permohonan insurans yang menyusahkan, rentetan daripada keadaan ini akan memungkinkan berlakunya pemalsuan insurans dan gejala rasuah,” katanya dalam sidang media di Restoran Taqhwa, Gombak, semalam.

Menurutnya, beliau juga akan mengadakan persidangan meja bulat bagi mendapatkan pandangan daripada pihak sepatutnya dalam tempoh dua minggu lagi. Antara wakil yang akan dipanggil untuk menyertai persidangan ini adalah wakil Persatuan Insurans Am Malaysia, wakil Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor dan Malaysia Insurans Institut.

Salahuddin berkata, tujuan utama persidangan itu adalah bagi membentuk satu kertas kerja dan akan diserahkan kepada kerajaan, membolehkan pihak kerajaan menetapkan satu polisi yang jelas untuk mengatasi masalah ini.

“Kerajaan perlu mengambil berat dan menyusun dasar serta mekanisme terbaik bagi membela nasib golongan sederhana.

“Perlu diingatkan, rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan bayaran mahal dan disebabkan keadaan ini mereka cuba mencari pilihan yang tidak relevan dengan sepatutnya,” katanya.

Read more ...