Tuesday, August 10, 2010

Had operasi pusat hiburan dan rumah urut


ALOR SETAR, 11 Ogos : Kerajaan Negeri meminta pusat hiburan dan premis rumah urut ‘unisex’ mengehadkan waktu operasi mereka sepanjang bulan Ramadan, sebagai menghormati bulan mulia ini, selaras dengan kesepakatan masyarakat majmuk di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya tidak berhasrat menyekat aktiviti hiburan selama sebulan ini, memandangkan pelanggan premis berkenaan lebih banyak membabitkan bukan Islam.

“Kita tak boleh sekat mereka beroperasi, kenalah hormati rakan bangsa lain. Cuma kita boleh bagi pandangan dan nasihat, minta kurangkan operasi. Sepanjang Ramadan, mungkin pelanggan Islam tidak jejak ke sana, sekaligus mengurangkan aktiviti hiburan. Berbanding bukan Islam, hiburan tidak terhad pada bulan-bulan tertentu,” katanya.

Ir Phahrolrazi turut mengingatkan pemilik premis hiburan supaya mengikut peraturan sedia ada kerana penguatkuasaan undang-undang tetap berjalan seperti biasa, walaupun dalam bulan Ramadan.

“Kita faham keperluan bangsa lain, namun peraturan mestilah ikut. Bagi orang Islam, inilah masa terbaik untuk menjauhi aktiviti hiburan dengan menyertai program-program keagamaan di masjid sepanjang bulan ini,” katanya.

Ditanya mengenai premis judi baru, Ir Phahrolrazi berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran di Kedah, tiada premis judi baru diluluskan.

“Daripada maklum balas pemimpin masyarakat Cina yang menyokong PR, premis judi sedia ada mencukupi. Malah mereka juga tidak mahu aktiviti perjudian berleluasa hingga tidak terkawal di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada input itu, Kerajaan Negeri memutuskan tidak lagi membenarkan premis judi baru dibuka di Kedah.

“Kerajaan negeri memang berhasrat untuk mengurang dan menghapuskan perjudian dengan tidak meluluskan premis judi baru. Lagi pun tiada keperluan ke arah itu,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, pelbagai program Ihya’ Ramadan diatur oleh Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan bulan Ramadan, antaranya penganjuran ceramah dan aktiviti oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

“Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah telah berkenan merasmikan Ihya’ Ramadan peringkat negeri Kedah, malam semalam, di Masjid Kampung Tebengau. Ini adalah permulaan sambutan Ramadan yang akan digiatkan sepanjang bulan,” katanya.SH

No comments: