Wednesday, March 24, 2010

Kuasa rakyat selesai pelbagai masalah









SUNGAI SIPUT (U) , 24 Mac :
Biarpun tampuk pentadbiran negeri sudah tidak dikuasai Pakatan Pembangkang, Parti Sosialis Malaysia (PSM) percaya kuasa rakyat mampu mengatasi segala-galanya termasuklah menyelesaikan masalah yang timbul di peringkat akar umbi.

Bagi membincangkan segala permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik, satu mesyuarat rakan seperjuangan diadakan bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), di sini, pada 21 Mac lalu.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, berkata, sepanjang dua tahun menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, pelbagai masalah penduduk berjaya diselesaikan.

Menurutnya, walaupun pihaknya tidak mempunyai peruntukkan untuk membantu penduduk tetapi kuasa rakyat mampu menentukan segala-galanya.

“Dalam masa dua tahun, kita berjaya mengendalikan banyak kes yang diselesaikan bergantung kepada kuasa rakyat.

“Contohnya isu banjir di Sungai Pelus iaitu kempen tandatangan telah dijalankan menyebabkan sungai berkenaan dikorek serta masalah banjir berkurangan dan begitu juga isu penduduk KTM berjaya diselesaikan dengan menggunakan kuasa rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, kuasa rakyat harus diperkasakan kerana pihaknya tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk terus menghulurkan bantuan.

“Kita pakai kuasa rakyat untuk menyelesaikan masalah kerana sebagai ahli Parlimen saya langsung tidak ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah mereka dan apa yang mampu dilakukan adalah memberi analisa yang benar kepada pihak berkaitan untuk memperbetulkannya.

“Beberapa isu lagi masih diperjuangkan, terbaru mengenai masalah peniaga ayam ang terpaksa berpindah ke gerai lain,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat jaringan rakan seperjuangan, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat berkenaan dari semasa ke semasa untuk membincangkan pelbagai isu.

“Dalam mesyuarat ini kita jemput semua wakil parti, contohnya dari PAS, Parti Keadilan, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan DAP serta membincangkan pelbagai masalah berbangkit,” katanya.
SH

No comments: