Wednesday, March 24, 2010

Laman PAS Pahang kena diserang









TEMERLOH , 24 Mac :
PAS Pahang mendakwa laman web rasminya pahangkini.net kelolaan Jabatan Penerangan PAS negeri diceroboh lagi malam semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang, Hashim Abdullah berkata, akibat pencerobohan itu seluruh operasi dikelolakan jabatan itu terpaksa dihentikan sementara.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan pihak tidak berpuas hati dengan PAS Pahang khususnya terhadap kesungguhan laman web itu mendedahkan pelbagai isu.

“Laman web ini sering kali dedahkan dan memaparkan pelbagai isu yang berani, telus dan bebas hinggakan ada pihak kurang senang dan menceroboh serta rosakkan sistem kendaliannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Hashim berkata, seluruh operasi PAS Pahang tergendala akibat kejadian itu dan pihaknya menyiasat pencerobohan itu untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, kejadian kali kedua terhadap laman pahangkini.net yang memfokuskan isu di negeri ini.

“Laman ini menjadi tumpuan dan semakin popular walaupun belum sebulan beroperasi.

“Pada dua minggu lalu, laman ini cuba diceroboh menyebabkan operasinya terganggu dua hari. Penceroboh gagal hilangkan datanya tetapi kejadian malam tadi memusnahkan segala-galanya,” katanya.

Katanya, PAS percaya laman itu diganggu kerana kandungannya sejak beroperasi berjaya menarik ratusan pengunjung dalam masa singkat.

“PAS juga percaya pihak tertentu tidak senang dengan paparan yang berani, telus, bebas dan berintegriti dalam laman web ini.

“Kakitangan pahangkini.net tidak berputus asa dengan kejadian ini dan mereka segera bertindak bangunkan semula laman tersebut.

“Kami berharap pelayar kami akan dapat mengakses semula laman ini secepat mungkin. Kami juga sedang baiki keadaan termasuk meningkatkan sistem keselamatan,” katanya.SH

No comments: