Wednesday, March 3, 2010

MB Selangor tidak perlu bayar



PUTRAJAYA , 4 Mac : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia (BIMB) kerana Mahkamah Rayuan di sini, semalam, mengetepikan penghakiman terus yang diperoleh bank itu terhadap beliau kerana gagal melunaskan pinjaman Islam bagi membeli saham.

Hakim-hakim iaitu Datuk Zainun Ali, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad sebulat suara membenarkan rayuan dengan kos Abdul Khalid.

Kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi kerana hakim memutuskan supaya isu-isu pada kes itu mesti dikemukakan pada satu perbicaraan penuh.

Semasa mengetepikan penghakiman terus itu, Zainun berkata, mahkamah berpendapat mengikut prinsip perbankan Islam, pendapat daripada pakar undang-undang Islam mengenai peraturan Islam mengenai kesahan transaksi, adalah diperlukan.

Terdapat dua saman difailkan berhubung kes itu, satu difailkan Abdul Khalid terhadap bank dan yang kedua saman balas bank terhadap Abdul Khalid.

Pada 21 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dalam saman yang dikemukakan BIMB terhadap Abdul Khalid, membenarkan permohonan bank untuk mengemukakan penghakiman terus terhadap Abdul Khalid, mengarahkannya membayar RM66.67 juta kepada BIMB.

Satu penghakiman terus adalah satu keputusan akhir seseorang hakim yang menyelesaikan satu tuntutan mahkamah untuk memihak kepada salah satu pihak berkenaan. Satu usul untuk penghakiman terus dibuat setelah penemuan siap tetapi sebelum kes itu dibawa ke perbicaraan penuh.

Seorang daripada peguam Abdul Khalid, M Thomas Philip memberitahu media bahawa kedua-dua saman itu akan dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi, 15 Mac depan.

Dalam samannya terhadap BIMB, Abdul Khalid menuntut ganti rugi dan pengisytiharan, dengan mendakwa terdapat penjualan yang salah saham dalam Guthrie di bawah pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA).

Abdul Khalid, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie Berhad, mendakwa bahawa wujud kontrak kolateral antara beliau dan BIMB bersampingan dengan perjanjian kemudahan Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.

Beliau mahu satu perisytiharan bahawa kemudahan BBA itu secara berasingan dan tanpa kontrak kolateral itu adalah batal. - Bernama

No comments: