Sunday, March 21, 2010

PAS terus desak 4 MP lompat kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR, 21 Mac : PAS terus mendesak agar ahli-ahli Parlimen yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mengosongkan kerusi masing-masing jika masih beranggapan parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) telah “hilang kepercayaan rakyat” tanpa hanya bertindak sebagai “pelacur politik”.

Malah PAS juga mendakwa tindakan empat bekas wakil rakyat PKR iaitu dari Bayan Baru, Nibong Tebal, Kulim-Bandar Baharu dan Bagan Serai, yang kini bertindak anggota Bebas juga sudah mencabuli amanah rakyat.

Pendirian sedemikian juga dikemukakan oleh seorang lagi rakan anggota PR, DAP baru-baru ini.

Sehubungan itu, Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar menegaskan apabila membicarakan soal adab dan kesopanan “kita tidak boleh hanya melihat tingkah laku ahli Parlimen ketika berbahas sedangkan tindakkan mereka di luar Dewan Rakyat juga merupakan perkara penting untuk dinilai.

“Contohnya soal hubungan dengan rakyat, soal amanah dari mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat termasuk melompat parti, satu perbuatan bukan sekadar tidak sopan tetapi mencabuli amanah rakyat.

“Tindakkan itu juga telah mencemar nama baik Parlimen,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Dengan merujuk kepada titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan sidang Parlimen Isnin lalu, Mahfuz menambah Parlimen tidak boleh mengizinkan ahli-ahli Parlimen yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.

“Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong dalam titah perasmian telah mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan.

Baginda kecewa sikap sesetengah wakil rakyat yang tidak dapat menjadi contoh yang baik semasa berbahas dalam sidang Parlimen.

“Saya tak pasti apa dan siapa yang dimaksudkan,” kata wakil rakyat Pokok Sena ini.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama PR, bukannya atas nama diri mereka.

Katanya, mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan kerusi untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.

“Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat.

“Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat,” katanya.

The malaysiainsider

No comments: