Tuesday, March 16, 2010

Penangguhan GST kejayaan kempen Pakatan


KUALA LUMPUR , 16 Mac : Pakatan Rakyat (PR) mengakui keberkesanan kempen bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilancar mereka sehingga menyebabkan Kementerian Kewangan menangguhkan Pembentangan Rang Undang-Undang itu untuk bacaan kedua dan ketiga yang dijadualkan pada sesi Dewan Rakyat bermula semalam ditangguhkan.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR membantah sekeras-kerasnya pendekatan ekonomi yang tidak jelas seperti GST.

“Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) yakin GST satu-satunya cara menyelesaikan masalah defisit negara tetapi kini mereka mengaku tersilap langkah kerana tidak mengambil kira pandangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Ahli Parlimen PR, di sini, semalam.

Menurutnya, keputusan menangguhkan perbahasan tersebut akan menimbulkan beberapa masalah baru kepada sektor swasta kerana sejak lima tahun lalu, kerajaan memberi mesej yang berbeza mengenai GST.

“Setiap kali kerajaan mengumumkan keputusan laksanakannya, banyak syarikat terpaksa berbelanja buat persiapan,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata, PR berpendapat, BN tidak mempunyai komitmen menghantar mesej jelas kepada rakyat, pasaran dan komuniti perniagaan.

“PR minta BN hentikan pendekatan yang tiada kepastian; sama ada GST tidak dilaksanakan sama sekali atau sediakan perancangan jelas mengenai pelan GST agar memberi masa kepada rakyat untuk bersedia,” katanya.SH

No comments: