Tuesday, March 16, 2010

Tuduhan pemuda Umno tidak logik

SEREMBAN , 16 Mac : Dakwaan Exco Pemuda UMNO, Mohd Hishammuddin Yahaya, berhubung Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan imbuhan dan jawatan kepada beberapa ahli jawatankuasa (AJK) pergerakan berkenaan adalah tidak tepat.

Ketua Penerangan PKR Negeri, Ibrahim Yusof berkata, tindakan itu amat bertentangan dengan prinsip parti malah ia tidak logik.

“PKR tidak mempunyai banyak wang untuk memancing AJK Pemuda UMNO dan kami tidak berkuasa menawarkan jawatan kepada mana-mana individu.

“Memang ada kegiatan menambah ahli. Kami menawarkan konsep perjuangan parti kepada semua rakyat negara ini, tidak kepada AJK Pemuda UMNO sahaja,” jelasnya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan dibuat Mohd Hishammuddin tentang kegiatan tawar-menawar oleh PKR bagi menarik beberapa AJK Pemuda UMNO menyertai parti itu.

Menurut Mohd Hishammuddin, kegiatan itu bertumpu di kawasan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi tipis pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Ibrahim, dakwaan itu dibuat Mohd Hishammuddin mungkin kerana bimbang ramai ahli UMNO khususnya di kawasan bandar akan menyertai PKR.

“Kebimbangan itu ada asasnya kerana ramai ahli PKR berasal dari UMNO. Malah, ada juga bekas ahli UMNO yang masuk PAS.

“Mereka masuk PKR dan PAS secara sukarela demi perjuangan ke arah kesejahteraan rakyat, kemajuan negara dan demokrasi. Bukan disebabkan tawaran wang atau jawatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKR Negeri tidak gentar dengan pelantikan Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri.SH

No comments: