Wednesday, March 10, 2010

Reaksi pengundi Bagan Serai terhadap Mohsin










BAGAN SERAI , 10 Mac :
Tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzly Samsuri meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas mendapat pelbagai reaksi pelbagai masyarakat yang juga tulang belakang kepada kemenangan beliau di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu.

Sepatutnya beliau perlu sedar siapa yang telah mengangkatnya menjadi wakil rakyat. Beliau ini boleh dilabel sebagai mengkhianati amanah rakyat. Sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Parlimen Bagan Serai ini, seingat saya hanya sekali sahaja dia turun ke kawasan, itu pun hanya dua tiga kampung. selepas itu, hilang entah ke mana. Sikap tidak prihatin beliau juga telah banyak mendatangkan kemarahan dan penyesalan penduduk sekitar yang mengundinya. Selain tidak pernah turun padang, Mohsin juga adalah antara Ahli Parlimen yang tidak bekerja untuk rakyat, bahkan tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya.” - Masri Masran, 58.

Saya mengundi disebabkan oleh perjuangan parti bukan kerana Mohsin. Beliau sepatutnya sedar dan bekerja untuk rakyat, tetapi sebaliknya mendatangkan kemarahan kepada rakyat dengan mencemarkan maruah dirinya sendiri. Kita tidak sepatutnya menyokong lagi kepimpinan beliau yang tidak pernah prihatin akan masalah penduduk terutama masyarakat di Bagan Serai. Jika beliau masih mempunyai maruah dan memikirkan hati rakyat, beliau sepatutnya meletakkan segera jawatannya sebagai Ahli Parlimen.”
- Abdullah Arsyad, 74.

Saya terkilan dengan tindakan Mohsin ini kerana saya adalah salah seorang pengundi yang menyokong beliau. Bagaimanapun, memang tindakan ini sudah dijangka memandangkan banyak aduan dan permasalahan kami di sini langsung tidak diendahkan. Beliau pun makan gaji buta saja, tidak mahu ambil tahu langsung pasal rakyat. Tetapi, tindakan selanjutnya, beliau perlu membayar semula hutangnya kepada pengundi walau bagaimana cara sekalipun.” - Abd Rahman Ismail, 62.

Macam mana rakyat di Parlimen Bagan Serai tidak pernah kenal beliau, apatah lagi mahu melihat wajah beliau turun ke kawasan. Saya nasihatkan Mohsin supaya muhasabah diri dan ambillah keputusan terbaik untuk rakyat bukannya meletakkan kepentingan peribadi semata-mata.”- Kadir Yusof, 70.

Tindakan Mohsin mempermainkan hati rakyat amatlah dikecam sama sekali. Kita minta kerjasama beliau untuk letak segera jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum rakyat di sini hilang kesabaran dan melakukan tindakan di luar jangkaan. Sebelum ini Mohsin ada berjanji akan membayar RM1,000 kepada pengundi jika beliau melompat parti dan sekarang perkara itu telah pun terjadi dan kami sebagai pengundi di Parlimen Bagan Serai menuntut janji tersebut dikotakan atau Mohsin akan termakan dengan kata-katanya sendiri.”
- Muslan Muhd Napiah, 55.

Selama ini kami komuniti Cina bersusah payah bekerja selama 10 hari tanpa gaji untuk memenangkan beliau dalam pilihan raya lalu, semata-mata kerana mahu beliau menang, tetapi jasa dan pengorbanan kami dibalas dengan cara ini. Mohsin sepatutnya sedar tindakannya itu telah mencemarkan maruah termasuk menghilangkan kepercayaan negara kepada status kerakyatan beliau.”
- Lim Ah Teck, 40.

Cukuplah berdrama dengan rakyat. Sepatutnya sebagai wakil rakyat, beliau perlu melihat keadaan rakyat bukannya meninggalkan rakyat terkontang-kanting tanpa sebarang pembelaan. Kalau mahu lompat sangat biarkan dia lompat yang pasti pulangkan jawatan Ahli Parlimen berkenaan kepada rakyat kerana kami yang beri kepadanya. Sikap beliau tidak pernah prihatin kepada banyak golongan miskin di sini selepas beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen.” - Osman Hashim, 40.

Mohsin tidak pernah menonjol sepanjang menjawat jawatan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Malah saya yakin beliau tidak akan melaksanakan tugas dengan baik sebagai wakil rakyat Bebas. Sepatutnya dia diambil tindakan pecat sebagai ahli PKR terlebih dahulu sebelum Zulkifli Nordin. Jika dahulu Mohsin disebut-sebut sebagai wakil rakyat yang tidak turun padang sekarang Mohsin disebut pula sebagai pengkhianat parti dalam perjuangan PR.” - Azroul Shahrin Amir Hussin, 38.

Isu lompat parti pemimpin ini perlu dihentikan segera kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam sama sekali yang melarang pemimpin mengkhianati rakyat yang memilih mereka. Sepatutnya sebagai pemimpin mereka perlu berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah pengawasan mereka.” - Khairol Salleh Abd Latif, 46.

Lompat parti adalah suatu kerja yang mudah, tetapi pemimpin seumpama ini perlu dihukum kerana mereka ini pada-bila-bila masa sahaja mampu menggugat kestabilan politik di negara ini dengan politik kotor semata-mata untuk keuntungan peribadi dan keluarga.”
- S P Ravinthiran, 31.

Saya cukup kecewa kerana Mohsin boleh bertindak sedemikian setelah amanah yang kami berikan. Dia tidak sepatutnya berada di mana-mana parti pun sebagai pemimpin. Dia memang tidak layak jadi pemimpin.” - Tan Chong Kong,45.

Lebih baik beliau letak jawatan, bagi peluang kepada rakyat untuk memilih semula wakil rakyat yang dapat membantu kami. Saya pun pelik macam mana wakil rakyat yang dipilih rakyat tidak tahu menahu apa masalah yang berlaku pada rakyat. Tambahan pula, sikapnya terlalu sombong dan bongkak menyebabkan rakyat sukar untuk berurusan dengannya.” - Elias Mohamed Sarakawi,37

Apa yang diharapkan langsung tidak menjadi kenyataan. Lebih baik tidak ada pemimpin dari ada pemimpin. Mohsin lebih bersifat peribadi dan lebih mementingkan dirinya sendiri.” - Abdul Halim, 40 SH

No comments: