Wednesday, March 10, 2010

Selangor sediakan Tadika Rakyat










SHAH ALAM , 10 Mac :
42 peratus pelajar tahun satu yang memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil tidak tahu membaca dan menulis kerana tidak berpeluang ke tadika sebelum memasuki Tahun Satu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar berkata, Kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) komited dan mengambil berat dalam usaha menyediakan keperluan pra-sekolah bagi kemudahan menimba ilmu terutamanya anak-anak masyarakat India sejak dua memerintah negeri ini.

Menurutnya, rekod dan statistik dari Tamil Foundation dan NGO pendidikan, jelas menunjukkan anak-anak masyarakat India jauh ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan awal di peringkat pra-sekolah sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

“Masalah ini berlaku bukan sahaja kerana kekurangan kemudahan dan infrastruktur tetapi juga kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak mampu menghantar anak ke tadika prasekolah swasta.

“Berdasarkan maklum balas dari pelbagai pihak yang prihatin tentang tahap pendidikan awal anak-anak di kalangan masyarakat India, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan pro aktif untuk menyediakan infrastruktur bangunan bagi tujuan menempatkan tadika pra-sekolah tersebut,” katanya.

Dr Xavier berkata, sejumlah RM4 juta telah disediakan bagi membantu murid di 97 Sekolah Tamil seluruh Negeri Selangor di mana sebahagian dari peruntukan tersebut digunakan untuk membina tadika rakyat ini yang bernilai RM300,000.

Beliau berkata, setakat ini Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa lokaliti yang mempunyai kepadatan penduduk di kalangan masyarakat India yang berpendapat rendah dan kelas pertengahan yang memerlukan pusat-pusat tadika dengan harga yang rendah serta berpatutan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak CHILD, yang sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat tempatan. NGO ini mempunyai lebih 20 tahun kepakaran dan pengalaman dalam menyediakan tenaga pengajar dan teknik pembelajaran yang dinamik dan progresif bagi bidang pra-sekolah

“Murid-murid prasekolah ini akan dapat menikmati pendidikan “first class” dengan bayaran serendah RM20 sebulan. Bangunan tadika ini mempunyai enam kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 murid setiap kelas, bermakna kira-kira 120 pelajar akan mendapat manfaatnya bagi suatu sesi,” katanya.

Beliau berharap, ibu bapa yang berpendapatan rendah akan menghantar anak-anak mereka ke tadika rakyat ini kelak.

No comments: