Thursday, April 22, 2010

Pentas seni di Hulu Selangor

NONEHULU SELANGOR, 22 April : Kata-kata puitis tapi penuh sindiran tajam terhadap pemerintah dalam puisi mereka memecah kesunyian malam yang cuma hanya kedengaran bunyi cengkerik di Kampung Pasir Putih Kalumpang, yang terletak dalam DUN Hulu Bernam.

Kehadiran sekumpulan budayawan dan seniman menunjukkan sikap politik yang "menuntut keadilan" kepada rakyat dengan mendeklasmasi puisi dan sambil diselang seli dengan nyanyian santai menjelang kehangatan dan kerancakan kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beberapa tokoh hadir - yang ternyata menghiburkan pengundi berdasarkan riak wajah mereka - antaranya Sasterawan Negara A Samad Said; budayawan Dinsman dan penyajak Mohd Salleh Abu Bakar.

Walaupun hanya dihadiri sekitar 50 orang, termasuk beberapa anak muda yang bermotosikal, namun mereka mendengar dengan tekun bait-bait puisi dan pantun yang dideklamasikan oleh tokoh tersebut di sebuah balai orang ramai di kampung tersebut.

A Samad Said yang lebih mesra dipanggil Pak Samad membaca dua buah puisi yang dikompilasi dalam buku 'Suara Dari Dinding Dewan' dalam majlis tersebut .

Dua buah sajak beliau tersebut adalah 'Jeritan Senja September' yang ditulis pada 21-29 September 1998 yang cuba merakam kebangkitan rakyat khususnya anak muda dalam peristiwa reformasi selepas pemecatan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tahun 1998 adalah tahun yang didapati bahawasanya anak-anak muda merasakan ada sesuatu yang perlu dibetulkan.

"Mereka adalah satu kelompok anak-anak muda yang berani menyatakan ada sesuatu yang salah dalam masyarakat kita. Ini mesti dibetulkan.

"Oleh kerana itu, mereka bersedia menyertai satu gerakan yang akhirnya membibitkan satu tenaga yang sangat bermakna. Gerakan itu bermula pada bulan September," katanya sebelum memulakan bait-bait puisinya.

Susulan sajak pertama, Pak Samad yang juga pengarang novel Salina, mendeklamasikan puisi keduanya yang bertajuk 'Dialog di antara Jamban Setinggan 2' yang dikarangnya pada 22 Februari 2001.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas mendeklamasikan sajak tersebut, sajak tersebut mengisahkan perbualan dua watak, Brother Mar dan Brother Hain sewaktu mereka membuang air.

"Mereka tidak senang dengan kepincangan politik di tanah air mereka. Ketika dalam jamban mereka membincangkan ada usaha untuk mengatasi kepincangan itu.

"Kedua-dua watak itu, jika digabungkan menjadi 'marhain'. Saya membaca sajak-sajak ini kalau ada jemputan yang berbaur kuasa," katanya sambil tersenyum.

Manakala Dinsman pula membaca dua buah puisi iaitu 'Ada Orang Tidak Kenal' dan "Undilah". Sajak kedua ini menuntut pengundi memilih pemimpin yang boleh membawa "keadilan" tanpa merujuk kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Antara bait sajak yang berbunyi: Undilah keadilan, Jangan undi kezaliman; Undilah keikhlasan, Jangan undi penyelewengan; Undilah manusia, Jangan undi setan; Undilah yang amanah, Jangan undi yang rasuah.

NONEKemudiannya hadirin yang hadir menepuk tangan dan bersorak setelah mendengar bait sajak tersebut.

Sementara seorang lagi penyajak Mohd Salleh turut menyampaikan pantun dan puisi dari buku "Koleksi Puisi PRK P094 Hulu Selangor" yang terang-terangan menyokong calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Tajuk pantun tersebut adalah 'Pantun Kenang Zaman Chedet' dan puisi yang bertajuk 'Mengenali Calon' yang ditujukan khas kepada pengundi mengenai latar belakang Zaid Ibrahim.

Bacaaan puisi dan pantun malam tadi juga turut diselang seli dengan nyanyian daripada dua vokalis kumpulan terkenal pada tahun 90-an iaitu Ito dari kumpulan 'The Blues Gang' dan Blank dari kumpulan Gamma.

Eto menyanyikan lagu 'evergreen' yang menjadi siulan anak muda suatu ketika dahulu sehingga hari ini antaranya 'Perempuan' dan 'Apa nak di kata' yang didendangkan secara berduet dengan Blank dalam loghat Negeri Sembilan.

NONEManakala Blank menyanyikan lagu 'Bahang Asmara' dan 'Kembang Terhalang' yang suatu ketika dahulu cukup popular diputarkan di corong radio dan televisyen.

Dalam majlis yang sama, turut dijual buku 'Kumpulan Esei Budayawan Bertindak Menyokong Perjuangan A Samad Said'.

Buku yang diterbitkan oleh Seniman Paksi Rakyat telah disusunkan oleh tiga tokoh budayawan yang diketuai oleh Dinsman, memuatkan 29 esei yang merupakan lanjutan sokongan terhadap Pak Samad membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pak Samad merupakan tunggak utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dengan mengetuai demonstrasi anti-PPSMI di ibu negara 7 Mac 2009.

"Bermula dengan peristiwa itu, (A) Samad Said seperti memulakan satu perjuangan baru. Hari demi hari dia memperlihatkan komitmen yang semakin menyerlahkan kecintaanya kepada bahasa Melayu dan budaya besar kita," kata Dinsman yang dipetik dalam pengantar buku itu.

NONEBercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha GMP Hasni Abas - yang juga merupakan penyusun buku ini - berkata 1,000 naskah, yang merangkumi 700 naskah bagi kulit nipis dan 300 lagi berkulit keras telah dicetak.

Masing-masing berharga RM40 dan RM30 senaskah, tambah Hasni yang juga merupakan antara tujuh penggerak utama demonstrasi besar-besaran tahun lalu.

"Setakat ini, sebanyak 200 naskah telah terjual," katanya sambil menambah buku ini diterbitkan bersempena dengan ulangtahun pertama bantahan PPSMI yang dibuat bulan lalu.

No comments: