Tuesday, May 18, 2010

Bukan Islam calon PAS


KUALA LUMPUR , 18 Mei : PAS akan mempertimbangkan bukan Islam menjadi calonnya pada pilihan raya umum akan datang melalui keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub ketika mengumumkan penubuhan DHPP bagi menggantikan Kelab Penyokong PAS sebagai sayap baru parti berkata, ia adalah perkembangan positif bagi melahirkan gagasan yang lebih besar, sekali gus mengiktiraf DHPP setanding dengan Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat.

Menurutnya, pelancaran DHPP akan di sempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada 23 Mei ini di Dewan Serba Guna Pejabat Daerah dan Tanah, Klang.

Katanya, DHPP yang diwujudkan mengikut fasa 26 Perlembagaan Parti tanpa perlu merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan sebagai aktiviti untuk melicinkan parti.

“Sehingga kini Kelab Penyokong PAS mencatatkan hampir 20,000 penyokong terdiri daripada pelbagai kaum, antaranya Tionghua, Siam, India, Orang Asli dan Bumiputera. Mereka akan diiktiraf dan diserapkan secara terus sebagai ahli DHPP.

“Pelancaran DHPP kali ini dijangka mencipta sejarah baru, sekali gus membuktikan Pas kini makin mendapat sokongan bukan Islam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, DHPP diluluskan Jawatankuasa Pusat setelah tiga kali bacaan.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, kepimpinan DHPP juga boleh menghadiri mesyuarat pemimpin PAS Pusat dan boleh mengadakan muktamar.

“DHPP memberi peluang kepada ahli menyuarakan pandangan melalui saluran yang disediakan dan bukan sekadar retorik,” katanya,

Bagaimanapun, katanya, ahli DHPP tidak dibenarkan menjadi ahli parti politik lain.

Katanya, bukan Islam yang menyertai DHPP tidak akan menjadi ahli PAS, memandangkan mengikut perlembagaan parti, hanya orang Islam boleh menjadi ahli PAS.

No comments: