Tuesday, May 4, 2010

Kenyataan Musa Hassan dikutuk



PETALING JAYA, 4 Mei : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk keras kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang bersedia untuk mengarahkan anggota Polis DiRaja Malaysia supaya tidak lagi mengawal keamanan negara jika itu adalah kehendak rakyat.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata Suaram memandang kenyataan KPN sebagai suatu yang bersifat ugutan dan cuba melepaskan diri daripada kritikan terhadap PDRM yang diterajuinya sejak September 2006.

"Ini adalah satu kenyataan yang paling tidak profesional dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi PDRM," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Heng Lung berkata, Suaram mengingatkan KPN bahawa tugas dan tanggungjawab utama PDRM adalah untuk menjaga keamanan rakyat dan negara.

Jelas beliau, sekiranya tanggungjawab ini gagal dilakukan oleh polis, KPN harus sedar bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengkritik dan memberikan pandangan terhadap keberkesanan polis dalam menjalankan tugas mereka.

"Kenyataan KPN ini menunjukkan bahawa beliau tidak menerima sebarang kritikan yang ditujukan kepada PDRM dan dengan itu tidak mahu bertanggungjawab ke atas pelbagai kes salahguna kuasa polis.

"Kes-kes salahguna kuasa polis di bawah pimpinan Tan Sri Musa adalah terlalu banyak termasuklah kematian dalam tahanan, A Kugan, mangsa tembakan polis, Norizan Salleh dan yang terkini mangsa Aminulrasyid yang berumur 14 tahun. Apakah jawapan KPN kepada semua kes ini?" soalnya.

Sehubungan itu, Suaram dengan tegas meminta agar KPN bertanggungjawab ke atas segala kejadian di atas dan dengan segera memberikan jawapan kepada keluarga mangsa yang telah dianiayai oleh polis selama ini.

Suaram juga menegaskan bahawa kuasa polis tidak sekali-kali lebih tinggi daripada undang-undang.

"Isunya adalah pihak polis tidak mempunyai satu mekanisme akauntabiliti yang telus dan selaras dengan piawaian hak asasi manusia untuk memastikan bahawa kesemua pihak polis bertanggungjawab ke atas segala tindakan yang dilakukan.

"Sekiranya pihak polis mempunyai mekanisme akauntabiliti yang lebih telus, anggota polis akan lebih bertanggungjawab di dalam menjalankan tugas mereka sekaligus mengurangkan ruang untuk pencabulan hak asasi manusia.

"Malangnya kegagalan pimpinan PDRM dan kerajaan Malaysia di dalam mendisplinkan dan memastikan akauntibiliti anggota polis telah menyebabkan PDRM sebuah badan yang semakin tidak dihormati dan dipercayai oleh rakyat Malaysia," ujar Leng Hung lagi.

Justeru, Suaram sebagai sebuah pertubuhan hak asasi manusia mendesak Musa supaya meletak jawatan serta merta disebabkan kegagalannya memahami dan menjalankan tugasnya sebagai KPN serta disebabkan rekod pencabulan hak asasi manusia oleh PDRM yang semakin teruk.

No comments: