Wednesday, May 19, 2010

Pemuda PAS persoal ketelusan agih projek kelas F

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan sejauh mana ketelusan pihak berkaitan dalam pengagihan projek kepada kontraktor kelas F sebagaimana yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Ketuanya, NasharuddinTantawi (gambar) berkata, apakah jaminan bahawa projek berkenaan benar-benar sampai kepada kontraktor yang layak ataupun hanya berlegar dikalangan ‘kroni’ sahaja.

“Atau lebih tepat lagi, kontrak ini hanya diberikan kepada mereka yang menjadi ahli Umno sahaja?” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Begitupun, beliau menyokong tindakan Kementerian Kerja Raya (JKR) menawarkan kontrak bernilai RM65 juta bagi 19 buah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilaksanakan tahun ini kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

Ini ekoran kenyataan Shaziman bahawa pemilihan kontraktor Kelas F bagi projek-projek tersebut akan berdasarkan kepada sebut harga dan kepakaran mereka dalam bidang yang diperlukan.

Nasrudin berkata, ini sedikit sebanyak akan melegakan para kontraktor yang rata-ratanya terkesan disebabkan impak kemelesetan ekonomi yang bukan hanya melanda negara kita malah boleh dikatakan tempiasnya ke seluruh dunia.

Dengan persoalan yang dibangkitkan itu, beliau bertanya apakah keberkesanan ‘Konsep Payung’ yang pernah diperkatakan oleh Menteri Perumahan Sarawak ketika itu, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di dalam satu majlis di Kuching pada Januari 2009.

“Di mana arah tuju perbincangan tersebut, apakah ianya sekadar retorik semata-mata?” soalnya.

Oleh itu, beliau mengharapkan agar kerajaan dapat mengamalkan ‘tender terbuka’ seperti yang dilaksanakan Kerajaan Pakatan Rakyat yang bukan sahaja lebih telus malah lebih ‘terbuka’ dari segi pengagihannya.

“Kerajaan harus bersikap adil kepada semua. Jangan hanya `menganugerahkan’ projek kepada mereka yang bukan dilihat kepada capability tetapi kepada ‘kabel’lity,” ujarnya.

Pemuda PAS juga, tegasnya menuntut supaya bukan hanya kementerian tertentu yang berbuat demikian malah menuntut dilaksanakan di seluruh agensi kerajaan demi memastikan keadilan dalam pengagihan dapat ditegakkan. hrkh

No comments: