Tuesday, June 22, 2010

Amalan kronisme BN khianat amanah kerajaan



SHAH ALAM, 22 Jun : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kelompok syarikat swasta yang gagal memberikan pulangan sewajarnya meskipun menerima pelbagai bantuan dari kerajaaan.

Khalid memberi amaran amalan kronisma pemerintah Barisan Nasional merencatkan potensi sektor ini yang gagal menjadi pemacu ekonomi sebenar, sebaliknya menjadi parasit yang membebankan.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Rakyat hari ini.

Tokoh korporat ini berkata agenda penswastaan besar-besaran yang diberi nafas baru oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak hanya akan mewujudkan monopoli korporat yang tidak mampu berdiri diatas kaki sendiri tanpa disuap geran dan suntikan wang rakyat.

"Malaysia mempunyai rekod yang sangat buruk dalam agenda penswastaan sebelum ini, dengan terdapatnya kepincangan pengalihan dana awam dan tanggungjawab kepada kroni dalam sektor korporat yang tidak mampu memberikan pulangan yang cekap dalam tugas mereka,"

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid mengingatkan kerajaan untuk tidak tunduk kepada tekanan pemodal untuk menswastakan industri yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat jelata.

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan penswastaan harus bersifat tertuju dengan fokus untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Industri-industri pro-rakyat seperti kesihatan dan air harus kekal milik nasional bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

"Tidak semua industri perlu diswastakan; ada perkhidmatan dalam barangan terpilih perlu terus kekal menjadi milik kerajaan. Misalnya bidang yang melibatkan keprihatinan sosial seperti perkhidmatan kesihatan tidak perlu diswastakan kerana ia memberikan khidmat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa. Ini tidak sama dengan perkhidmatan perubatan yang boleh diswastakan,"

"Saya juga prihatin dengan penswastaan pengurusan sisa pepejal. Sisa pepejal dipusatkan dengan kerajaan Persekutuan mengambil-alih semua pengurusan sisa pepejal dari kerajaan tempatan, termasuk pembersihan longkang dan menswastakan kepada satu syarikat,"

"Ia bermaksud semua autoriti hendak dirampas dari kerajaan tempatan. Putrajaya kini akan menentukan pengurusan sampah di kampung kecil di Kuala Kubu Bharu,"

Tan Sri Khalid menggesa kerajaan untuk menerima sistem tender terbuka sebagai piawai urusan kontrak kerajaan. Beliau turut melahirkan dukacita diatas ideologi penswastaan mundur yang ditunjukkan kerajaan.

"Penyelesaiannya adalah jangan menswastakan kos dan hanya swastakan hasil. Kos yang terlibat dalam mana-mana projek pembangunan khusus boleh dijalankan kerajaan sebagai asas perbelanjaan. Kerajaan sepatutnya menswastakan seksyen projek yang idea, kreativiti, model perniagaan yang unik boleh diketengahkan untuk menjana keuntungan lebih baik,"

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan pengagihan tender dan kewangan haruslah menghormati autoriti kerajaan-kerajaan bersekutu. Birokasi dan kos operasi Kerajaan Pusat dapat dirampingkan sekiranya autonomi kerajaan-kerajaan negeri tidak diganggu-gugat politik kepartian.

"Adalah lebih ideal menggunakan konsep Suruhanjaya Bebas Pemberian Persekutuan sebagaimana yang dipraktikkan di negara lain seperti Kanada dan Australia, yang melakukan pengagihan kewangan bukan berdasarkan afiliasi politik, tetapi keperluan pembangunan,"

"Kerajaan Persekutuan kelihatan lebih gemar mempolitikkan tadbir urus ekonomi dengan mengabaikan peranan negeri Selangor. Selangor sejak sekian lama menyumbang 20 peratus KDNK negara, namun sumbangan itu seolah dipinggirkan dalam RMK10,"

No comments: